Rabu, 20 April 2011

Perbezaan Ahli Sunnah Dengan Golongan Lain - Bahagian 2


Ahli Sunnah adalah orang yang paling mengetahui hal ehwal Rasul, baik berupa perkataan mahupun perbuatan-perbuatannya serta yang paling besar kecintaan dan kesetiaan baik terhadap Sunnahnya mahu pun pendokongnya.

Orang yang paling berhak dikategorikan sebagai firqah an-Najiah adalah ahli Hadis dan as-Sunnah iaitu yang tetap mengikuti dan bertaksub kepada Rasulullah saw. Merekalah yang paling mengetahui perkataan nabi dan hal ehwalnya.

Disamping itu, mereka memiliki perhatian besar dalam mempertimbangkan antara riwayat-riwayat yang sahih dan yang lemah.

Imam-imam mereka adalah orang yang benar-benar mengetahui hadis dan mengetahui maknanya, mengikutinya, mengamalkannya, membenarkannya, mencintainya serta menaruh hormat kepada orang yang menghormatinya dan memusuhi orang yang memusuhinya.

Mereka meriwayatkan perkataan-perkataan yang global, lalu menjelaskannya dengan merujuk kitab (al-Quran) dan al-hikmah (as-Sunnah)

Sumber :Ahli Sunnah Wal Jamaah : Kenapa Perlu Dipertahankan Di Nusantara Karangan Haji Jainal Sakiban al-Jauhari Terbitan Majlis Agama Islam Negeri Johor m/s 27-28

Isnin, 11 April 2011

Syair Nasr ibn Mansur al-Numayriy


Beliau pernah ditanya tentang mazhab dan pegangannya, lalu beliau bersyair. Syairnya berbunyi :-

“Aku mencintai Ali, Fatimah dan anak-anaknya,
Dan aku tidak akan mengingkari terhadap Abu Bakr dan Omar al-Khattab,
Aku tidak menyintai orang yang telah menyakiti Osman,
Sepertimana aku membenci hamba Ibn Muljam,
Aku sangat mengkagumi ahli hadis kerana kebenaran mereka,
Dan aku tidak akan menyukai kaum yang lain selain mereka (Ahli hadis)”


Beliau meninggal di Baghdad pada tahun 588 Hijrah dan telah dikebumikan di tanah perkuburan para syuhada’ yang terletak di Bab al-Harb.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid12 mukasurat 458 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Jumaat, 8 April 2011

Kenali Sahabat Nabi : Al-Mughirah ibn Syukbah


Nama penuhnya ialah al-Mughirah ibn Syukbah ibn Abu Amir ibn Masud Abu Isa atau juga biasa dipanggil Abu Abdullah al-Thaqafiy. Urwah ibn Masud al-Thaqafiy pula ialah bapa saudara bapanya (datuk saudara al-Mughirah). Beliau termasuk dikalangan tokoh Arab yang terkemuka lagi disegani kerana mempunyai akal yang tajam dan pandangan-pandangan yang bernas. Beliau memeluk Islam selepas peperangan Khandaq selepas 13 orang dari Bani Thaqif terbunuh. Mereka terbunuh sewaktu melarikan diri dari Raja al-Muqauqis. Lalu Urwah ibn Masud membayar diah mereka.

Al-Mughirah menyertai Perjanjian Hudaibiyah. Beliau berdiri disisi Rasulullah saw sambil memegang sebilah pedang yang terhunus. Rasulullah saw telah menghantarnya dan Abu Suffian ibn Harb untuk menghancurkan berhala al-Lata, selepas penduduk Taif memeluk Islam.

Abu Bakr al-Siddiq telah menghantarnya ke al-Bahrain. Beliau turut menyertai Peperangan al-Yamamah dan Yarmuk, dan pada peperangan Yarmuk, matanya buta setelah dilukai. Namun menurut satu pendapat, beliau melihat kearah matahari yang sedang gerhana, lalu penglihatannya menjadi buta.

Beliau turut menyertai Peperangan al-Qadisiyyah. Omar ra telah melantiknya sebagai ketua tentera dalam beberapa siri pembukaan antaranya Hamadan dan Maysan. Beliau juga merupakan utusan Sa’d kepada Rustam yang mampu mengucapkan kata-kata yang fasih, jelas dan sedap didengar dihadapan raja tersebut. Omar ra melantiknya sebagai gabenor Basrah. Apabila ada pihak yang menuduh bahawa beliau melakukan zina, sedangkan tuduhan itu tidak sabit bahawa Omar ra melucutkan jawatannya, lalu beliau (Omar) melantiknya untuk mentadbir Kufah pula.

Pada zaman Osman ra, jawatan yang disandang oleh al-Mughirah di Kufah tidak kekal lama kerana tidak lama kemudian beliau dipecat. Beliau terus hidup mengasingkan diri sehingga tiba peristiwa Tahkim. Beliau pun menemui Muawiyah dan menyebelahinya. Selepas Ali dibunuh, dan berlaku penyerahan jawatan (kuasa oleh) Hasan kepada Muawiyah, Muawiyah melantiknya sebagai penguasa (pentadbir) Kufah seperti sebelumnya. Beliau kekal menjawat jawatan sehinggalah meninggal dunia pada tahun ini (50 Hijrah) menurut pendapat yang mahsyur. Kenyataan ini dipegang oleh Muhammad ibn Sa’d dan yang lain-lain.

Al-Khatib pula menyebut bahawa pendapat diatas telah disepakati oleh kaum muslimin. Kematian al-Mughirah berlaku pada bulan Ramadhan ketika berusia 70 tahun. Abu Ubaid pula menegaskan al-Mughirah meninggal dunia pada tahun 49 Hijrah, sementara Ibn Abd al-Barr berpendapat pada tahun 51 Hijrah. Kemudian periwayat-periwayat yang lain ada berpendapat 58 Hijrah bahkan ada yang berpendapat tahun 36 Hijrah. Pendapat yang terakhir ini ternyata jelas kesalahannya.

Muhammad ibn Sa’d mencatatkan bahawa al-Mughirah mempunyai rambut yang sangat perang, mudah ketawa menampakkan gusinya, kedua-dua bibirnya mengerut, berkepala besar dan memiliki tangan yang besar serta jauh jarak antara dua bahunya (bertubuh besar). Beliau menyisir rambutnya empat kali sehari.

Al-Sha’biy berkata bahawa al-qudat (hakim yang adil) ada empat iaitu Abu Bakr, Omar, Ibn Mas’ud dan Abu Musa. Sementara itu al-dahat (orang yang bijaksana, licik dan banyak muslihatnya) juga ada empat iaitu Muawiyah, Amru, al-Mughirah dan Ziyad.
Al-Zuhriy pula menyatakan bahawa al-dahat dalam perkara fitnah ada lima iaitu Muawiyah, Amru ibn al-As, al-Mughirah ibn Syukbah yang berkecuali dalam peristiwa Tahkim, Qays Sa’d ibn Ubadah dan Abdullah ibn Budayl ibn Waraqa kedua-duanya bersama Ali.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 73-74 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Selasa, 5 April 2011

Surah al-Ahzab Ayat 33-Bahagian 2


Abdu bin Humaid menceritakan kepada kami, Affan bin Muslim memberitahukan kepada kami, Hammad bin Salamah memberitahukan kepada kami Ali bin Zaid memberitahukan kepada kami dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw berjalan melewati pintu Fatimah selama enam bulan apabila beliau keluar untuk melakukan solat dengan bersabda “Datang waktu solat hai Ahlul Bait!” (Sesungguhnya Allah bermaksud menghilangkan dosa dari kamu hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya-Surah al-Ahzab : Ayat 33)

Hadis ini adalah hadis Hasan Gharib, dari sanad ini yang aku mengetahuinya hanya dari hadis Hammad bin Salamah. Dan dalam bab ini terdapat hadis dari Abil Hamra’ Ma’qil bin Yasar dan Ummu Salamah.

(Sunan at-Tirmizi Jilid 5 hadis no. 3259)

Peristiwa Penyerahan Urusan Khalifah Dari Saidina Hasan Bin Ali Bin Abu Talib Kepada Saidina Muawiyah Bin Abu Suffian


Ibnu Jarir mencatatkan bahawa pada tahun ini (41 Hijrah), al-Hasan bin Ali menyerahkan urusan khilafah kepada Muawiyah Bin Abu Suffian. Kemudian beliau (Ibn Jarir) meriwayatkan daripada al-Zuhriy yang berkata “Selepas penduduk Iraq melakukan baiah kepada al-Hasan bin Ali, beliau meletakkan syarat bahawa mereka mesti mematuhi dan mentaati setiap perintahnya, bersedia untuk berdamai (dengan sesiapa yang dia berdamai) dan berperang (dengan sesiapa yang dia perangi)”. Penduduk Iraq berasa ragu-ragu dengan syarat tersebut. Mereka berkata sesame sendiri “Apakah yang cuba dilakukan al-Hasan ini?” Kegelisahan yang menghantui mereka menyebabkan pelbagai tuduhan dibuat terhadapnya. Mereka mula membenci al-Hasan dan pada masa yang sama kebingungan mereka semakin bertambah. Tindakan tersebut menyebabkan al-Hasan meyakini bahawa mereka tidak menyetujui segala pendapatnya bahkan menyatakan ketidaksanggupan untuk menyokongnya lagi. Beliau pun menghantar surat kepada Muawiyah untuk melaksanakan perdamaian yang ditentukan oleh kedua-dua belah pihak.

Imam al-Bukhari menyebutkan sebuah riwayat dalam bab al-Sulh (perdamaian) bahawa Abdullah ibn Muhammad telah menceritakan kepadaku, Sufyan telah menceritakan kepadaku daripada Abu Musa yang berkata bahawa beliau pernah mendengar Hasan berkata “Demi Allah, Hasan ibn Ali telah menghantar beberapa ketumbukan tentera kepada Muawiyah bin Abu Suffian umpama bukit bukau (gunung ganang)!” Amru ibn al-As pula berkata “Sesungguhnya aku telah melihat dengan kekuatan yang sama banyaknya!”. Muawiyah berkata “Sekiranya mereka (penduduk Sham) membunuh mereka (penduduk Iraq), maka siapakah bagi pihak aku yang akan menjalankan urusan kehidupan kaum muslimin? Siapakah yang akan membantu golongan-golongan lemah dikalangan yang akan membantu kaum wanita mereka?” Oleh itu beliau menghantar dua orang lelaki Quraish daripada kelompok Bani Abd Shamsin iaitu Abd. Rahman ibn Samurrah dan Abdullah ibn Umayr kepada al-Hasan. Sebelum mereka pergi beliau berpesan “Pergilah kamu berdua kepada lelaki ini (al-Hasan). Ceritakanlah masalah ini kepadanya dan mintalah sesuatu daripadanya!”. Mereka terus bergegas menemui al-Hasan lalu berbuat seperti yang diarahkan oleh Muawiyah. Al-Hasan pun menjawab “Sesungguhnya kami anak-anak (keturunan) Abd al-Muttalib telah menerima harta (kekuasaan) ini akan tetapi umat Islam ini telah memboroskannya untuk kepentingan mereka sendiri!” Kedua-duanya berkata “Kami hanya menjalankan tugas kami kerana Muawiyah menawarkan kamu sekian, sambil menuntut sesuatu daripada kamu dan seterusnya melakukan perdamaian denganmu”. Al-Hasan segera bertanya “Siapakah aku untuk campur tangan dalam urusan ini?” Mereka menjawab “Kami juga sependapat denganmu!” Dalam dialog-dailog yang seterusnya menyatakan bahawa apabila al-Hasan bertanya kepada mereka, mereka akan menjawab dengan jawapan yang sama seperti diatas dengan tambahan “Berdamailah dengannya”.
Kemudian al-Hasan berkata “Aku telah mendengar Abu Bukrah bercerita “Aku melihat Rasulullah saw berada diatas mimbar sedangkan al-Hasan bin Ali berada disisinya. Dia memandang orang ramai dan kemudian ke arahnya. Baginda pun bersabda “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini bakal menjadi ketua atau sayyid. Semoga Allah swt menjadikannya pendamai antara dua puak yang besar daripada orang-orang Islam!”

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ali Bin al-Madiniy telah berkata kepadanya “Sesungguhnya telah thabit (jelas) di sisi kita tentang al-Hasan ibn Abu Bukrah yang telah mendengar hadis ini! Al-Bukhari turut mencatatkan hadis ini dalam bab al-Fitan (Fitnah-Fitnah) dengan memetiknya daripada Ali ibn Abdullah anak kepada al-Madiniy daripada Sufyan dan dalam bab Fadail al-Hasan (Keistimewaan al-Hasan) dengan memetiknya daripada Sadaqah ibn al-Fadl daripada Sufyan juga.
Imam Ahmad turut mencatatkannya daripada Sufyan yakni anak Uyainah daripada Israil ibn Musa al-Basriy dengan lafaz yang sama. Beliau turut mencatatkannya dalam kitab Dalail al-Nubuwwah daripada Abdullah ibn Muhammad anak Abu Syaibah dan Yahya ibn Adam, kedua-duanya daripada Husein ibn Ali al-Ja’fiy daripada Israil daripada Hasan al-Basriy dengan lafaz yang sama. Riwayat ini turut dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud dan al-Nasaiy melalui hadis Hammad ibn Zaid daripada Ali bin Zaid daripada Hasan al-Basri, turut diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi melalui Ash’ath daripada hasan al-Basri. Imam al-Tirmizi menambah bahawa kedudukan hadis tersebut ialah hasan sahih. Al-Nasai pula meriwayatkannya melalui Awf al-A’rabiy dan yang lain-lain daripada Hasan al-Basri secara mursal.

Imam Ahmad menyebutkan sebuah hadis lagi bahawa Abd. Razzaq telah menceritakan kepadaku Ma’mar telah menceritakan kepadaku daripada perkhabaran orang yang mendengar Hasan al-Basri daripada Abu Bukrah yang berkata “Rasulullah saw pernah bercerita kepada kami pada suatu hari sedangkan al-Hasan bin Ali berada didalam biliknya (bilik baginda)”. Baginda mengadap para sahabatnya lalu menyambung ceritanya. Kemudian, berpaling kepada Hasan lalu memciumnya lalu bersabda “Wahai manusia, sesungguhnya anakku (cucuku) ini bakal menjadi sayyid (ketua). Jika ia masih hidup ia bakal mendamaikan dua buah kumpulan besar daripada kaum muslimin!”.
Al-Hafiz Ibn Asakir pula menyatakan bahawa demikianlah juga hadis yang dicatatkan oleh Ma’mar tetapi beliau tidak menamakannya orang yang telah menceritakan kepadanya daripada al-Hasan. Terdapat sebuah kelompok besar daripada kalangan ulama hadis yang telah meriwayatkannya daripada al-Hasan yang diantaranya ialah Abu Musa Israil, Yunus bin Ubaid, Mansur ibn Zadhan, Ali ibn Zaid, Hisham ibn Hasan, Ash’ath ibn Sawwar, al-Mubarak ibn Fudalah dan Amru ibn Ubaid al-Qadri. Selepas itu Ibn Asakir bertindak meletakkan jalan-jalan hadis untuk kesemua riwayat tersebut. Lalu jadilah riwayat-riwayat tersebut lebih jelas dan tepat.

Penulis (Ibnu Kathir) pula menjelaskan bahawa pada zahirnya, Ma’mar meriwayatkannya daripada Amru ibn Ubaid tetapi tidak pula menjelaskan nama Amru ibn Ubaid dalam riwayatnya. Muhammad ibn Ishak ibn Yasar pula turut meriwayatkannya daripada Amru ibn Ubaid tetapi beliau menamakan sekali diri Amru dalam riwayatnya. Ahmad ibn Hisham pula meriwayatkannya daripada Mubarak ibn Fudalah daripada al-Hasan ibn Abu Bukrah, dia menyebut hadis bahawa al-Hasan berkata “Demi Allah, aku bersumpah dengan namaNya bahawa selepas al-Hasan ibn Ali dilantik sebagai Khalifah, tiadalah yang bergolak dalam pemerintahannya kecuali tempat berbekam sentiasa dipenuhi darah!”.
Guru penulis (Ibnu Kathir), Abu Hajjaj al-Muzziy menjelaskan dalam kitabnya bahawa hadis tersebut telah diriwayatkan oleh sebahagian daripada mereka (nama-nama yang disebutkan tadi) daripada al-Hasan ibn Abu Bukrah daripada Ummu Salamah. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdullah al-Ansari yang berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda tentang al-Hasan ibn Ali “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini bakal menjadi sayyid (ketua) yang dengan jawatan itu dengan izin Allah dia akan mendamaikan dua puak kaum muslimin!”.

Hadis yang sama turut diriwayatkan oleh Abd Rahman ibn Ma’mar daripada al-Mash dengan lafaz yang serupa. Abu Ya’la pula menyebut bahawa Abu Bakr telah menceritakan kepadaku, Zaid ibn al-Habbab telah menceritakan kepadaku, Muhammad ibn Salih al-Tamar al-Madaniy telah menceritakan kepadaku, Muhammad ibn Muslim ibn Abu Maryam telah menceritakan kepadaku daripada Said ibn Abu Said al-Madaniy yang bercerita “Ketika kami berkumpul bersama-sama Abu Hurairah, al-Hasan ibn Ali datang lalu member salam kepada kami. Abu Hurairah menjawab “Kesejahteraan jua keatasmu, wahai tuanku!”. Kemudian beliau berkata “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawa al-Hasan bakal menjadi pemimpin”.

Abu al-Hasan Ali ibn Madini menyebutkan bahawa penyerahan kuasa khalifah yang dilakukan oleh al-Hasan bin Ali kepada Muawiyah berlaku pada hari Khamis bulan Rabiul Awwal tahun 41 Hijrah tetapi sebahagian yang lain menyatakan pada bulan Rabiul Akhir. Ada pula yang berpendapat pada awal bulan Jamadil Awwal. Wallahua’lam. Beliau (Abu al-Hasan Ali ibn Madini) menyebut lagi bahawa pada waktu itu juga, Muawiyah memasuki Kufah lalu berkhutbah dihadapan kaum muslimin selepas proses bai’ah selesai dijalankan.

Ibn Jarir menyebut pula bahawa Amru ibn al-As telah mencadangkan kepada Muawiyah supaya menyuruh al-Hasan ibn Ali berkhutbah (berucap) terlebih dahulu bagi mengisytiharkan penyerahan jawatannya kepada Muawiyah. Muawiyah menerima cadangan tersebut lalu meminta al-Hasan berbuat demikian. Al-Hasan berdiri lalu berucap. Selepas mengucapkan kesyukuran kepada Allah dengan memuji-mujiNya dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw beliau pun berkata, “Amma ba’du, Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah telah member hidayah kepada kamu melalui orang yang lebih awal daripada kita dan melindungi darah kamu melalui golongan mutakhir kalangan kita. Sesungguhnya urusan ini (khilafah) mempunyai tempoh yang tertentu sedangkan dunia ini sentiasa berputar (masanya sentiasa berganti). Sesungguhnya Allah swt telah berfirman kepada Nabi Muhammad saw “Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dihanjikan kepada kamu itu), mungkin kelambatan itu menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan disamping itu member kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu” (Surah al-anbiya’ 21 : 111). Apabila Muawiyah mendengar ucapan tersebut, beliau berasa sangat marah lalu menyuruhnya duduk sambil mengutuk Amru ibn al_as terhadap cadangannya itu. Sesungguhnya jiwa Muawiyah sentiasa berkeadaan demikian (marah kepada Amru) selepas peristiwa tersebut. Wallahua’lam.

Sementara itu, Abu Isa al-Tirmizi dalam kitab Jami’nya menyebutkan bahawa Mahmud ibn Ghaylan telah menceritakan kepadaku, Abu Daud al-Tayalisiy telah menceritakan kepadaku, al-Qasim ibn al-Fadl al-Haddaniy telah menceritakan kepadaku daripada Yusuf ibn Said yang berkata “Seorang lelaki bangun lalu menghampiri al-Hasan bin Ali selepas beliau (al-Hasan) berbai’ah kepada Muawiyah lalu berkata “Engkau telah menghitamkan wajah orang-orang Islam atau wahai penghitam orang-orang Islam” al-Hasan menjawab dengan tenang “Janganlah kamu menghinaku. Semoga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya Nabi saw telah diperlihatkan keadaan Bani Umayyah lalu baginda berasa sedih”. Tiba-tiba turun ayat-ayat berikut “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (didunia dan akhirat) (Surah al-Kauthar 108 :1). Wahai Muhammad itulah bahagian kamu, al-Kauthar merupakan nama sebatang sungai di syurga Allah swt. Berfirman lagi “Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul Qadar. Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Surah al-Qadar 97:1-3) “Wahai Muhammad, yang akan memilikinya selepas kamu ialah Bani Umayyah!” Al-Fadl menyebut bahawa menurut perkiraannya tiada tambahan atau pengurangan daripada seribu bulan tersebut.
Imam al-Tirmizi menjelaskan pula bahawa hadis tersebut bertaraf gharib kerana ia hanya diketahui melalui hadis al-Qasim ibn al-Fadl yang thiqah. Beliau diiktiraf thiqah oleh Yahya al-Qattan dan Ibn Mahdiy. Gurunya ialah Yusuf ibn Saad atau juga dipanggil Yusif ibn Madhin lelaki yang tidak dikenali. Al-Tirmizi menyatakan lagi bahawa lafaz hadis yang sedemikian hanya diketahui daripada hadis yang diriwayatkan daripada al-Qasim ibn al-Fadl ini. Oleh itu ia dianggap gharib bahkan sangat mungkar. Penulis (Ibnu Kathir) telah membincangkannya dalam kitab tafsirannya dan berasa tidak perlu untuk mengulangnya. Penulis turut menjelaskan bentuk nakirah hadis tersebut. Diri al-Qasim ibn al-Fadl juga turut dibincangkan. Wallahua’lam.

Al-hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi menyebut sebuah hadis bahawa Ibrahim ibn Mukhlid ibn Jaafar telah menceritakan kepadaku, Muhammad ibn Ahmad ibn Ibrahim al-Hakami telah menceritakan kepadaku, Abbas ibn Muhammad telah menceritakan kepadaku, Aswad ibn Amir telah menceritakan kepadaku, Zuhair ibn Muawiyah telah menceritakan kepadaku, Abu Rawq al-Hamdani telah menceritakan kepadaku, Abu al-Urayf telah menceritakan kepadaku yang berkata “Kami pernah bersama al-Hasan ibn Ali dibarisan tentera yang hadapan berjumlah 12,000 anggota disebuah tempat menuju ke al-Judd untuk memerangi penduduk Sham. Pemimpin pasukan tentera kami pada waktu itu ialah Abu al-Ghamartah. Apabila berita perdamaian yang dilakukan oleh al-Hasan ibn Ali datang kepada kami seolah-olah bahu kami patah lantaran berasa sangat marah.

Apabila al-Hasan tiba di Kufah, seorang lelaki daripada kalangan kami yang bernama Abu Amir Said ibn al-Natl menemuinya lalu berkata “Sejahtera ke atasmu wahai penghina kaum muslimin!” Al-Hasan menjawab “Janganlah berkata begitu wahai Amir. Aku bukan berniat menjadi penghina kaum muslimin akan tetapi yang sebenarnya aku enggan (tidak suka) memerangi mereka lantaran berebutkan kekuasaan”. Beliau memasuki kota Kufah dan menyampaikan ucapan yang akhirnya menghimpunkan dan menyatukan kekuasaan Islam dari seluruh pelosok dunia. Qays ibn Sa’d pula kembali semula (menyokongnya semula) yang pernah berazam menentang Muawiyah lalu menyatakan taat setianya yang tidak berbelah bahagi terhadap Muawiyah. Al-Hasan ibn Ali, al-Husein dan saudara-saudara mereka serta Abdullah ibn Ja’far (sepupu al-Hasan) pun meninggalkan bumi Iraq dan menuju ke Madinah al-Munawwarah. Setiap kali mereka melewati sesuatu puak penyokongnya, mereka akan mencela al-Hasan dengan keras kerana tindakannya melepaskan jawatan khalifah kepada Muawiyah begitu sahaja. Walaupun demikian, sebagai seorang yang mulia, bijak dan terpuji beliau tidak pernah berasa kecewa, kesal atau berdendam terhadap segala yang berlaku, berasa reda dan tenteram sekalipun ia sangat menyeksakan bagi pengikut, penyokong dan keluarganya. Keadaan yang bersarang dalam hati penyokong-penyokongnya berlarutan sehingga ke hari ini.

Dalam hal ini, penulis (Ibnu Kathir) lebih cenderung menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh al-Hasan adalah mengikut sunnah Rasulullah saw demi untuk melindungi darah umat Islam. Baginda turut mengesahkan tindakan beliau pada hadis sahih yang telah dibentangkan sebelum ini.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 23 – 27 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir