Selasa, 14 Disember 2010

Kisah Pembakaran al-Suhuf (Helaian al-Quran) oleh Saidina Osman ibn Affan ra – Bahagian 1


Antara jasa-jasa beliau (Saidina Osman ibn Affan ra) yang utama ialah menyatukan bacaan al-Quran untuk seluruh umat Islam serta menulis al-Mushaf menurut persembahan yang terakhir sebagaimana yang diajar oleh Jibril as kepada Rasulullah saw iaitu pada kemuncak hidup baginda. Faktor yang menyebabkan Osman mengambil tindakan sedemikian adalah ekoran daripada laporan Huzaifah ibn al-Yaman. Sewaktu menyertai beberapa peperangan, beliau menyedari penduduk negeri Sham membaca al-Quran mengikut bacaan yang berbeza-beza.

Ada yang mengikut bacaan al-Miqdad ibn al-Aswad dan sebahagian lagi membaca al-Quran mengikut bacaan Abu al-Darda’. Hal yang serupa berlaku di Iraq. Ada segolongan penduduk membaca al-Quran mengikut bacaan Abdullah ibn Mas’ud dan segolongan yang lain pula mengikut bacaan Abu Musa. Mereka mengkategorikan bahawa sesiapa yang tidak membaca al-Quran menurut kedua-dua bacaan tersebut sebagai terpesong dan sesat. Masing-masing begitu taksub dengan bacaan yang mereka amalkan sehingga kadang-kadang menyatakan bacaan orang lain salah sama sekali bahkan ada yang mengkafirkannya. Situasi demikian boleh membawa kepada perselisihan pendapat yang amat meruncing dan cela mencela sesama mereka.

Melihatkan situasi sebegini Huzaifah pergi menemui Osman lalu berkata “Wahai Amirul Mukminin, selamatkanlah umat ini sebelum mereka berpecah belah mengenai kitab mereka (al-Quran) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani berselisih mengenai kitab mereka”.

Beliau seterusnya menceritakan kepada Osman tentang perselisihan umat Islam dalam membaca al-Quran yang beliau saksikan. Tanpa berlengah-lengah lagi Osman mengumpulkan beberapa orang sahabat dan berbincang dengan mereka tentang masalah yang baru timbul itu. Beliau berpendapat al-Mashaf perlu ditulis mengikut tulisan (bacaan) yang satu. Dan seluruh umat Islam tidak kira wilayah hendaklah membacanya mengikut bacaan yang satu itu. Bacaan-bacaan yang selain daripada itu, sama sekali tidak dibenarkan.

Beliau melihat cara ini mempunyai kepentingan dan mampu mencegah percakaran sesama umat Islam serta menghindar perselisihan pendapat yang tidak sihat.

Beliau meminta al-Suhuf (helaian-helaian al-Quran) yang telah dihimpunkan oleh Zaid ibn Thabit atas arahan al-Siddiq.

Al-Suhuf tersebut dipelihara oleh al-Siddiq semasa hayat beliau. Kemudian ia disimpan pula oleh Omar dan setelah beliau meninggal dunia, Hafsah, Ummul Mukminin pula mengambil alih tugas memelihara al-Suhuf tersebut. Kini al-Suhuf berkenaan dituntut oleh Osman dan beliau mengarahkan Zaid ibn Thabit al-Ansari menulisnya sambil ayat-ayat suci itu dibacakan oleh Said ibn al-As al-Amawi. Kerja-kerja ini disaksikan oleh Abdullah ibn Az-Zubair al-Asadi dan Abd. Rahman ibn al-Harith ibn Hisham al-Makhzumiy.

Sementara itu, sekiranya terdapat beberapa perkara yang tidak mendapat kata sepakat daripada mereka, Osman telah mengarahkan supaya ia ditulis dengan bahasa Quraish. Apabila kerja-kerja telah siap, Osman menghantar sebuah mashaf ke Sham, sebuah ke Mesir dan sebuah lagi ke Basrah. Setiap sebuah mashaf itu dihantar juga ke Kufah, Makkah dan Yaman. Sebuah mashaf juga dihantar untuk orang-orang di Madinah. Mashaf-mashaf berkenaan diberi nama al-A’immah. Tiada satu pun mashaf tersebut ditulis oleh Osman tetapi sebenarnya ditulis oleh Zaid ibn Thabit. Mashaf ini dinamakan al-Mashaf Uthmaniyyah kerana ia berlaku pada zaman pemerintahan beliau sebagai Khalifah dan daripada cetusan idea serta arahan beliau. Keadaan ini sama seperti dinar Herkules diberi nama. Ia tercipta pada zaman pemerintahan Herkules dan kerajaan dibawah kekuasaannya.

Sumber : al-Bidayah wa an-Nihayah jilid 7 mukasurat 334-335 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail Ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan