Isnin, 28 Mac 2011

Hadis Berkenaan Mayat Tidak Diterima Bumi


Al-Bukhari menyebutkan bahawa Abu Muammar telah menceritakan kepada kami, Abd Razzaq telah menceritakan kepada kami daripada Anas bin Malik yang berkata “Seorang lelaki Nasrani telah menganut Islam lalu membaca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran. Dia juga pernah menjadi jurutulis kepada nabi saw. Walaubagaimanapun, ia kembali ke agama asalnya, iaitu agama nasrani. Dengan megah dia berkata kepada kaumnya “Muhammad hanya tahu apa-apa yang telah aku tulis untuknya sahaja!” Lalu Allah mematikannya tidak lama kemudian. Mereka cuba menanam mayatnya tetapi mayat tersebut tidak dapat ditimbus kerana ia sentiasa terangkat ke permukaan. Mereka pun berkata “Ini adalah perbuatan Muhammad dan para sahabatnya – sewaktu dia lari daripada mereka, mereka pun menganiaya sahabat kita ini! –“ Kaum nasrani tersebut menggali sebuah lubang lagi dan cuba mengkebumikannya buat kali yang kedua tetapi usaha mereka menemui jalan buntu. Mayat tersebut berada dipermukaan tanah semula. Dengan peristiwa ini tahulah kaum nasrani tersebut bahawa kejadian seumpama diluar kemampuan manusia – ia bukanlah perbuatan nabi Muhammad saw – Oleh sebab itu, mereka membiarkan mayat tersebut begitu sahaja.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 321 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir