Rabu, 13 Julai 2011

Kisah Syeikh Badiuzzaman Said Nursi Dan Golongan Yang Menyeru Pemberontakan


Dalam tahun 1931, azan (bang) telah ditukar dari bahasa Arab ke bahasa Turki. Dalam tahun 1935, Masjid Ayasofia, sebuah bangunan indah yang merupakan sebuah masjid semenjak tahun 1453 telah ditukar menjadi sebuah muzium. Hanya kerajaan yang benar-benar zalim dan menentang agama saja yang berani menjalankan tindakan-tindakan yang sedemikian hebat didalam negara orang Muslim.

Kerajaan yang bercorak beginilah yang berada di Ankara ketika berlakunya satu pemberontakan suku Kurdi di Turki Timur pada tahun 1925. Syaukat Sureyya Aydemir, seorang penyokong kuat dasar Parti Republikan Rakyat telah menyebut pemberontakan ini dalam bukunya yang bertajuk 'Tek Adam'. Menurutnya, sebab utama tercetusnya pemberontakan tersebut bukanlah kerana orang-orang Kurdi inginkan sebuah negara merdeka, akan tetapi ianya berlaku sebab kerajaan Parti Republikan Rakyat menjalankan dasar-dasar yang bertentangan dengan Islam. Ustaz Said Nursi berketurunan Kurdi, lantaran itu orang-orang Kurdi yang bersemangat kebangsaan Kurdi telah menemuinya untuk mendapat sokongan. Mereka berkata kepada beliau "Pengaruh awak sangat besar". Badiuzzaman yang sememangnya menentang fahaman kebangsaan Barat telah menolak pelawaan mereka itu dengan berkata :

"Negara ini dan orang-orang Turki telah menjadi pejuang Islam selama berabad-abad. Negara ini juga telah menghasilkan banyak orang wali. Keturunan wali-wali ini janganlah ditentang. Tidak boleh saudara menentang saudara. Awak perlu berhenti bertindak sedemikian. Yang perlunya ialah negara ini diperbaiki dan dipimpin ke jalan yang benar".

Berkenaan dengan peristiwa ini, Najmuddin Shahiner menceritakan dalam sebuah bukunya tentang Ustaz Badiuzzaman Said Nursi :

Di awal tahun 1925, Ustaz Said Nursi selalu keluar dari guanya dan pergi ke Masjid Nurshin di Van untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Beliau juga memberi khutbah dimasjid tersebut. Pada awal tahun 1925, pemberontakan Syeikh Said (Bukannya Syeikh Said Nursi) pun tercetus diwilayah-wilayah Turki Timur. Sementara itu, Kor Hussain Pasha, seorang ketua suku Kurdi bersama-sama pegawai-pegawai suku Kurdi yang lain telah berhimpun ditaman tersebut. Ustaz Said Nursi dapat meneka tujuan pemimpin-pemimpin Kurdi ini dan beliau pun bersyarah pada mereka :

"Saudara, saya kira saudara semua datang ke sini dengan tujuan yang buruk (negatif)?"

Hussain Pasha pun mengaku akan kata-kata Said Nursi tadi. Seterusnya ia mendesak Ustaz Said Nursi menyertai pemberontakan yang dirancang oleh mereka itu.Ustaz Said Nursi pun naik marah dengan kata-kata Hussain Pasha dan ia pun berkata :

"Saya telah lama tahu akan niat buruk awak itu. Sikap begini bukan saja buruk, bahkan ia adalah satu sikap jahiliah. Saya hairan mengapa awak boleh bersikap demikian. Jika awak inginkan Syariat, maka tindakan begini adalah bertentangan dengan Syariat. Awak tidak boleh menegakkan Syariat dengan mengambil langkah yang bertentangan dengan Syariat itu sendiri. Gerakan awak ini nampaknya didalangi oleh anasir luar".

Petikan buku "Mujaddid Islam Syeikh Badiuzzaman Said Nursi" mukasurat 50-51