Selasa, 7 Disember 2010

Ummul Mukminin Aishah Binti Abu Bakr al-Siddiq-Bahagian 2


Sebuah hadis lain yang diriwayatkan dalam himpunan Sahih al-Bukhari daripada Osman al-Nahdiy daripada Amru ibn al-As katanya “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling kau sayangi?” Jawab baginda “Aishah”. Aku bertanya lagi “Dikalangan lelaki, siapa pula?” Jawab baginda “Ayahnya”. Dalam himpunan yang sama juga ada diriwayatkan daripada Abu Musa katanya bahawa Rasulullah saw bersabda “Telah sempurna kewujudan lelaki, tetapi kewujudan wanita tidak pernah sempurna kecuali setelah adanya Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah isteri Firaun, Aishah pula memiliki keistimewaan tersendiri umpama istimewanya al-Tharid (Sejenis makanan yang dianggap paling lazat dikalangan orang Arab) berbanding makanan lain”.

Hadis ini telah dijadikan bukti oleh majoriti ulama tentang kelebihan Aishah berbanding Khadijah. Ada pula yang menganggap dengan hadis ini, tiga wanita yang disebut itu memiliki keistimewaan tersendiri berbanding wanita lain. Hadis lain yang menyokong kenyataan tersebut ialah seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ismail ibn Khalil daripada Ali ibn Mushir daripada Hisham ibn Urwah daripada ayahnya daripada Aishah yang berkata “Aku telah menziarahi Halah binti Khuwailid adik Khadijah dengan izin Rasulullah saw lalu baginda tiba-tiba terkenang pada Khadijah dan berasa rindu terhadapnya, keluhnya, “Ya Allah, Halah!” Aishah berkata, “Aku berasa cemburu lalu berkata padanya, apalah yang nak dikenangkan sangat dengan wanita tua berbangsa Quraish berbibir merah tu. Dia dah lama mati dah! Bukankah Allah sudah menggantikannya dengan yang lebih baik?” Riwayat lain pula mengatakan “Demi Allah, sesungguhnya Dia telah mendatangkan aku sebagai ganti yang lebih baik?” tetapi tidak ada sandaran yang kukuh tentang perawinya. Sebelum ini telah diterangkan secara terperinci dalam bab kewafatan Khadijah. Begitu juga tentang hujah-hujah kelebihan Khadijah berbanding Aishah.

Al-Bukhari pernah meriwayatkan daripada Aishah sendiri bahawa pada suatu hari baginda telah berkata “Wahai Aishah, Jibril ini dating dan berkirim salam padamu” Lantas aku menjawab “Selamat sejahtera juga ke atasnya, kamu dapat lihat pula apa yang tidak dapat ku lihat”. Kisah lain tentang kelebihan Aishah ialah seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari bahawa pada hari ulangtahun kelahiran Aishah, orang ramai datang membawa hadiah. Melihat keadaan itu, para isteri baginda pun berhimpun dan pergi mengadu kepada Ummu Salamah meminta supaya beliau menyampaikan kepada Rasulullah saw agar baginda mengarahkan orang ramai tadi member hadiah kepada mereka juga. Ketika baginda pulang ke rumah Ummu Salamah, aduan itu pun disampaikan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Perkara tersebut berulang dua kali, akhirnya baginda pun bersabda kepada Ummu Salamah “Wahai Ummu Salamah, janganlah menyakiti hatiku dengan mengungkit sesuatu yang berkaitan dengan Aishah. Sesungguhnya hanya ketika bersamanya sahajalah aku pernah menerima wahyu berbanding kamu semua”.

Ada pula riwayat mengatakan mereka meminta Fatimah anak baginda supaya menyampaikan hasrat itu, lalu katanya kepada baginda “Sesungguhnya para isteri ayah meminta keadilan seperti apa yang telah ayah lakukan kepada anak perempuan Abu Bakr ibn Abu Qahafah”. Baginda terus menjawab “Wahai anakku, adakah kamu sayang apa yang aku sayang?” Jawab Fatimah “Ya, sudah tentu”. Baginda menambah “Kalau begitu sayangilah dia (Aishah)”. Kemudian mereka meminta Zainab binti Jahsh pula. Beliau pun segera bertemu Rasulullah dan ketika itu Aishah ada bersama lalu beliau terus mengutarakan hasrat tersebut dengan mengeji Aishah, perbuatannya didengar oleh Aishah. Aishah yang sejak tadi hanya mendengar terus berbincang secara tenang dengan Zainab hinggalah ke malam. Rasulullah saw memandang Aishah lalu berkata “Sememangnya dia anak Abu Bakr”.
Penulis (Ibn kathir) juga pernah menyebut tentang kisah Ammar memarahi seorang lelaki yang telah mencaci Aishah. Kisahnya lebih kurang begini, suatu hari semasa dalam tempoh Perang Jamal, Ammar keluar berkempen dan mengajak orang ramai untuk memerangi Talhah dan al-Zubair. Dia dan al-Hasan ibn Ali telah naik ke atas mimbar di Kufah, ketika itulah beliau telah terdengar seorang lelaki telah mencaci Aishah lalu katanya kepada lelaki tersebut “Diamlah kamu wahai orang yang keji lagi terkutuk!” Sesungguhnya dia adalah isteri Rasulullah saw di dunia dan di akhirat. Allah sengaja mengizinkan peristiwa itu berlaku untuk melihat di kalangan kamu yang beriman dengan Allah dan siapa yang taat kepada Aishah pula”.

Imam Ahmad bercerita daripada Muawiyah ibn Amru daripada Zaidah daripada Abdullah ibn Khuthaym daripada Abdullah ibn Abu Malikah daripada Dhakwan pelindung Aishah bahawa Abdullah ibn Abbas telah meminta izin daripada Aishah untuk dating, lalu beliau pun datang di hadapan Abdullah, anak kepada abangnya Abd. Al-Rahman lalu aku berkata “Ini ibn Abbas, beliau datang untuk berziarah”. Aishah berkata “Jauhkan dia daripadaku” Lalu Abdullah berkata “Wahai Ibu, sesungguhnya Abbas ini adalah sebaik-baik anak lelakimu. Beliau selalu berkirim salam kepadamu dan sentiasa juga mengucapkan selamat tinggal”. Aishah menjawab “Izinkanlah dia masuk jika kamu suka” Ketika sedang duduk, beliau bertanya kepada Aishah “Adakah sebarang berita gembira untukku”. Aishah menjawab “Dengan apa pula”. Lalu beliau menambah “Bukankah tidak ada yang menjadi penghalang antara kamu dengan Rasulullah saw dan para sahabatnya kecuali mati. Kamu pula adalah wanita yang paling disayangi Rasulullah saw dan sememangnya baginda tidak salah menyayangi orang. Kamu jugalah yang telah kehilangan kalung lalu menyebabkan Rasulullah dan kaum muslimin ditimpa kemarau sehingga akhirnya Allah menurunkan ayat berkenaan tayammum sebagai pemudah. Allah juga telah menurunkan ayat daripada tujuh petala langit melalui Jibril yang menceritakan tentang kesucianmu, lalu bergemalah pada setiap masa, siang dan malam disetiap masjid alunan bacaan dan khutbah menyebut tentangnya”. Aishah terus mencelah “Sudahlah wahai Ibn Abbas, demi Allah aku akan menjadi orang lalai dengan pujianmu itu”. Sebenarnya banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kelebihan beliau.

Aishah meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah, riwayat lain mengatakan setahun sebelumnya ada pula setahun selepasnya, tetapi yang mahsyur ialah bulan Ramadhan atau Syawal tahun tersebut (58 Hijrah). Harinya pula jatuh pada malam hari Selasa bersamaan 17 Ramadhan. Beliau sempat berwasiat agar jenazahnya dikebumikan ditanah perkuburan Baqi’ pada waktu malam.

Tokoh yang turut menyembahyangkan jenazah beliau ialah Abu Hurairah iaitu selepas solat witir. Orang yang terkemuka yang turut mengiringi jenazah beliau antaranya ialah Abdullah dan Urwah, anak al-Zubair ibn al-Awwam, adiknya Asma’ binti Abu Bakr, al-Qasim dan Abdullah, anak abangnya Muhammad ibn Abu Bakr dan Abdullah ibn Abd. Rahman ibn Abu Bakr.

Ketika meninggal dunia, usianya 67 tahun kerana semasa baginda saw wafat, beliau baru berusia 18 tahun, umurnya ketika tahun Hijrah pula 18 atau 19 tahun. Wallahua’lam. Semoga Allah swt meredhai mereka sekeluarga.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 137-141 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan