Jumaat, 22 Jun 2012

Syiah Dan Sahabat



Jika Rafidhah memaki hamun dan mengkafirkan para sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Omar dan Sahabat-sahabat besar Rasulullah saw yang lain dan berlepas diri dari mereka semua, maka Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah tidak berbeza daripada fahaman Rafidhah itu kerana kitab-kitab mereka yang muktabar penuh dengan caci maki dan riwayat-riwayat yang mengkafirkan para sahabat termasuk sahabat besar Rasulullah saw. Kita akan mengemukakan beberapa contoh dari kitab-kitab mereka sendiri.

Sebelum itu perlulah diketahui bahawa perselisihan pendapat ulama' hanya berhubung kafir atau tidaknya orang yang mencaci dan memburuk-burukkan para Sahabat tetapi mereka tidak berselisih pendapat tentang kafirnya orang yang mengkafirkan para sahabat agung Rasulullah saw seperti Saidina Abu Bakar, Omar, Abd. Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan lain-lain.

Tetapi Syiah didalam kitab-kitab mereka jelas telah mengkafirkan para Sahabat termasuk Sahabat agung Rasulullah saw yang tersebut tadi. Menafikan perkara ini sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada ditengah langit atau perkara ini hanya dapat dinafikan oleh orang-orang yang buta mata hatinya, sebagaimana tidak bergunanya cahaya matahari yang terang benderang itu kepada orang yang buta matanya.

Disini kita akan kemukakan beberapa contoh daripada kitab Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah sendiri bahawa mereka mengatakan bahawa sahabat Rasulullah saw telah murtad sepeninggalan Baginda. Pendapat mereka ini tidak berbeza dari dahulu sampai sekarang.

1. At-Tusi meriwayatkan dalam "Rijal al-Kasyi" bahawa Abu Ja'afar (Muhammad al-Baqir) berkata bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Rasulullah saw kecuali Miqdad bin Aswad, Abu Zar al-Ghiffari dan Salman al-Farisi (Rijal al-Kasyi j.1 hal.6)

2. At-Tusi meriwayatkan lagi dari Humran katanya; Aku berkata kepada Abu Ja'far "Alangkah sedikitnya bilangan kita sehingga kalau kita berkumpul untuk merebahkan seekor biri-biri pun tidak akan mampu". Humran berkata: Maka Abu Ja'far berkata "Mahukah aku ceritakan perkara yang lebih aneh dari itu?". Humran berkata "Ya". Maka Abu Jaa'far berkata "Orang-orang Muhajirin dan Ansar telah pergi (murtad) kecuali tiga (dan beliau pun mengisyaratkan dengan tangannya)."(ibid)

3. Diriwayatkan dari Abi Jaa'far as "Anak-anak Ya'qub bukan nabi tetapi mereka adalah asbat kepada anak-anak para Nabi. Mereka tidak meninggalkan dunia melainkan didalam keadaan bahagia. Mereka telah bertaubat dan menyesal diatas apa yang mereka lakukan tetapi Abu Bakar dan Omar telah meningal dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak menyesali apa yang telah dilakukan oleh mereka terhadap Amirul Mu'minin Ali as. Mereka berdua dilaknat oleh Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya." (Al-Kulaini, ar-raudhah min al-kafi, j. 8, hal 246)

4. Diriwayatkan dari Abi Jaa'far as kata beliau "Para sahabat telah murtad sepeninggalan Nabi saw kecuali tiga orang dari mereka." Perawi bertanya "Siapakah yang tiga itu?". Abi Jaa'far menjawab "Miqdad bin Aswad, Abu Zar al-Ghiffari dan Salma al-farisi." (ibid hal.246)

5. Ayatullah al-Uzma sayyid Murtadha al-Hussaini al-Fairuzabadi didalam kitabnya "As-sab'ah min as-salaf" telah mengkafirkan Abu Bakar, Omar, Othman, Abd. Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Muawiyah, Abu Said al-Khudri, Bara' bin Azib dan lain-lain (Lihat hal. 29,32,71,78,81,85,107,120 dan 211)

6. Ayatullah al-Uzma Khomeini didalam kitabnya "Kasyful al-asrar" telah mengkafirkan Saidina Omar (lihat hal 137 dan 176 edisi Arab dan hal 119 dan 153 edisi Parsi). Beliau menganggap Abu Bakar dan Omar jahil tentang hukum Allah dan mereka menjadikannya sebagai bahan permainan kanak-kanak (hal 110-111 edisi Parsi). Beliau juga menuduh Abu Bakar dan Omar mereka hadis atas nama Rasulullah saw (hal 131 dan 138 edisi Arab, 114 dan 120 edisi Parsi)

Sumber : Syiah Rafidhah-Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah Oleh Muhammad Asri Yusoff mukasurat 29-31