Isnin, 9 Mei 2011

Kisah Pembakaran al-Suhuf (Helaian al-Quran) oleh Saidina Osman ibn Affan ra – Bahagian 2


Al-Waqidiy berkata bahawa Ibn Abu Sibrah telah menceritakan kepada kami daripada Suhail ibn Abu Salih daripada ayahnya daripada Abu Hurairah dengan wajah (gaya bahasa) yang lain. Sewaktu Osman selesai membukukan al-Mashaf tersebut, Abu Hurairah dating bertemu dengan beliau dan berkata “Benar dan tepat sekali apa yang engkau lakukan itu dan Allah swt telah memberikan taufiknya kepadamu. Aku bersumpah bahawa aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya umatku yang paling aku sayangi ialah mereka yang hidup selepas aku tetapi beriman denganku walaupun mereka tidak pernah bertemu denganku. Mereka itu beramal mengikut ajaran yang terdapat dalam al-Waraq al-Muallaq (Kertas Yang Tergantung)” Aku pun bertanya “Kertas apa?” Baginda menjawab “Kamu akan faham setelah kamu melihat al-masahi (Al-Quran Yang Dibukukan).”

Setelah mendengar hadis tersebut, Osman berasa begitu gembira sekali dan menghadiahkan kepada Abu Hurairah wang sebanyak 10,000 (dirham). Dan beliau terus berkata “Demi Allah! Aku benar-benar tidak mengetahui engkau masih ada menyimpan hadis Nabi kita saw daripada pengetahuan kami”. Kemudiannya mana-mana mashaf yang masih tersimpan ditangan orang ramai yang berlainan daripada mashaf yang beliau tulis (susun) dikumpul dan dibakar. Tindakan ini diambil untuk mengelakkan berlakunya perselisihan.

Maka Abu Bakr ibn Abu Daud berkata dalam kitab al-Masahif, Muhammad ibn Bashar telah menceritakan kepada kami, Muhammad ibn Jaafar dan Abd. Rahman telah menceritakan kepada kami, kedua-duanya berkata bahawa Syukbah telah menceritakan kepada kami daripada Alqamah ibn Marthad daripada seorang lelaki daripada Suwayd ibn Ghaflah yang berkata, Ali telah berkata kepadaku sewaktu Osman membakar al-Masahif “Andaikata beliau (Osman) tidak melakukannya, pasti aku yang akan melakukannya”. Begitulah juga yang diriwayatkan oleh Abu Daud al-Tayalisiy dan Amru ibn Marzuq daripada Syukbah.

Al-Baihaqi dan yang lain-lain telah meriwayatkan hadis daripada Muhammad ibn Aban (Suami kepada adik perempuan Hussein) daripada Alqamah ibn Marthad yang berkata “Aku telah mendengar al-Izar ibn Jarwal yang mendengar Suwaid ibn Ghaflah berkata, Ali pernah berkata “Wahai manusia! Jauhilah daripada bersikap melampau terhadap Osman. Kamu menuduh beliau telah membakar al-Mashaf (al-Quran). Demi Allah, beliau tidak membakarnya melainkan atas cadangan sahabat-sahabat Rasulullah juga. Sekiranya kamu berada ditempatnya kamu juga akan melakukan tindakan yang sama”.

Diriwayatkan daripada ibn Masud bahawa beliau telah memarahi (Osman) yang telah memberi arahan supaya mashafnya diambil dan dibakar. Dalam marahnya itu, beliau menyebut juga tentang pengislaman beliau terlebih awal daripada Zaid ibn Thabit, penulis mashaf baru itu. Dia juga telah menyuruh kawan-kawannya supaya mengingkari arahan tersebut dan menyembunyikan mashaf-mashaf mereka. Seterusnya dia membaca ayat al-Quran iaitu Allah swt berfirman “Dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari Kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu”-Surah ali-Imran 3:161.

Osman yang menyedari tindakan ibn Masud itu telah menulis kepada beliau dan meminta supaya beliau mengikut jejak sahabat-sahabat lain yang telah memberi kata sepakat supaya al-Quran yang lama dibakar kerana kebaikan (maslahat) yang ada padanya. Osman juga meminta beliau supaya bersatu hati serta tidak berselisih pendapat. Ibn Masud mula menyedari kesalahannya lalu menjawab seruan Osman dengan menurut kata sepakat para sahabat dan mengelakkan perselisihan. Allah swt telah meredai kesemua mereka itu.

Sumber : al-Bidayah wa an-Nihayah jilid 7 mukasurat 335-336 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail Ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan