Khamis, 2 Disember 2010

Keputusan Abu Bakr al-Siddiq Memerangi Puak Murtad Dan Puak Yang Enggan Membayar Zakat


Dalam pembentangan yang lalu, selepas kewafatan Rasulullah saw ramai umat Arab yang menjadi murtad. Kota Madinah pula diselubungi gejala kemunafikan sedangkan Musailamah al-Kazzab mendapat sokongan padu daripada kaum Bani Hanifah dan beberapa puak di Yamamah. Bani Asad dan Tayy’ pula berpaling kepada Tulaihah al-Asadi yang turut mendakwa sebagai nabi seperti yang dilakukan oleh Musailamah al-Kazzab. Fitnah dan kekacauan berlaku dimana-mana.

Oleh yang demikian, Abu Bakr al-Siddiq terus mengiktirafkan semula tentera Usamah, dan pada masa yang sama beliau membentuk askar-askar yang sentiasa berkawal disekeliling Madinah. Sekalipun jumlah tentera yang tinggal selepas sebahagiannya dipilih untuk meneruskan operasi Usamah adalah kecil, namun Abu Bakr mengarahkan askar-askar mengawal kawasan sekitar Madinah kerana orang Badwi dan puak-puak pedalaman berhasrat malah bersedia untuk memerangi Kota Madinah.
Antara ketua-ketua pengawal yang dibentuk ialah Ali ibn Abu Talib, al-Zubair ibn al-Awwam, Talhah ibn Abdullah, Saad ibn Abu Waqqas, Abd. Rahman ibn Awf, Abdullah ibn Mas’ud dan yang lain-lain.

Puak-puak yang mungkin memerangi Madinah itu tidak mahu sama sekali mendirikan solat dan tidak mahu mengeluarkan zakat. Ada sebahagiannya pula tidak mahu mengeluarkan zakat kepada Abu Bakr kerana berhujah dengan ayat berikut. Allah swt berfirman yang bermaksud “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka” (Surah at-Taubah : 103)

Mereka berkata “Kami tidak akan menyerahkan zakat kami melainkan kepada orang yang mendoakan untuk kami yang dengan doa itu tenteramlah hati kami!” Sebahagiannya pula berkata “Kami hanya mentaati Rasulullah saw apabila baginda bersama-sama kita. Alangkah hairannya keadaan yang berlaku kepada kerajaan Abu Bakr”.

Para sahabat menasihatkan Abu Bakr supaya meninggalkan dan mengabaikan kawan yang melampaui batas serta tidak mahu mengeluarkan zakat itu. Kemudian menurut mereka lagi, mereka akan kembali kepada Islam dan mengeluarkan zakat semula. Nasihat mereka tidak dihiraukan bahkan ditolak mentah-mentah. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh kelompok perawi kecuali Ibn Majah yang dipetik daripada Abu Hurairah bahawa Omar ibn al-Khattab pernah berkata kepada Abu Bakr “Atas dasar apa engkau hendak memerangi mereka (puak-puak yang murtad) sedangkan Rasulullah saw pernah bersabda “Aku perintahkan untuk memerangi manusia (yang kafir) sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Apabila mereka telah berkata demikian, mereka telah mengikat (membuat pemeliharaan) terhadap dakwah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan haknya (dengan sebab-sebab yang tertentu)? Abu Bakr pun menjawab “Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku dengan sungguh-sungguh atau dalam riwayat yang lain iqalan (zakat unta dan kambing) yang pernah mereka beri kepada Rasulullah saw nescaya aku akan perangi mereka disebabkan keengganan mereka! Sesungguhnya zakat merupakan hak harta. Demi Allah, aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat!” Omar berkata lagi “Tidaklah yang berlaku dihadapan mataku ini melainkan Allah swt telah membuka (menerangi) dada Abu Bakr al-Siddiq untuk peperangan. Tahulah aku bahawa beliau berada dipihak yang benar!” Allah swt berfirman “Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan solat serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani (Surah at-Taubah : 5)

Ayat ini diselaraskan dengan sebuah hadis yang terdapat dalam Kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah saw bersabda “Islam dibina diatas lima perkara iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji (kepada yang berkemampuan) dan berpuasa pada bulan Ramadan”

Al-Hasan, Qatadah dan yang lain-lain mentafsirkan ayat Allah swt berfirman “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa diantara kamu yang berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad) maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang akan kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia” (Surah al-Maidah : 54). Mereka telah berkata “Yang dimaksudkan dengan orang yang beriman dalam ayat tersebut ialah Abu Bakr dan para sahabatnya yang memerangi kaum murtad dan kaum yang enggan membayar zakat!”.
Muhammad ibn Ishaq pula berpendapat bahawa sebahagian besar orang Arab telah murtad selepas kewafatan Rasulullah saw melainkan penduduk dua buah masjid iaitu Masjid Makkah dan Masjid Madinah. Puak Asad dan puak Ghatafan juga menjadi murtad lalu menyokong Tulaihah ibn Khuwailid al-Asadi al-Kahin. Puak Kindah juga murtad dan diikuti oleh puak-puak yang lain. Mereka kemudiannya menyokong al-Ash’ath ibn Qays al-Kindi. Puak Madhaj dan konco-konconya turut murtad dan kemudiannya menyokong al-Aswad ibn Kaab al-Ansiy al-Kahin. Rabiah dan al-Ma’rur ibn al-Nu’man ibn al-Mundhir juga murtad. Puak Hanifah pula sememangnya telah bekerjasama dengan Musailamah ibn Habib al-Kazzab. Bani Sulaim pula mengisytiharkan murtad bersama-sama al-Faj’ah yang nama asalnya ialah Anas ibn Abd. Yalil. Bani Tamim pula murtad bersama-sama Sajah al-Kahinah (Sajah Si Tukang Tenung).

Qasim ibn Muhammad pula menceritakan bahawa puak Asad, Ghatafan dan Tayy’ bergabung dengan Tulaihah al-Asadi. Mereka menghantar beberapa rombongan ke Madinah. Rombongan ini terus menonjolkan diri dikhalayak ramai. Masyarakat kota semua keluar ke lapangan untuk melihat kedatangan mereka kecuali al-Abbas. Penduduk Madinah terus membawa rombongan tersebut menemui Abu Bakr supaya mereka mengerjakan solat sekalipun tidak mahu mengeluarkan zakat. Lalu Allah swt melimpahkan keazaman yang tinggi kepada Abu Bakr supaya sentiasa berada dalam kebenaran. Beliau telah berkata “Sekiranya mereka enggan juga untuk membayar iqal (zakat kambing dan unta), nescaya aku akan memerangi mereka!”.

Setelah berkata-kata demikian, beliau menghantar puak-puak yang murtad ke kampong halaman masing-masing. Setibanya mereka dikelompok masing-masing, mereka terus menceritakan perihal (keadaan) Madinah termasuk bilangan penduduknya yang sedikit itu. Dengan berita tersebut, semangat orang yang murtad untuk menyerang Kota Madinah semakin meluap-luap.

Oleh yang demikian, Abu Bakr membentuk unit kawalan yang akan menjaga disekeliling Kota Madinah. Setiap kali penduduk Madinah pergi ke masjid, Abu Bakr akan berkata kepada mereka “Sesungguhnya bumi ini telah gelap. Sesungguhnya sebahagian dari puak yang murtad itu telah melihat jumlah kamu yang sebegini kecil sedangkan kamu tidak tahu entah bila siang atau malam mereka akan menyerang kita. Mereka akan mendekati lantas menyerang kita dengan cepat. Pada waktu yang sama kaum Arab yang lain cenderung untuk mengikat perjanjian supaya kita menerima dan berpakat dengan mereka tetapi kita telah mengabaikan mereka. Bersiap sedialah untuk menghadapi mereka, wahai kaum muslimin!”.

Penduduk Madinah berjaga-jaga selama tiga hari sehinggalah tentera murtad dating menyerang Madinah dengan sekali serbuan. Sebahagian dari mereka (tentera murtad) berkumpul di Dhu Hussa untuk mengawasi rakan-rakan mereka. Penduduk Madinah yang berkawal terus memberitahu Abu Bakr tentang serangan tersebut. Lalu beliau berpesan kepada mereka “Hendaklah kamu tetap di kedudukan kamu masing-masing!” Setelah itu beliau keluar bersama-sama penduduk al-Masjid (Penduduk Makkah) dengan menaiki unta untuk mengejar musuh. Kaum muslimin yang lain juga mengejar musuh-musuh dengan unta mereka sehingga tiba di Dhu Hussa. Tidak lama kemudian, tiba bantuan yang lebih banyak lagi. Akhirnya kemenangan berada ditangan kaum muslimin selepas mengharungi pertempuran yang hebat.

Pada bulan Jamadil Akhir, Abu Bakr keluar bersama-sama penduduk Madinah dan ketua-ketua daerah menuju ke kawasan-kawasan sekitar Madinah yang didiami oleh puak A’rabiy yang sememangnya pemastautin di situ. Apabila Abu Bakr dan musuh-musuhnya bertempur sesame sendiri, iaitu yang terdiri daripada Bani Abbas, Bani Murrah, Bani Dhibyan dan Bani Kinanah serta dibantu oleh Tulaihah dan anaknya Hubal, rupa-rupanya musuh telah memasang perangkap. Sebaik sahaja Abu Bakr dan tentera muslimin tiba dikawasan lereng bukit, puak-puak yang disebutkan tadi meluru dan menyerbu kea rah mereka dari arah puncak gunung dan bukit. Apabila unta para sahabat Abu Bakr melihat kedatangan musuh itu, ia terus berlari bertempiaran ke serata tempat. Jadilah ia seperti unta tanpa tuan sehinggalah ia tiba atau pulang ke Madinah.

Selepas terjadi peristiwa tersebut, kaum muslimin ditimpa rasa lemah dan kurang yakin untuk berperang, mereka memanggil kaum kerabat mereka dari tempat-tempat lain dan berkumpul. Abu Bakr pula sepanjang malam meniup semangat ke dalam diri kaum muslimin. Beliau menyusun semula kedudukan tentera Islam sehingga ke penghujung malam. Sewaktu melaksanakan tugas tersebut, beliau ditemani oleh tiga adik beradik iaitu al-Nu’man ibn Muqrin disebelah kanannya, Abdullah ibn Muqrin disebelah kirinya, manakala Suwayd ibn Muqrin disebelah belakangnya. Belum pun fajar menjengukkan dirinya, tentera Islam telah bertembung ditempat yang sama. Tiada kedengaran lagi dipihak tentera Islam sebarang keluhan atau keresahan, sehinggalah pedang-pedang mereka memancung leher tentera kuffar yang murtad itu. Belum pun matahari terbit, tentera murtad telah bertempiaran lari. Mereka mengalami kekalahan yang besar. Hubal turut terbunuh, Abu Bakr terus mengarahkan tentera Islam mengejar saki baki tentera murtad yang masih hidup hingga tiba di Dhu al-Qissah. Disinilah kemenangan mutlak pertama yang diperolehi oleh tentera Islam.

Hinalah tentera musyrik, sebaliknya mulialah tentera Islam. Walaupun demikian, Bani Dhibyan dan Bani Abbas tidak berputus asa. Tetapi mereka akhirnya tewas ditangan tentera muslimin. Abu Bakr terus mengarahkan setiap kabilah yang murtad itu dihancurkan kerana kematian tentera Islam dan kaum muslimin yang telah dibunuh oleh mereka mesti dibalas.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 567-572 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan