Isnin, 13 Jun 2011

Demonstrasi Menurut Perspektif Sunnah


Demonstrasi anjuran PAS yang turut sama mengangkat gambar tokoh-tokoh Syi'ah Rafidhah

Sejarah Demonstrasi

Dalam sejarah Islam, awal tercetusnya demonstrasi adalah dari golongan pemberontak ketika pemerintahan ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Mazhab demonstrasi dan pemberontakan ketika itu antaranya dipengaruhi oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura masuk Islam. ‘Abdullah B. Saba’ ini menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam bertujuan menyebarkan pelbagai fitnah dan syubhat menghasut rakyat membenci Khalifah ‘Utsman.

Tindakan ‘Abdullah B. Saba’ ini bertepatan dengan sikap permusuhan Yahudi terhadap umat Islam sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an sendiri. Tidak akan senang mereka selagi mana Islam tidak dihancurkan.

Di antara tuduhan yang beliau lemparkan ke atas ‘Utsman antaranya ‘Utsman ini bersifat kronisme, nepotisme, dan mendahului ‘Ali dalam hak kekhalifahan. Syubhat-syubhat dan fitnah yang beliau sebarkan tampak berjaya dan membuahkan hasil lantaran ketika itu terdapat ramai orang awam dan muallaf yang baru memeluk Islam yang masih belum mendalam keimanannya.

Maka, rakyat pun akhirnya termakan syubhat lalu bangkit mengkritik ‘Utsman secara terbuka di sana sini yang kemudiannya muncullah revolusi rakyat sehingga mengakibatkan pemberontakan. Setelah beberapa hari rumah ‘Utsman mereka kepung, akhirnya ‘Utsman pun mereka bunuh dalam peristiwa yang penuh tragis. Golongan pemberontak dan aktivis demonstrasi ketika itu menamakan tindakan mereka sebagai amar makruf nahi mungkar! Walhal ia adalah kebathilan berkedok agama.

Setelah peristiwa terbunuhnya ‘Utsman, fitnah tidak kunjung reda. Sebaliknya terus berkobar ketika zaman pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu dan seterusnya. Pemikiran ‘Abdullah B. Saba’ terus meracuni masyarakat sehingga muncul pula golongan Syi’ah dan Khawarij sekaligus. Awal kemunculan Syi’ah ketika itu berperanan mengajak masyarakat mendewakan ‘Ali, manakala golongan khawarij menjadi faktor melaga-lagakan para sahabat terutamanya di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah. Dua faktor inilah antara yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan Jamal dan Siffin mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri. Pertembungan tersebut adalah antara kejayaan besar faktor Syi’ah dan Khawarij dalam menimbulkan salah faham dan fitnah sesama para sahabat ketika itu. Dan kesannya terus dirasai sehingga hari ini.

Demonstrasi Pasca Revolusi Iran

Pada era 1970an di Iran, gelombang demonstrasi dan revolusi bergema. Dicetuskan oleh kelompok Syi’ah Rafidhah hasil tinggalan ideologi ‘Abdullah B. Saba’. Dipandu dan disemarakkan oleh Khomeini laknatullah ‘alaih. Melalui karya dan pemikirannya, masyarakat Iran bangkit menghidupkan semula doktrin aqidah penuh kontroversi Wilayatul Faqih. Mereka berdemonstrasi dan memberontak dalam rangka menjatuhkan Shah Iran pada tahun 1978 atas alasan penindasan dan kezaliman. Demonstrasi ketika itu mengakibatkan pelbagai kerosakan dan ratusan nyawa terkorban. Shah Mohamad bersama-sama permaisurinya pula melarikan diri.

Aksi-aksi demonstrasi yang mereka lancarkan ini saling tak tumpah dengan aksi demonstrasi yang dicetuskan oleh ‘Abdullah B. Saba’ di zaman ‘Utsman. Bahkan demonstrasi mereka inilah sekarang menjadi inspirasi sekian banyak demonstrasi-demonstrasi lainnya di Timur Tengah pada hari ini. Dalang di sebalik setiap demonstrasi mereka ini memang tidak lepas dari keterlibatan agen-agen Yahudi, CIA, dan Amerika.

Di Malaysia tidak kurang ramai yang turut terkesan dengan kejayaan revolusi Iran ala ‘Abdullah B. Saba’ ini terutamanya para aktivis Parti Islam Se-Malaysia. Malah Mat Sabu yang kini menjawat jatawan Naib Presiden PAS sendiri secara terbuka mengakui mendukung idea-idea revolusi Khomeini di Iran. Bukan setakat itu, beliau dalam banyak siri ucapan, ceramah, dan karya tulisnya turut mengajak masyarakat supaya mencontohi Iran dengan mengambil pedoman ideologi Khomeini termasuk fahaman sesat kesyi’ahannya.

Jika kita teliti dengan saksama, di antara tujuan sebenar di sebalik aksi demonstrasi Iran tadi adalah bertujuan menghidupkan semula aqidah Wilayatul Faqih yang telah lama disenyapkan. Dalam kepercayaan Wilayatul Faqih ini, golongan Syi’ah Rafidhah yang pada ketika itu dipandu oleh Khomeini mengajak rakyat membangunkan kepimpinan ulama sebagai galang ganti kehilangan Imam 12 mereka.

Dalam doktrin aqidah Syi’ah Rafidhah, masyarakat sepatutnya dipimpin oleh para imam yang maksum, iaitu Imam yang 12. Dalam kepercayaan mereka, imam yang terakhir iaitu imam ke-12 telah hilang (ghaib) sejak tahun 329H. Namun mereka mendakwa nanti sang imam akan kembali sebagai al-Mahdi.

Sementara menunggu kepulangan imam yang ghaib tersebut, kumpulan ulama dan fuqaha mereka perlu tampil mengambil-alih kekhalifahan sebagai wakil atau pengganti imam mereka yang ghaib.

Sebab itulah jika kita lihat apa yang diamalkan Iran hari ini setelah kejayaan revolusi 1979 dan penguasaan Khomeini, sistem pemerintahan Iran didirikan berasaskan kepimpinan ulama di bawah fahaman Wilayatul Faqih sebagai dewan tertinggi pemerintahan.

Termasuk dalam kedudukan Wilayatul Faqih adalah dewan elit para ulama selaku penjawat kedudukan tertinggi, penasihat spiritual, dan penentu dasar di Iran, lebih tinggi daripada Presiden dan Parlimen. Ketika ini, pucuk pimpinan tertinggi dewan Wilayatul Faqih dipegang oleh Ali Khameini. Manakala sistem demokrasi yang wujud di Iran hari ini sedikit pun tidak memberi kesan pengaruh dalam pembentukan kerajaan.

Menurut mereka, sesiapa yang menolak konsep Wilayatul Faqih ini, maka dia murtad, kafir, dan kekal di neraka. Para ulama dan imam Syi’ah di sisi mereka adalah maksum termasuk Khomeini. Malah konsep Wilayatul Faqih di sisi mereka adalah satu konsep yang menyama-tarafkan imam-imam Syi'ah dengan para nabi, bahkan sehingga lebih hebat dari para nabi, serta memiliki kuasa ketuhanan seperti boleh mengetahui yang ghaib dan apa yang bakal berlaku! Ini jelas satu konsep yang kufur akbar! Konsep ini bertepatan dengan doktrin ‘Abdullah B. Saba’ yang mengajar masyarakat di zaman ‘Utsman supaya mendewa dan mempertuhankan Saidina ‘Ali.

Era Selepas Revolusi Iran

Kebangkitan Syi’ah rafidhah berfahaman Imam 12 ini adalah khabar yang bakal menyemarakkan semula malapetaka permusuhan di antara Ahlus Sunnah dengan golongan sesat Syi’ah sejak zaman-berzaman. Perkara ini telah pun dan sedang berlaku sekarang.

Antara buktinya, ketika perang dan penguasaan Amerika ke atas Afghanistan, Syi’ah Iran inilah yang menyalurkan bantuan sekaligus menjadi faktor utama kemenangan Amerika di sana. Ini diakui sendiri oleh tokoh Syi’ah Muhamed ‘Ali Abtahi.

Kemudian ketika serangan Amerika ke atas Iraq menentang Saddam Hussein, Syi’ah Iran jugalah yang membuka laluan dan bantuan kepada Amerika. Hasilnya, tanah jajahan Iraq kini dikuasai oleh Syi’ah Iran manakala hasil buminya seperti minyak dibolot Amerika. Umat Islam di Iraq dan Afghanistan pula habis dibunuh dengan kejam hampir setiap hari. Ada yang disembelih, ada yang dipanaskan dalam ketuhar, ada yang dicampakkan ke dalam api, ada yang disiksa, ada yang dipenjara, ada yang dirogol, dan seumpamanya. Al-Qur’an dan agama Islam pula dihina. Demikianlah dahsyatnya fitnah kaum Syi’ah Rafidhah!

Hari ini kita mungkin melihat umat Islam (Ahlus Sunnah) bebas beribadah di negara-negara lain termasuk negara kafir Amerika, tetapi sama sekali tidak dan bukan di Iran, terutamanya Tehran! Bahkan masjid-masjid ahlus sunnah habis dihancurkan.

Ini bukan suatu yang menghairankan sebenarnya, kerana di sisi aqidah Syi’ah darah dan harta umat Islam (ahlus sunnah wal-jama’ah) adalah halal. Bagi mereka, para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah kafir dan sesat secara umum. Oleh kerana itu, dalam karya-karya dan ucapan-ucapan mereka, para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in adalah orang yang sering mereka laknat dan caci. Perkara ini turut didedahkan dalam satu seminar berkaitan Syi’ah di al-Madinah International University (MEDIU) Shah Alam bertarikh 15 Mei 2011 baru-baru ini.

Demonstrasi BERSIH Di Malaysia

Di Malaysia hari ini, demonstrasi jalanan yang hampir sama disemarakkan untuk memaki-hamun, mencela, dan mencerca pemerintah atas konon namanya amar ma’ruf nahi mungkar dan jihad. Ia disuburkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Slogan-slogan yang sering dimainkan oleh mereka adalah hak kebebasan bersuara, demokrasi, menetang kezaliman, dan membasmi penindasan. Ini diakui sendiri oleh tokoh-tokoh utama mereka seperti Nik ‘Abdul Aziz Nik Mat dan ‘Abdul Ghani Samsuddin. Dikuti pula oleh pelopor dan pencetus utama demonstrasi BERSIH Mat Sabu sebagaimana terpampang dalam laman sesawang beliau.

Mat Sabu selaku Timbalan Presiden PAS turut mengakui mendukung idea-idea demonstrasi pasca revolusi Iran oleh Khomeini laknatullah 'alaih. Bahkan bukan sekadar idea demonstrasi, tetapi Mat Sabu juga turut mengajak masyarakat Malaysia untuk berpedoman kepada Khomeini dalam banyak hal termasuk persoalan ushul aqidah. Ini boleh dilihat dalam banyak rakaman ucapan, ceramah, dan tulisan-tulisan beliau di akhbar atau media-media pembangkang. Begitu juga dengan ‘Abdul Ghani Samsuddin yang membela aqidah Syi’ah dalam konsep Wilayatul Faqih untuk diterapkan dalam sistem pemerintahan. Sedangkan aqidah Wilayatul Faqih ini begitu jelas kekufurannya sebagaimana yang telah penulis jelaskan

Mat Sabu selain antara tokoh PAS yang begitu jelas cenderung kepada pemikiran sesat Syi’ah, beliau juga mengakui boleh memberontak kepada pemerintah melalui tiket kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan penindasan. Prinsip Mat Sabu ini sebenarnya saling tak tumpah dengan pemikiran revolusi Khomeini menumbangkan Shah Iran di era 1970an. Juga sebagaimana gerakan 'Abdullah B. Saba' di zaman 'Utsman.


Sedangkan perkara ini begitu jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah dalam bermu’amalah terhadap pemerintah yang tidak akan keluar dari ketaatan terhadap pemerintah selagi mana mereka (pemerintah) masih tetap Muslim dan menegakkan syi’ar-syi’ar solat. Bertentangan juga dengan akhlak dan adab ahlus sunnah wal-jama'ah dalam menasihati pemerintah sekiranya pemerintah melakukan kesalahan.

Manakala slogan-slogan kebebasan bersuara yang sering mereka laung-laungkan itu tidak lain antaranya adalah bertujuan supaya media-media yang mereka aturkan berupaya bergerak bebas menyebarkan pemikiran bathil lagi sesat. Selain supaya masyarakat bangkit membenci para pemerintah negara hari ini. Mereka gembira sekiranya negara menjadi hura-hara dan kelam-kabut. Kerana sekiranya negara huru-hara, maka pelbagai agenda jahat dan buruk yang mereka rancangkan menjadi lebih mudah direncanakan. Ini sebagaimana kesan dan hasil demonstrasi di Timur Tengah seperti di Mesir dan Libya baru-baru ini, pengaruh Yahudi bersama-sama Syi'ah dan Amerika telah mula masuk campur dalam urusan negara mereka. Juga sebagaimana yang telah berlaku di Iran semenjak 1979. Syi'ah di Iran sekarang tampak semakin kukuh hasil kerjasama dengan Yahudi dan Amerika. Bahkan sekarang mereka sedang berusaha gigih untuk menguasai negara-negara Timur Tengah lainnya dalam misi membina semula Daulah Majusi Parsi-Raya yang telah dimusnahkan ketika zaman kekhalifahan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu.

Bukanlah suatu yang aneh di sisi Syi’ah untuk memberontak kepada pemerintah mana sahaja, kerana bagi mereka Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman sendiri selaku Khalifah al-Rasyidin pun adalah kafir, sesat, dan munafiq. Jika hak kekhalifahan ketiga-tiga mereka ini pun mereka nafikan, apatah lagi kepada para pemimpin umat Islam selain Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman?

Demikianlah juga dakwah PAS dalam arena Malaysia hari ini. Jika Syi'ah dikenali dengan dakwah caci-maki dan melaknat para sahabat serta bersatu-padu dengan Amerika dan Yahudi, maka dakwah PAS adalah dakwah yang dikenali dengan maki-hamun memusuhi pemerintah. Dakwah yang mengajak bersatu dan bersekongkol dengan apa jua bentuk firqah sesat anti Islam termasuk Syi'ah, kuffar, DAP, PKR, al-Arqam, liberal, dan seumpamanya asalkan bukan sahaja bersatu dengan pemerintah.

Tidak dikenali dari dakwah PAS di Malaysia sebagai dakwah yang mengajak kepada tauhid dan ilmu-ilmu agama. Melainkan mereka cukup dikenali sebagai dakwah yang mengajak bersatu atas nama menentang, membenci, dan memusuhi pemerintah atas alasan demokrasi, jihad, amar makruf nahi mungkar, dan kuasa.

Lebih mendedahkan wajah sebenar mereka, hari ini tersebar dengan meluas gambar-gambar perhimpunan anjuran PAS dan BERSIH ini sambil menjulang potret-potret imam Syi’ah ketika demonstrasi berlangsung. Selain itu, gambar-gambar tokoh-tokoh utama PAS menghadiri sidang penyatuan dan kerjasama dengan tokoh-tokoh ulama Syi’ah Iran juga mula tersebar di internet. Kewujudan penyebaran aliran Syi’ah di dalam PAS juga sebenarnya turut diakui oleh Tun Dr. Mahathir sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Tindakan Lanjut

Atas sebab kesedaran dan rasa risau yang tinggi, penulis menyeru kepada para pemimpin atau pihak berkuasa berkaitan agar membendung sebarang bentuk aktiviti demonstrasi terutamanya yang melibatkan anjuran PAS dan BERSIH ini di mana pun jua. Kerana di sebalik demonstrasi ke atas para pemimpin, mereka turut membawa sama agenda tersembunyi berupa penyebaran ideologi sesat Syi’ah Rafidhah. Penyebaran ajaran Syi'ah ke dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah suatu yang wajib segera disekat. Kerana kesan dari ajaran ini begitu bahaya dan dahsyat sekali. Ia bukan sahaja mengancam aqidah dengan menghidupkan ritual dan kepercayaan-kepercayaan syirik, tetapi juga mengancam keselamatan dan keamanan negara. Gerakan Syi'ah adalah gerakan radikal pemberontakan ala 'Abdullah B. Saba' yang dimulakan melalui serangan tunjang-tunjang aqidah umat Islam.


Lebih-lebih lagi demonstrasi itu sendiri bukanlah suatu yang datang dari ajaran Islam, apatah lagi cuba diatasnamakan sebagai jihad dan amar ma’ruf nahi mungkar pula. Ini jelas melanggar kesucian dan kemuliaan jihad dan amar ma’ruf nahi mungkar itu sendiri.

Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) telah menyatakan secara umum kepada kita semua:


ويؤدب من يثبط عنه" فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام


“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)

Dalam beberapa hadis berkenaan orang-orang yang bertindak memisahkan diri daripada jama’ah pemerintah muslim, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:


لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ


“Tidak halal darah seorang muslim untuk ditumpahkan apabila dia mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah, dan aku adalah utusan Allah melainkan dengan salah satu dari tiga perkara:

1. Seseorang yang telah menikah tetapi kemudiannya dia berzina,

2. Membunuh orang lain, dan

3. Orang yang meninggalkan agama dengan cara memisahkan dirinya dari al-jama’ah.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/25, no. 3175)

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata ketika mensyarahkan hadis ini:


وأما قوله صلى الله عليه و سلم والتارك لدينه المفارق للجماعة فهو عام في كل مرتد عن الإسلام بأي ردة كانت فيجب قتله إن لم يرجع إلى الإسلام قال العلماء ويتناول أيضا كل خارج عن الجماعة ببدعة أو بغي أوغيرهما وكذا الخوارج والله أعلم


“Adapun sabda beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Orang yang meninggalkan agama dengan cara memisahkan dirinya dari al-jama’ah” adalah bersifat umum bagi setiap orang yang murtad keluar dari Islam dengan setiap cara dan bentuknya, wajib untuk dibunuh sekiranya dia enggan bertaubat. Para ulama mengatakan:

Termasuk juga dalam maksud hadis ini adalah setiap orang yang keluar dari ketataan kepada pemerintah muslim dengan melakukan kebid’ahan, berkhianat, atau selainnya, demikian pula al-khawarij, wallahu a’lam.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 11/165)

Maka fikirkanlah bagaimana dengan orang yang memberontak kepada para pemerintah atas tiket ideologi Syi’ah Rafidhah sebagai panutannya?

Berkenaan mereka yang bertindak memecah-belahkan kesatuan umat Islam yang telah memiliki pemimpin, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


إِنَّهُ سَتَكُونُ هَنَاتٌ وَهَنَاتٌ فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُفَرِّقَ أَمْرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَهِيَ جَمِيعٌ فَاضْرِبُوهُ بِالسَّيْفِ كَائِنًا مَنْ كَانَ


“Sesungguhnya akan berlaku bencana dan malapetaka, maka sesiapa yang hendak memecah-belah urusan umat ini sedangkan umat tersebut telah bersatu, bunuhlah mereka dengan pedang walau siapapun orangnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/395, no. 3442)

Dalam riwayat yang lain disebutkan:


مَنْ أَتَاكُمْ وَأَمْرُكُمْ جَمِيعٌ عَلَى رَجُلٍ وَاحِدٍ يُرِيدُ أَنْ يَشُقَّ عَصَاكُمْ أَوْ يُفَرِّقَ جَمَاعَتَكُمْ فَاقْتُلُوهُ


“Siapa sahaja yang datang kepada kamu sedangkan urusan kamu telah berada di tangan seorang pemimpin, kemudian dia bertindak menggugat kedudukan pemimpin kamu atau memecah-belahkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/395, no. 3443)

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa:


فيه الأمر بقتال من خرج على الإمام أو أراد تفريق كلمة المسلمين ونحو ذلك وينهى عن ذلك فإن لم ينته قوتل وإن لم يندفع شره إلا بقتله فقتل


“Di dalamnya terdapat perintah untuk membunuh orang yang keluar melakukan penentangan kepada seseorang pemimpin, atau hendak memecah-belah kesatuan (perpaduan) umat Islam dan selainnya. Orang tersebut hendaklah ditegah dari meneruskan perbuatannya, sekiranya ia tidak mahu menghentikannya maka hendaklah diperangi. Apabila kejahatannya tidak dapat dihalang melainkan dengan cara demikian, maka membunuhnya adalah perkara yang dihalalkan.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/241)

Imam ash-Shan’ani menyebutkan perkara yang sama dengan katanya:


دلت هذه الألفاظ على أن من خرج على إمام قد اجتمعت عليه كلمة المسلمين والمراد أهل قطر كما قلناه فإنه قد استحق القتل لإدخاله الضرر على العباد وظاهره سواء كان جائرا أو عادلا وقد جاء في أحاديث تقييد ذلك بما أقاموا الصلاة وفي لفظ ما لم تروا كفرا بواحا


Hadis di atas dengan pelbagai bentuk lafaz dan susunannya telah menunjukkan bahawa sesiapa yang keluar (tidak mentaati) seseorang pemimpin yang telah disepakati oleh umat Islam dalam sesebuah wilayah (kawasan atau negara), maka dia berhak dibunuh kerana akan menimbulkan kerosakan kepada manusia sama ada pemimpin tersebut seorang yang adil ataupun yang zalim selagi mana mereka masih menegakkan solat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis atau dalam hadis yang lain disebutkan, “Selagi kamu tidak melihat kekufuran yang nyata”. (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/261)

Begitu juga dengan imam asy-Syaukani rahimahullah. Beliau berkata, “Apabila terdapat segolongan pihak yang cuba merampas kuasa daripada seseorang pemerintah yang telah memiliki kedaulatan (kuasa) dan juga diberi bai’ah (kepercayaan) oleh penduduknya, maka pada ketika itu, hukuman ke atas golongan tersebut ialah dibunuh jika ia tidak bertaubat.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/941 - Maktabah Syamilah)

Berkaitan dengan ini, pernah berlaku dalam sejarah generasi sahabat di mana Khalifah Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘ahu telah bertindak menahan dan menghukum bunuh Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernor Mu’awiyah di Kuffah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.

Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan daripada kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim minal Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)

Renungan

Secara logiknya, tidak akan ada umat Islam yang sahih lagi murni aqidah dan manhajnya akan mengambil Iran sebagai kiblat dalam politik Islam dan menjadikan imam-imam Syi’ah yang jelas memusuhi para sahabat Rasul sebagai pedoman mahupun idola! Kefahaman agama yang dibawa oleh Syi'ah adalah fahaman yang rosak dan menyesatkan.

Juga tidak ada alasan yang syar’i bagi seorang Ahlus Sunnah untuk bersama-sama dengan pengaku pejuang Islam yang menzahirkan terang-terangan dukungannya ke atas tokoh-tokoh Syi'ah yang sesat lagi menyesatkan.

Sekiranya dengan UMNO dan para pemimpin negara ini sahaja sudah begitu punya benci, tetapi kenapa dengan Syi'ah boleh disayang-sayang? Ada udang di sebalik batu atau bercita-cita untuk solat sama-sama berjama’ah di atas batu karbala?

Secara umum atau zahir pun kita boleh melihat beberapa indikasi awal di mana manusia itu boleh dikenali berdasarkan siapa idola-idola mereka. Manusia boleh diketahui dari puak mana berdasarkan tokoh-tokoh pujaannya.

Ikhwaniyun (pemuja firqah Ikhwanul Muslimin) tentu akan mendukung Hasan al-Banna, Sayyid Quthub, dan seterusnya.

Al-Qa'eda dan Jema’ah Islamiyah (J.I) akan mendukung ‘Abdullah Azzam, Mullah ‘Umar, Abu Muhammad Ashim al-Maqdisi, Aiman adz-Dzawahiri, dan Osama B. Laden.

Hizbut Tahrir tentu mendukung pula Taqiyuddin an-Nabhani.

Jama'ah Tabligh, akan mengangkat dan mengedepankan Zakaria al-Kandahlawi dan Maulana Ilyas.

Ahlus sunnah pula tentu akan mengedepankan hadis-hadis nabi dan atsar-atsar para sahabat dalam memahami al-Qur'an dalam agama ini. Mereka sentiasa mengedepankan imam-imam mereka sebagaimana dimaklumi. Iaitu seperti Para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in, tokoh-tokoh ulama tabi’in, dan imam-imam seperti Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi’i, Ahmad B. Hanbal, Sufyan ats-Tsauri, Hasan al-Bashri, al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nawawi, Ibnu Katsir, Ibnu Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Ibnu Hajar dan yang lain seterusnya.

Dan sudah tentu mereka akan mengajak pula masyarakat supaya berpedoman kepada manhaj atau prinsip-prinsip para imam ahlus sunnah ini, iaitu prinsip generasi salafush sholeh.

Berbeza jika mereka adalah Syi'ah dan para pendukungnya! Siapakah idola mereka? Apakah mereka mahu mengajak umat utk berpedoman kepada hadis-hadis nabi dan atsar-atsar para sahabat? Apakah mereka sudi mengajak masyarakat supaya menyelami khazanah ilmu ahlus sunnah wal-jama’ah dari kalangan imam-imam seperti yang penulis sebutkan tadi?

Jadi, di mana tokoh-tokoh pujaan PAS terutamanya Mat Sabu selaku pencetus utama demonstrasi BERSIH? Siapakah imam tempat beliau berpedoman??? Kalau bukan Sang Khomeini laknatullah ‘alaih pencaci para sahabat Rasul! Siapakah tokoh panutan beliau? Kalau bukan Hasan Nasrallah yang bekerjasama dengan Yahudi membunuh ahlus sunnah di Lubnan! Merekalah manusia yang paling kuat memusuhi ahlus sunnah bahkan mengajak kaumnya melaknat dan membunuh ahlus sunnah.

Merekalah Imam pencela Ummul Mukminin isteri-isteri Rasulullah dan tokoh para pencela sahabat-sahabat Rasul ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.

Inikah imam pujaan seorang pengaku pejuang Islam??? Fikir-fikirkanlah wahai para pemuja demonstrasi yang mengaku bermazhab Ahlus Sunnah wal-Jama’ah! Kembalilah kalian untuk berpegang kepada hadis-hadis Nabi dalam tindakanmu. Tinggalkan tokoh-tokoh perosak agama sang penyeru kepada pintu-pintu jahannam.

Imam Fudhail b. 'Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H) mengingatkan:


صَاحِبُ بِدْعَةٍ لَا تَأْمَنْهُ عَلَى دِينِكَ، وَلَا تُشَاوِرْهُ فِي أَمْرِكَ، وَلَا تَجْلِسْ إِلَيْهِ، وَمَنْ جَلَسَ إِلَى صَاحِبِ بِدْعَةٍ، أَوْرَثَهُ اللَّهُ الْعَمَى. يَعْنِي فِي قَلْبِهِ


“Janganlah kamu beri kepercayaan kepada ahli bid’ah dalam urusan agamamu, jangan kamu bermesyuarat dengannya dalam urusanmu, dan jangan kamu duduk-duduk dengannya. Siapa yang duduk dengan ahli Bid'ah, Allah akan mewariskan baginya kebutaan. Yakni (kebutaan) di hatinya.” (al-Lalikaa’i, Syarah Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, 1/138, no. 264)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:


سئل مالك عن الرافضة فقال لا تكلمهم ولا ترو عنهم فإنهم يكذبون


Imam Malik pernah ditanya tentang Syi'ah Rafidhah, maka beliau pun berkata, “Janganlah kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu meriwayatkan hadis daripada mereka kerana mereka adalah pendusta.” (Rujuk: Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah, 1/26)

Dalam praktik agama dan aqidah Syi’ah, bercakap bohong di hadapan ahlus sunnah adalah suatu kewajiban dan termasuk amalan yang mulia. Oleh sebab itulah pada satu-satu keadaan tertentu kita sukar mengesan identiti sebenar mereka kerana mereka gemar berdusta (bertaqiyyah).

Tetapi apabila mereka kembali bersama-sama dengan kelompok mereka, mereka akan menukar kembali wajah dusta mereka. Kerana itulah jika kita melihat rakaman ucapan-ucapan mereka di hadapan kaum mereka, jelas mereka adalah kelompok yang kuat mencaci dan mencela ahlus sunnah termasuk ummul mukminin dan para sahabat Rasulullah. Berbanding sekiranya mereka duduk di hadapan kita, seolah-olah semuanya nampak baik dan biasa-biasa sahaja sehingga orang yang jahil akan mudah tertipu dan terperangkap dengan karektor talam dua muka mereka ini.

Wallahu a’lam.

Sumber : http://bahaya-syirik.blogspot.com/2011/06/127-semangat-syiah-dalam-demonstrasi.html

2 ulasan:

  1. secara jujurnya penulisan kamu adalah baik.. namun sayang jika tiada orang yang membaca.. teruskan usaha di dalam menegakkan kebenaran dan bukan kebatilan... salam ramadhan...

    BalasPadam
  2. anta silap tentang tabliq maulana ilyas dan maulana zakaria mereka hanya menyusunan hadis sahih dari Rasulullah saw, ia tidak mengangap sebagai mulia daripada itu hanya menghormati ahli kitab sahaja, mereka masih lagi memegang sunnah rasulullah saw jangan fitnah tabliq tuan tentang mertabatkan pula ahli kitab tinggi daripada Rasulullah saw, semoga anta memperbetulkan kefahaman tentang tabliq kerana merekalah usaha dakwah yang di lakukan sepertimana rasulullah saw dan sahabat-sahabat r.a kerjakan, sangat baik tentang huraian saudari di atas, ana sanga setuju maaf baru jumpa blog ini sayang lambat baca :)

    BalasPadam