Jumaat, 7 Januari 2011

Kisah Kematian Al-Zubair Ibn Al-Awwam Ibn Khuwailid Di Tangan Amru Ibn Jarmuz Selepas Perang Jamal


Pada Peerangan Jamal, Ali ra telah mengingatkannya tentang satu perkara. Tanpa berlengah-lengah lagi, beliau berundur dari medan pertempuran dan berpatah balik ke Madinah. Beliau melewati sekelompok kaum yang dipimpin oleh al-Ahnaf ibn Qays (kaum ini tidak menyokong Ali ra atau Aishah ra). Seorang yang berkata al-Ahnaf berkata kepadanya “Apakah keadaan yang menimpa kelompok manusia ini (kelompok al-Zubair yang kembali ke Madinah) apabila bertemu dengan lawannya ia berpatah balik ke rumahnya” Dengan nada menghina al-Ahbaf berkata lagi “Siapakah antara kalian yang bersedia untuk mengambil maklumat tentang al-Zubair?”. Lalu tampillah Amru ibn Jarmuz, Fudalah ibn Habis dan Nufay beserta sekelompok pemberontak Bani Tamim untuk melaksanakan arahan tersebut.

Menurut sebuah riwayat, sebaik sahaja Amru dan kawan-kawannya bertemu, al-Zubair mati terbunuh. Ada pula yang berpendapat bahawa beliau ditemui sendiri oleh Amru ibn Jarmuz. Amru berteriak kepadanya “Sesungguhnya kedatanganku ke mari dengan satu hajat!”. Al-Zubair terus mempelawa Amru supaya mendekatinya tanpa menaruh sebarang syak wasangka. Budak suruhan al-Zubair mengingatkan al-Zubair bahawa Amru datang dengan maksud buruk kerana dia bersenjata. Al-Zubair tidak mengendahkan peringatan tersebut bahkan menganggapnya sebagai tidak berbahaya.

Amru terus menemui al-Zubair secara berhadapan dan mula berbicara. Secara kebetulan waktu solat (tidak dinyatakan nama solat) telah masuk, lalu al-Zubair berkata “Marilah kita bersolat terlebih dahulu!” Amru pura-pura menjawab “Baiklah!” Sebaik sahaja al-Zubair melangkah ke hadapan untuk mengimami solat itu, Amru terus menikamnya sehingga mati.

Menurut sebuah pendapat yang lain, Amru menemui al-Zubair sedang tidur disebuah oasis yang bernama Oasis al-Saba’. Amru terus menyerangnya lalu membunuhnya tanpa sebarang rasa belas kasihan pun! Pendapat yang terakhir ini dianggap yang paling mahsyur.
Berita kematiannya terus disampaikan kepada isterinya, Atikah bte Zaid ibn Amru ibn Nufayl. Atikah merupakan isteri terakhir al-Zubair dan juga bekas isteri Omar ibn al-Khattab ra. Omar ra mati terbunuh sewaktu Atikah masih menjadi isterinya. Sebelum menjadi isteri Omar ra, Atikah menjadi isteri Abdullah ibn Abu Bakr al-Siddiq. Abdullah turut mati dibunuh ketika Atikah masih menjadi isterinya.

Selepas Amru ibn Jarmuz Berjaya membunuh al-Zubair, kepala al-Zubair terus dipenggal olehnya. Kemudian dia membawa kepala itu lalu menemui Ali ra mengharapkan sesuatu ganjaran daripadanya. Sewaktu meminta izin untuk masuk, Ali ra segera mengeluarkan perintah “Jangan izinkan dia masuk. Khabarkan kepadanya bahawa ganjaran selayak untuknya ialah api neraka!” Menurut sebuah catatan yang lain, Ali ra berkata “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda “Beritahulah (khabarkan) kepada pembunuh Ibn (anak) Safiyyah [Ibu al-Zubair bernama Safiyyah bte Abd Muttalib iaitu ibu saudara Rasulullah saw] bahawa balasannya ialah neraka!”

Amru masuk juga untuk mengadap Ali ra sambil membawa pedang al-Zubair. Ali ra berkata kepadanya “Sesungguhnya pedang ini tidak pernah mengenali wajah orang yang berdekatan dengan Rasulullah saw!”. Menurut sebuah pendapat, sebaik sahaja Amru mendengar ucapan ini, dia terus membunuh diri.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 7 mukasurat 388-389 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan