Isnin, 27 Disember 2010

Kisah Malik Ibn Nuwairah Al-Yarbuiy Al-Tamimi (Yang Telah Bersekongkol Dengan Sajah al-Kahin Iaitu Isteri Kepada Musailamah al-Kazzab)


Sewaktu Sajah al-Kahin (Nabi palsu perempuan) cuba berkompromi dengan Musailamah al-Kazzab (Nabi palsu lelaki), dia telah ditipu oleh Musailamah sebaik sahaja tiba dari al-Jazirah. Setelah itu dia kembali ke negerinya. Pada masa yang sama, Malik ibn Nuwairah menyesali terhadap segala tindak tanduknya kepada Islam, lalu berhasrat untuk kembali kepada Islam. Dia mengutuk dirinya tanpa henti-henti.

Ketika dia berada di al-Battah, Khalid dan tenteranya telah mara terlebih dahulu ke sana sedangkan tentera Ansar bertolak kemudian. Tentera Ansar berkata “Sesungguhnya kami terpaksa menunaikan segala yang diarahkan oleh al-Siddiq terlebih dahulu. Oleh sebab itulah kami terlambat sampai!” Khalid pun menjawab “Sesungguhnya urusan ini (urusan murtad) mesti diuruskan terlebih dahulu. Kita tiada masa lagi untuk menyelesaikannya pada masa yang lain. Tambahan pula, Khalifah al-Siddiq tidak memberi sebarang surat kepadaku. Aku adalah pemimpin dan ketua-ketua kamu. Hanya kepadakulah segala berita patut sampai kepadaku. Bukanlah aku pula yang memaksa kamu untuk melakukan perjalanan ini. Aku sekarang benar-benar mahu bertolak ke al-Battah!”
Apabila ketetapan telah dibuat, Khalid dan tentera-tenteranya pun bertolak ke tempat tersebut. Setelah dua hari, barulah utusan Ansar menemui Khalid lalu meminta beliau menunggu kedatangan mereka (Ansar). Tidak lama kemudian, tentera Ansar datang menyusul. Ketika Khalid dan tenteranya sampai di al-Battah yang ditempati oleh Malik ibn Nuwairah dan pengikut-pengikutnya, beliau (Khalid) terus memecahkan tenteranya kepada beberapa platun kecil yang ditugaskan untuk menyeru manusia ditempat tersebut kepada Islam.

Pemimpin-pemimpin Bani Tamim melahirkan ketaatan dan kepatuhan kepada beliau sambil berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan zakat kecuali daripada Malik ibn Nuwairah dan pengikut-pengikutnya. Keadaan Malik pada ketika itu masih berbelah bagi sama ada mahu kembali kepada Islam atau tidak. Tiba-tiba platun Khalid datang lalu menawannya dan pengikut-pengikutnya.

Tentera-tentera Islam yang menawan Malik berasa serba salah sewaktu menangkap mereka. Abu Qatadah al-Harith ibn Rib’iy al-Ansari menegaskan bahkan menyaksikan mereka telah mendirikan solat. Sahabatnya yang lain pula berkata bahawa mereka (Malik dan pengikut-pengikutnya) tidak melaungkan azan dan tidak mengerjakan solat. Menurut satu pendapat, para tawanan telah dibelenggu (diikat) dan dibiarkan sahaja menghadapi malam yang sejuk tanpa sebarang selimut.

Tiba-tiba seorang wakil Khalid berseru, “Hendaklah kamu panaskan para tawanan kamu itu!” Pada sangkaan tentera Muslimin yang sedang berkawal ialah Khalid mahu supaya para tawanan itu dibunuh (sebenarnya dia mahu supaya dia diberi selimut). Tanpa membuang masa, tentera yang berkawal it u terus membunuh tawanan mereka. Malik ibn Nuwairah mati dibunuh oleh Dirar ibn al-Azwar. Apabila Khalid mendengar orang memanggil-manggil namanya, beliaupun keluar lalu mendapati segala-galanya telah selesai. Beliau pun berkata “Apabila Allah swt menghendaki sesuatu urusan. Dia segera melaksanakannya!”

Khalid pun mengahwini isteru Malik yang bernama Ummu Tamim, anak perempuan al-Minhal yang rupawan lagi jelita. Selepas berkahwin, Khalid pun tinggal disana. Menurut satu pendapat, pernah pada suatu hari Khalid telah meminta Malik ibn Nuwairah mengaku terhadap kesalahannya, lalu Malik mendedahkan bahawa dia merupakan antara penyokong kuat Sajah al-Kahin (Isteri Musailamah al-Kazzab) bahkan enggan mengeluarkan zakat. Khalid bertanya kepadanya “Tidakkah engkau tahu bahawa zakat itu mempunyai hubungan yang rapat dengan solat?” Malik menjawab dengan sombong “Itu hanyalah dakwaan kamu sahaja!” Khalid naik geram. Beliau bertanya lagi “Adakah dia (Muhammad) sahabat kami sahaja bukan sahabat kamu? Wahai Dirar pancung kepalanya!” Dirar terus mematuhi arahan beliau.

Khalid pun mengarahkan agar kepala Malik dibahagi tiga dan dimasak dalam tiga periuk. Pada malam itu juga, Khalid makan salah satu daripada isi periuk tersebut untuk menggerunkan orang Arab dan orang murtad lain yang cuba mengingkari kerajaan Islam apatah lagi menyeleweng daripada nama Allah.

Menurut satu cerita lagi bahawa rambut Malik telah dijadikan bahan api untuk memasak bahan-bahan kepalanya sendiri oleh sebab rambut tersebut terlalu banyak, sekalipun daging kepala itu telah masak, ia tidak habis terbakar. Abu Qatadah pernah sekali membicarakan kelakuan Khalid secara bersemuka dengannya. Kedua-duanya hampir bertengkar sehinggakan Qatadah mengadukan hal tersebut kepada Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Pengaduan tersebut dibincangkan oleh Omar dan Abu Qatadh. Omar pun menyuarakan pendapatnya “Lucutkan sahaja jawatan Khalid kerana pada pedangnya terdapat penganiayaan!” Abu Bakr terus menempelak kata-kata Omar dengan menjawab “Aku tidak mampu berbuat sesuatu terhadap pedang yang telah dihunuskan oleh Allah untuk memerangi orang kafir!”

Tidak lama kemudian,, Mutmin ibn Nuwairah dating mengadu perihal Khalid kepada Khalifah. Pengaduannya disokong oleh Omar lalu menyebutkan sajak Mutmin tentang orang mati kepada Khalifah Abu Bakr. Khalifah pun memujuknya dengan penuh belas kasihan.

Daripada keterangan diatas, nyatalah Omar sentiasa berusaha dan menggesa Khalifah Abu Bakr al-Siddiq supaya melucutkan jawatan yang disandang oleh Khalid ibn al-Walid iaitu ketua turus angkatan tentera. Beliau berkata “Sesungguhnya pada pedangnya (Khalid) terdapat penganiayaan!” Sudah tentu Khalifah tidak dapat bertahan lama dengan desakan dan gesaan daripada sahabatnya yang dihormatinya itu. Akhirnya beliau memanggil Khalid ibn al-Walid. Sewaktu pualng ke Madinah, Khalid masih memakai baju besinya yang masih berlumuran dengan darah. Serban yang dipakainya juga berwarna merah lantaran percikan darah yang melekat padanya. Sewaktu beliau memasuki masjid, Omar terus berdiri lalu menarik sebahagian daripada serban Khalid lalu memijak-mijaknya. Kemudian Omar berteriak, “Adakah kerana riya’ yang menyebabkan engkau membunuh seorang muslim lalu kemudian engkau rampas isterinya. Demi Allah, aku akan merejam kamu dengan al-Janadil (kuat dan keras)”. Khalid masih diam seribu bahasa. Beliau menyangka bahawa pandangan dan pemikiran al-Siddiq sama seperti yang difikirkan oleh Omar.

Beliau terus berjalan sehingga menemui Abu Bakr dan meminta diri untuk masuk. Rupa-rupanya sangkaannya meleset sama sekali. Tidak lama kemudian, beliau keluar dari menemui Abu Bakr sedangkan Omar masih duduk dalam masjid. Sewaktu Khalid keluar, beliau melihat Omar. Beliau pun berkata “Ke marilah wahai Ibn Ummu Shamlah!”. Panggilan Khalid tidak disahut oleh Omar. Tahulah Omar bahawa Khalifah Abu Bakr menerima tindakan yang telah dilakukan oleh Khalid. Jawatan yang disandang oleh Khalid juga tidak dilucutkan sekalipun Khalid berijtihad untuk membunuh Malik ibn Nuwairah dan salah dalam ijtihadnya.

Hal yang berlaku ini sama seperti ketika Rasulullah saw menghantar Khalid kepada Abu Judhaymah. Lalu Kahlid membunuh semua tawanan yang menyebutkan “Kami menyembah bintang”, lainlah jika mereka berkata “Kami telah Islam, kami telah Islam” Rasulullah saw terus membayar diyat (denda)kepada keluarga mereka sehingga kotoran-kotoran anjing turut dikembalikan kepada mereka. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya, Abu Bakr berdoa “Ya Allah, ya Tuhan kami, sesungguhnya aku lepaskan urusan yang dilakukan oleh Khalid kepadaMu!”. Dengan pengisytiharan ini, kekallah jawatan yang disandang oleh Khalid

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 584-587 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan