Selasa, 7 Disember 2010

Hadis Tentang Muawiyah Bin Abu Sufian Iaitu Allah Tidak Akan Mengenyangkan Perutnya


Imam Ahmad, Muslim dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya menyebut sebuah hadis melalui periwayatan Abu Awanah al-Waddah ibn Abdullah al-Yashkariy daripada Abu Hamzah Imran ibn Abu Atta daripada Ibn Abbas yang berkata “Aku pernah bermain-main bersama beberapa orang budak dan tiba-tiba Rasulullah saw datang. Aku berkata dalam hatiku “Tidaklah Rasulullah datang melainkan untuk mencariku”. Aku terus bersembunyi dibelakang. Tetapi baginda dapat menemuiku lalu menarik bajuku dengan lembut. Kemudian baginda bersabda “Pergilah dan panggilkan Muawiyah kemari yang telah menjadi jurutulis wahyu!”

Ibn Abbas bercerita lagi “Aku pun segera pergi kepada Muawiyah lalu memanggilnya. Seseorang berkata bahawa Muawiyah sedang makan. Aku datang kepada Rasulullah saw lalu menjelaskan kepada baginda bahawa Muawiyah sedang makan. Baginda bersabda, “Pergi panggil sekali lagi!” Aku segera menemuinya pada kali yang kedua dan menerima jawapan yang sama, iaitu Muawiyah sedang makan. Aku terus menceritakannya kepada Rasulullah saw. Aku disuruh pergi lagi kepada Muawiyah tetapi keadaannya tetap sama. Sewaktu aku kembali kepada Rasulullah saw pada kali yang ketiga, baginda bersabda “Allah swt tidak akan mengenyangkan perutnya!”.

Selepas peristiwa itu, sesungguhnya Muawiyah mendapat manfaat (Sabda Rasulullah saw itu tepat mengenai diri Muawiyah) daripada doa Rasulullah saw sama ada didunia mahupun diakhirat. Sewaktu didunia, beliau telah dilantik menjadi pemerintah di Sham. Pada setiap hari, beliau makan tujuh kali. Hidangan yang dihadapkan kepadanya ialah sepinggan besar daging dan bawang. Makanan inilah yang digemarinya. Setiap hari, beliau akan makan makanan berdaging sebanyak tujuh kali termasuk makanan-makanan manis dan buah-buahan yang banyak. Beliau pernah berkata, “Demi Allah swt aku tidak pernah kenyang sekalipun aku telah letih!” Sesungguhnya hidangan dan nikmat seperti ini merupakan perkara yang paling disukai oleh sekalian raja.

Sewaktu diakhirat pula terdapat sebuah hadis riwayat Muslim serta al-Bukhari dan yang lain-lain daripada sekumpulan sahabat, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda “Ya Allah, sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa. Sesiapa juga daripada hambaMu yang telah aku maki atau sebat atau yang telah aku doakan, maka tiadalah hamba tadi berhak mendapat makian atau sebatan tadi. Jadikanlah kesemua itu sebagai satu bentuk kaffarah dan qurbah yang akan mendekatkannya kesisiMu pada hari kiamat kelak!”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 173-174 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan