Selasa, 7 Disember 2010

Ummul Mukminin Aishah Binti Abu Bakr al-Siddiq-Bahagian 1


Beliau merupakan salah seorang daripada isteri kesayangan Rasulullah saw. Beliau adalah wanita paling agung dan mendapat kedudukan tertinggi setaraf tujuh petala langit berbanding wanita lain. Ibunya bernama Ummu Rumman binti Amir ibn Uwaymir al-Kinaniyah. Beliau digelar Ummu Abdullah. Ada riwayat mengatakan, gelaran itu diberi oleh Rasulullah saw sempena nama anak saudaranya, Abdullah ibn al-Zubayr.
Riwayat yang lain pula menceritakan kerana beliau adalah satu-satunya wanita yang dianugerahkan Allah swt kepada baginda, lalu baginda memanggilnya sebagai Ummu Abdullah.

Rasulullah saw tidak pernah berkahwin dengan anak dara sebelum ini kecuali dengan Aishah seorang dan tidak pernah wahyu diturunkan kepada baginda ketika bersama dengan seorang isteri kecuali ketika bersama dengan Aishah. Kerana penghormatan inilah, baginda amat menyayangi beliau. Baginda menikahinya di Makkah selepas Khadijah meninggal dunia.

Peminangan Rasulullah saw bermula selepas baginda bermimpi sebanyak dua atau tiga kali, didatangi seorang raja bersama seorang wanita berpakaian sutera menutupi seluruh tubuhnya. Raja itu berkata “Inilah isterimu, carilah dia kerana sesungguhnya memang dia diciptakan hanya untukmu”. Lalu baginda bersabda “Andai dialah jodoh yang telah ditentukan Allah untukku, aku akan sentiasa mensyukurinya”

Selepas itu baginda segera menemui ayah Aishah yang juga sahabat baik baginda, Abu Bakr al-Siddiq untuk meminang anak beliau. Abu Bakr berkata “Wahai Rasulullah, adakah dia halal untukmu?” Jawab baginda “Ya! Sudah tentu”. Kerana masih sangsi, beliau bertanya lagi “Bukankah aku ini saudaramu?” Jawab baginda dengan tenang “Ya! Memang kita saudara, tetapi saudara dalam Islam dan anakmu adalah halal untukku”. Mendengar penjelasan itu Abu Bakr al-Siddiq sedia menikahkan Aishah dengan Rasulullah saw. Baginda hanya ‘menyentuh’ beliau setelah mencapai umur baligh (selepas haid).

Penulis telah menceritakannya pada permulaan sirah. Kisah ini berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ada riwayat mengatakan setelah tiga tahun daripada peristiwa Hijrah dan ada pula mengatakan setelah setengah tahun berlalu. Aishah ketika itu hanya berusia 6 tahun, baginda hanya ‘bersama’ beliau setelah beliau berusia 9 tahun iaitu selepas Perang Badar dalam bulan Syawwal tahun kedua Hijrah.

Semasa heboh tentang cerita fitnah yang berlaku keatas beliau, Allah swt telah menurunkan lebih kurang 10 ayat al-Quran sebagai bukti kesucian beliau daripada perbuatan yang dibualkan orang itu. Penulis telahpun menjelaskan secara terperinci tentang ayat-ayat dan hadis berkenaan peristiwa tersebut dalam bab yang telah lepas dan secara khusus dalam bab yang menceritakan tentang Perang Muraysi’. Ringkasan kisahnya juga terdapay dalam beberapa kitab tafsir.

Majoriti para ulama telah bersetuju meletakkan hukum kafir ke atas sesiapa sahaja yang masih menuduh beliau sebagai penzina selepas turunnya ayat al-Quran yang berkenaan, tetapi mereka berbeza pendapat tentang Ummul Mukminin yang lain (kerana tidak ada ayat yang menyokong mereka). Perselisihan pendapat ini terbahagi kepada dua, sama ada kafir atau tidak. Pendapat yang paling tepat ialah dihukum kafir kerana yang tertuduh itu adalah isteri Rasulullah saw dan Allah swt pun pasti akan murka dengan perbuatan menghina isteri-isteri baginda. Oleh itu, kedudukan para isteri Rasulullah saw adalah sama dan terpelihara.

Salah satu tanda dari kemuliaan Aishah ialah beliau sanggup membahagikan giliran hari bersama Rasulullah kepada Saudah semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah kepada Allah swt. Tanda lain ialah beliaulah isteri yang sempat bersama-sama baginda ketika baginda sedang nazak dan diatas ribaan beliau jugalah baginda menghembuskan nafas terakhir.

Saat itu, terbukti betapa Allah swt amat memuliakan Aishah kerana telah menghimpunkan air liurnya dan air liur baginda sama ada semasa hidup didunia mahupun diawal permulaan hidup diakhirat. (Aishah telah menyuapkan sedikit buah rutab yang telah dikunyahnya ke dalam mulut baginda ketika sedang nazak). Jenazah baginda telah dikebumikan didalam rumah Aishah sendiri.

Imam Ahmad berkata, Waki’ telah bercerita daripada Ismail daripada Mus’ab ibn Ishaq ibn Talhah daripada Aishah daripada Nabi saw katanya “Sesungguhnya telah dipermudahkan ke atasku kerana sesungguhnya aku melihat cahaya putih (gebu) tapak tangan Aishah didalam syurga”.

Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Ahmad. Ini adalah sebagai tanda agungnya kasih sayang Rasulullah saw terhadap Aishah kerana beliau telah melihat tapak tangan Aishah yang gebu didalam syurga.

Keistimewaan lain yang ada pada Aishah ialah beliau diperakui sebagai wanita paling berilmu berbanding isteri baginda yang lain malah wanita paling berilmu berbanding semua wanita dalam dunia.

Al-Zuhriy berkata “Andainya disbanding ilmu yang dimiliki Aishah dengan apa yang dimiliki oleh para isteri baginda yang lain atau semua wanita didunia ini, nescaya lebih tinggi lagi kepakaran Aishah”

Atta’ ibn Abu Rabah pula pernah berkata “Aishah adalah wanita paling berilmu, paling faqih (memahami selok belok agama) dan memiliki idea yang bernas”

Urwah pula berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang paling faqih, paling baik dan paling indah syairnya selain Aishah. Juga tidak pernah seorang wanita ataupun seorang lelaki pernah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah saw dengan kadar yang sama seperti apa yang diriwayatkan oleh Aishah kecuali Abu Hurairah”

Abu Musa al-Ashariy pula berkata “Kami pernah tidak dapat menyelesaikan satu masalah dan apabila kami ajukan kepada beberapa orang sahabat baginda yang pakar dalam ilmu hadis, tidak ada sesiapapun yang dapat member jawapan kecuali Aishah ra”. Kisah ini ada dalam riwayat al-Tirmizi.

Abu al-Duha daripada Masruq pula pernah berkata “Aku pernah melihat seorang pakar ilmu dikalangan sahabat baginda dating menemui beliau (Aishah) bertanya tentang ilmu faraid”.

Terdapat satu hadis yang pernah diriwayatkan oleh beberapa orang ulama dan fuqaha tidak boleh dijadikan hujah kerana kerana statusnya diragui dan tidak ada bukti dalam mana-mana buku sejarah Islam ia pernah dilafazkan oleh baginda. Hadis tersebut berbunyi begini “Lengkapkanlah sebahagian daripada agama kamu daripada si merah (Aishah) ini”.

Aku (penulis) juga pernah bertanya sendiri kepada guruku, Abu al-Hajjaj al-Maziy lalu katanya memang tidak ada asal-usulnya hadis tersebut.

Berkenaan tentang anak muridnya pula, yang boleh dianggap paling cerdik antara semua wanita ialah Amrah binti Abd. Al-Rahman, Hafsah binti Sirin dan Aishah binti Talhah.
Aishah juga adalah satu-satunya wanita yang pernah diajukan beberapa masalah oleh para sahabat kerana masalah itu hanya Aishah yang dapat menyelesaikannya. Begitu juga tentang tafsiran mimpi dan pilihan jodoh, ramai yang lebih suka merujuk kepada beliau kerana ketepatannya. Perkara ini diperakui oleh ramai tokoh ilmuwan, antaranya al-Sha’biy yang pernah berkata “Masruq kalau bercerita tentang Aishah, selalu beliau mulakan dengan wanita paling benar, anak kepada lelaki paling benar dan wanita paling suci mengalahkan tujuh petala langit juga kekasih Rasulullah saw telah menceritakan kepadaku”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 137-141 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan