Rabu, 12 Januari 2011

Kisah Islamnya Panglima al-Hurmuzan (Panglima Parsi Majusi) Dan Pembunuhan al-Hurmuzan Oleh Ubaidillah ibn Omar


Menurut sebuah riwayat, jurubahasa antara Omar ra dengan al-Hurmuzan ialah al-Mughirah ibn Syukbah. Omar ra bertanya kepada al-Mughirah, “Tanyakan kepadanya (al-Hurmuzan) dari mana kamu datang?” Al-Hurmuzan pun menjawab setelah ditanyakan oleh al-Mughirah, “Mahrajaniy!”. Omar ra berkata lagi, “Kemukakan hujah dan buktimu sekarang!”. Al-Hurmuzan menjawab “Adakah kenyataan itu nanti akan menentukan hidup dan matiku?”. Omar ra menjawab “Kenyataan itu akan menentukan hidupmu”.

Mendengarkan penjelasan tersebut, al-Hurmuzan berkata dengan gembira “Jika demikian, anda telah menjamin keselamatanku!”. Omar ra berasa dirinya seperti diperolok-olokkan. Beliau terus berseru “Kamu telah menipuku dan aku tidak akan menerima suatu apa pun daripada hal itu melainkan kamu mahu memeluk Islam!”

Al-Hurmuzan pun memeluk Islam. Dia diberikan wang saguhati sebanyak 2,000 dirham dan kemudian dilucutkan jawatannya (daripada menjadi ketua Kota Tustur). Tidak lama kemudian Zaid pula datang lantas menjadi jurubahasa antara kedua-duanya.
Penulis buku ini berkata bahawa selepas al-Hurmuzan memeluk Islam, dia menjadi seorang yang taat dan patuh kepada agama Islam. Dia tidak pernah berpisah daripada sisi Omar ra sehinggalah Omar ra mati dibunuh.

Sebahagian kaum muslimin menuduh al-Hurmuzan telah mengupah Abu Lu’luah dan Jufaynah untuk melaksanakan perbuatan terkutuk itu. Lantas Ubaidillah ibn Omar pun membunuh al-Hurmuzan dan Jufaynah. Hal ini akan dibincangkan pada pembentangan yang akan datang.

Penulis juga menyebut bahawa sewaktu Ubaidillah mengangkat pedangnya untuk memancung al-Hurmuzan, al-Hurmuzan mengucapkan tahlil, iaitu ucapan La ilaha illallah. Jufaynah pula mati setelah mukanya ditetak. Wallahua’lam.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 7 mukasurat 123-124 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan