Selasa, 7 Disember 2010

Nasihat-Nasihat Sahabat Rasulullah Kepada Saidina Hussin ibn Ali Yang Mahu Ke Kufah (Iraq)


Kemudian, Ibn Abbas berkata “Inilah Hussin yang akan ke Iraq lalu mengosongkan tempatmu di Hijaz!” Sebahagian riwayat mencatatkan daripada Shababah ibn Sawwar yang berkata bahawa Yahya ibn Ismail ibn Salim al-Asadi telah menceritakan kepada kami dengan berkata bahawa beliau mendengar al-Sha’biy bercerita daripada Ibn Omar yang pada waktu itu berada di Makkah lalau sampai berita kepadanya bahawa Hussin ibn Ali telah bertolak ke Iraq. Selepas berjalan tiga hari, Ibn Omar menemuinya dan bertanya “Kemanakah engkau akan pergi?” Hussin menjawab “Iraq!” Hussin yang turut membawa beberapa gulung kertas dan surat terus berkata “Inilah surat-surat mereka dan bai’ah daripada mereka!” Ibn Omar berkata “Janganlah engkau pergi ke sana!” Tetapi Hussin tidak menghiraukan nasihat tersebut.

Ibn Omar pun berkata “Aku ingin menceritakan kepada kamu sebuah hadis bahawa suatu masa, Jibril telah menemui Rasulullah saw lalu memberikan pilihan antara dunia dan akhirat kepada baginda. Lantas baginda memilih akhirat tetapi tidak pula menolak dunia (dengan sepenuhnya). Sesungguhnya engkau termasuk dikalangan utusan Allah. Demi Allah jawatan ini tidak akan dipegang oleh sesiapa pun dikalangan kamu buat selama-lamanya dan tidak akan diubah oleh Allah swt daripada kamu melainkan kepada orang yang lebih baik(terbaik) dikalangan kamu!” Sekalipun nasihat itu panjang berjela-jela, ia tidak dapat mengubah pendirian Hussin. Kemudian, Ibn Omar memeluk erat-erat Hussin dan menangisinya teresak-esak sambil berdoa “Semoga Allah menyelamatkan kamu daripada menjadi mangsa!”

Yahya ibn Mu’ain pula menyatakan bahawa Abu Ubaidah telah memberitahu kepada kami daripada Said ibn Mina yang bercerita bahawa beliau mendengar Abdullah ibn Amru (ibn al-As) berkata “Hussin telah bertindak diluar kemampuannya. Demi Allah, sekiranya aku menemuinya, aku tidak akan meninggalkannya daripada keluar dari Makkah ini melainkan aku tidak berkuasa untuk menghalangnya. Dalam kelompok Bani Hashim, urusan pemerintahan ini dimulai dan dalam kelompok ini juga ia berakhir. Apabila aku melihat seorang yang berketurunan Hashim telah menjadi raja (seolah-olah) masa telah berlalu (tanpa disedari)!” Penulis (Ibnu Kathir) menyebutkan bahawa hadis ini dan hadis Ibn Omar menunjukkan golongan Fatimiyyin telah membuat pengakuan palsu kerana yang sebenarnya mereka bukan daripada keturunan Fatimah sebagaimana yang dibuktikan oleh kebanyakan ulama dan akan dibentangkan kemudian. Insya-allah.

Ya’kub ibn Suffian menyebutkan pula bahawa Abu Bakr al-Hamidi melalui Abu Suffian melalui Abdullah ibn Sharik daripada Bashar ibn Ghalib yang berkata bahawa Ibn Zubair pernah bertanya kepada Hussin “Ke manakah arah tujuanmu?” Kepada satu kaum yang telah membunuh ayahmu dan menikam saudaramu (mengkhianati Hisham)?” Beliau terus menjawab “Sekiranya aku benar-benar mati ditempat sekian, sekian itu adalah lebih aku sukai daripada aku dikurung disini (Makkah)!”.

Al-Zubair ibn Bakkar pula menyatakan bahawa bapa saudaranya iaitu Mus’ab ibn Abdullah telah menceritakannya daripada orang yang mendengar Hisham ibn Yusuf berkata daripada Ma’mar yang berkata “Aku pernah mendengar seorang lelaki bercerita tentang Hussin yang berkata kepada Abdullah ibn al-Zubair “Aku telah menerima bai’ah daripada 40 ribu orang yang bersumpah dengan al-Talaq dan al-Inaq yang mereka bersedia bersama-sama denganku!” Ibn al-Zubair berkata kepada Hussin “Adakah engkau mahu keluar (dari Makkah) untuk pergi kepada satu kaum yang telah membunuh bapamu dan menghalau saudaramu (Hasan)? Hisham berkata bahawa beliau telah bertanyakan tentang Ma’mar daripada seorang lelaki, lalu lelaki itu berkata bahawa Ma’mar seorang yang thiqah. Al-Zubair pula berkata bahawa bapa saudaranya telah menyebut “Sesetengah periwayat hadis menyangka bahawa Ibn Abbas yang telah ditanya oleh Hisham tentang diri Ma’mar”.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 232-233 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan