Khamis, 3 Oktober 2013

Bacaan-Bacaan Surah Yang Sunnah Setelah al-Fatihah

Setelah membaca al-Fatihah, seseorang dianjurkan membaca satu surah atau sebahagiannya, hal itu adalah sunnah. Seandainya ditinggalkan, solatnya tetap sah, dan tidak diwajibkan sujud sahwi, baik dalam solat fardhu mahupun solat sunnah. Tidak disunnahkan membaca surah (setelah al-fatihah) dalam solat janazah menurut pendapat yang paling sahih dari dua pendapat, kerana solat Janazah itu pada prinsipnya harus diringankan. Selanjutnya dalam bacaan surah, seseorang diberikan pilihan, jika mahu, ia boleh membaca satu secara lengkap atau membacanya sebahagiannya sahaja. Satu surah pendek yang dibaca secara lengkap, lebih utama bagi yang menguasainya daripada surah yang panjang.

Disunnahkan membaca surah sesuai dengan urutannya dalam mushaf, pada rakaat kedua, hendaknya membaca surah yang urutannya berada setelah surah yang dibaca pada rakaat pertama, yang terletak setelahnya, seandainya ia menyelisihi hal tersebut, dalam hal ini tetap dibolehkan. Menurut sunnah, bahawa bacaan surah adalah setelah bacaan surah al-Fatihah, seandainya dibaca sebelum surah al-fatihah, maka tidak dianggap membaca surah.

Perlu diketahui bahawa yang disunnahkan membaca surah tersebut adalah imam, orang yang solat sendirian, dan makmun pada solat yang disirrkan bacaannya oleh imam. Adapun yang dijaharkan, maka makmum tidak boleh membaca selain dari surah al-Fatihah, jika ia mendengar bacaan imam. Apabila tidak mendengarnya atau mendengar namun tidak dapat difahami, maka disunnahkan baginya membaca surah menurut pendapat yang paling sahih, dengan catatan bahawa suaranya tidak mengganggu jamaah lainnya.

Disunnahkan membaca surah-surah mufashshal yang panjang pada solat Subuh dan Zohor, surah-surah mufashshal sedang pada solat Asar dan Isya', surah-surah mufashshal pendek pada solat maghrib. Seorang imam dianjurkan meringankan bacaan surah, kecuali bila ia mengetahui bahawa para makmum lebih menyukai surah yang panjang.

Disunnahkam pada rakaat pertama solat Subuh pada hari Jumaat membaca (surah as-Sajadah) pada rakaat kedua (surah al-Insan), keduanya dibaca secara sempurna. Adapun yang dilakukan sebahagian orang dengan hanya membaca sebahagian dari keduanya maka hal ini telah menyelisihi sunnah.

Pada rakaat pertama solat Eid dan solat Istisqa setelah membaca surah al-fatihah disunnahkan membaca (surah Qaf)dan pada rakaat kedua (surah al-Qamar). Kalau ia ingin pada rakaat pertama boleh membaca surah (surah al-A'la) dan pada rakaat kedua (surah al-Ghasiyyah) kerana keduanya adalah sunnah. Hendaknya ketika membaca beberapa hal yang telah disebutkan tidak membaca hanya sebahagiannya sahaja. Jika ingin meringankan, ia boleh membaca cepat dengan bacaan yang tidak kacau.

Disunnahkan pada rakaat pertama solat sunnah Fajar setelah surah al-fatihah membaca (surah al-Baqarah ayat 136) dan pada rakaat kedua (surah ali Imran ayat 64). Kalau ia ingin pada rakaat pertama boleh membaca (surah al-Kafirun) dan pada rakaat kedua (surah al-Ikhlas), keduanya disebutkan secara sahih dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah saw mengerjakannya.

Pada dua rakaat solat sunnah Maghrib, dua rakaat solat Thawaf, dan solat Istikharah, pada rakaat pertama dianjurkan membaca (surah al-Kafirun) dan pada rakaat kedua (surah al-Ikhlas).

Adapun solat Witir, setelah ia berwitir dengan tiga rakaat, ia membaca pada rakaat pertama setelah al-Fatihah (surah al-A'la), pada rakaat kedua (surah al-kafirun) dan pada rakaat ketiga (surah al-Ikhlas) bersama al-muawwidzatain (surah al-Falaq dan surah an-Nas)

Semua yang telah kami kemukakan tadi, disebutkan dalam hadis-hadis sahih dan yang lainnya, kami tidak perlu menyebutkannya disini kerana hal itu sudah mahsyur. Wallahua'lam.

(Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi Bab Bacaan Setelah Taawudz (Bacaan Surah) Tahqiq Syeikh Salim Bin Ied al-Hilali)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan