Jumaat, 8 April 2011

Kenali Sahabat Nabi : Al-Mughirah ibn Syukbah


Nama penuhnya ialah al-Mughirah ibn Syukbah ibn Abu Amir ibn Masud Abu Isa atau juga biasa dipanggil Abu Abdullah al-Thaqafiy. Urwah ibn Masud al-Thaqafiy pula ialah bapa saudara bapanya (datuk saudara al-Mughirah). Beliau termasuk dikalangan tokoh Arab yang terkemuka lagi disegani kerana mempunyai akal yang tajam dan pandangan-pandangan yang bernas. Beliau memeluk Islam selepas peperangan Khandaq selepas 13 orang dari Bani Thaqif terbunuh. Mereka terbunuh sewaktu melarikan diri dari Raja al-Muqauqis. Lalu Urwah ibn Masud membayar diah mereka.

Al-Mughirah menyertai Perjanjian Hudaibiyah. Beliau berdiri disisi Rasulullah saw sambil memegang sebilah pedang yang terhunus. Rasulullah saw telah menghantarnya dan Abu Suffian ibn Harb untuk menghancurkan berhala al-Lata, selepas penduduk Taif memeluk Islam.

Abu Bakr al-Siddiq telah menghantarnya ke al-Bahrain. Beliau turut menyertai Peperangan al-Yamamah dan Yarmuk, dan pada peperangan Yarmuk, matanya buta setelah dilukai. Namun menurut satu pendapat, beliau melihat kearah matahari yang sedang gerhana, lalu penglihatannya menjadi buta.

Beliau turut menyertai Peperangan al-Qadisiyyah. Omar ra telah melantiknya sebagai ketua tentera dalam beberapa siri pembukaan antaranya Hamadan dan Maysan. Beliau juga merupakan utusan Sa’d kepada Rustam yang mampu mengucapkan kata-kata yang fasih, jelas dan sedap didengar dihadapan raja tersebut. Omar ra melantiknya sebagai gabenor Basrah. Apabila ada pihak yang menuduh bahawa beliau melakukan zina, sedangkan tuduhan itu tidak sabit bahawa Omar ra melucutkan jawatannya, lalu beliau (Omar) melantiknya untuk mentadbir Kufah pula.

Pada zaman Osman ra, jawatan yang disandang oleh al-Mughirah di Kufah tidak kekal lama kerana tidak lama kemudian beliau dipecat. Beliau terus hidup mengasingkan diri sehingga tiba peristiwa Tahkim. Beliau pun menemui Muawiyah dan menyebelahinya. Selepas Ali dibunuh, dan berlaku penyerahan jawatan (kuasa oleh) Hasan kepada Muawiyah, Muawiyah melantiknya sebagai penguasa (pentadbir) Kufah seperti sebelumnya. Beliau kekal menjawat jawatan sehinggalah meninggal dunia pada tahun ini (50 Hijrah) menurut pendapat yang mahsyur. Kenyataan ini dipegang oleh Muhammad ibn Sa’d dan yang lain-lain.

Al-Khatib pula menyebut bahawa pendapat diatas telah disepakati oleh kaum muslimin. Kematian al-Mughirah berlaku pada bulan Ramadhan ketika berusia 70 tahun. Abu Ubaid pula menegaskan al-Mughirah meninggal dunia pada tahun 49 Hijrah, sementara Ibn Abd al-Barr berpendapat pada tahun 51 Hijrah. Kemudian periwayat-periwayat yang lain ada berpendapat 58 Hijrah bahkan ada yang berpendapat tahun 36 Hijrah. Pendapat yang terakhir ini ternyata jelas kesalahannya.

Muhammad ibn Sa’d mencatatkan bahawa al-Mughirah mempunyai rambut yang sangat perang, mudah ketawa menampakkan gusinya, kedua-dua bibirnya mengerut, berkepala besar dan memiliki tangan yang besar serta jauh jarak antara dua bahunya (bertubuh besar). Beliau menyisir rambutnya empat kali sehari.

Al-Sha’biy berkata bahawa al-qudat (hakim yang adil) ada empat iaitu Abu Bakr, Omar, Ibn Mas’ud dan Abu Musa. Sementara itu al-dahat (orang yang bijaksana, licik dan banyak muslihatnya) juga ada empat iaitu Muawiyah, Amru, al-Mughirah dan Ziyad.
Al-Zuhriy pula menyatakan bahawa al-dahat dalam perkara fitnah ada lima iaitu Muawiyah, Amru ibn al-As, al-Mughirah ibn Syukbah yang berkecuali dalam peristiwa Tahkim, Qays Sa’d ibn Ubadah dan Abdullah ibn Budayl ibn Waraqa kedua-duanya bersama Ali.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 73-74 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan