Selasa, 24 Mei 2011

Nasib Pemerintah Kaum Muslimin Yang Ke-Enam


Ibn al-Jawziy menceritakan daripada Abu Bakr al-Suliy beliau berkata “Orang ramai mengatakan setiap orang keenam yang memerintah akan dipecat semenjak zaman permulaan Islam lagi".

Ibn al-Jawziy berkata “Aku mengkaji perkara tersebut dan aku terkejut dengan hasilnya. Pada permulaan zaman Islam pemimpinnya adalah Rasulullah saw selepas itu Abu Bakr, kemudian Omar dan diikuti Osman dan Ali. Selepas itu Hasan. Beliau telah dipecat oleh Muawiyah (maksudnya menyerahkan urusan Khilafah kepada Muawiyah).

Selepas Muawiyah, pemerintahan telah diteruskan oleh Yazid, diikuti oleh Muawiyah ibn Yazid, diteruskan pula oleh Marwan kemudiannya Abd. Malik. Selepas itu pemerintahan diteruskan oleh Abdullah ibn Zubair. Beliau telah dipecat dan dibunuh.

Selepas itu pemerintahan diteruskan oleh al-Walid. Kemudiannya Sulaiman, selepas itu Omar ibn Abd Aziz, kemudiannya Yazid, kemudiannya Hisham. Selepas itu al-Walid ibn Yazid memerintah. Beliau akhirnya dipecat dan dibunuh.

Selepas itu Bani Umayyah tidak lagi menjadi pemerintah sehinggalah al-Sufah al-Abbasiy menjadi pemerintah. Selepas itu pemerintah diambil alih oleh saudaranya al-Mansur, kemudiannya al-Mahdi diikuti oleh al-Hadi, kemudiannya dipegang oleh al-Rashid kemudiannya diberikan kepada al-Amir. Beliau telah dipecat dan dibunuh.

Selepas itu tampuk pemerintahan berada ditangan al-Ma’mun, kemudian dipegang oleh al-Mu’tasim, kemudiannya al-Wathiq, al-Mutawakkil, kemudiannya al-Muntasir dan selepas itu dipegang oleh al-Musta’in. Beliau telah dipecat dan dibunuh.

Setelah itu tampuk pemerintahan dipegang oleh al-Mu’taz, diikuti selepasnya oleh al-Muhtada, kemudiannya al-Mu’tamid, kemudiannya al-Mu’tadid dan kemudiannya al-Muktafiy. Selepas itu pemerintahan dipegang oleh al-Muqtadar. Beliau telah dipecat kemudian dilantik semula dan akhirnya beliau dibunuh.

Selepas itu jawatan pemerintah diambil alih oleh al-Qahir, kemudiannya al-Radiy, kemudiannya al-Muttaqi, al-Muktafi, al-Mut’iy dan selepas itu diberikan kepada al-Tai’iy. Beliau telah dipecat.

Kemudian jawatan tersebut diserahkan kepada al-Qadir, kemudiannya al-Qaim, kemudiannya al-Muqtadi, kemudiannya al-Mustazhir, kemudiannya al-Mustarshid dan akhirnya al-Rashid. Beliau telah dipecat dan dibunuh. (Khalifah al-Rashid dibunuh pada tahun 532 Hijrah)

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 12 mukasurat 287-288 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan