Isnin, 13 Disember 2010

Hadis Berkenaan Dengan Keldai


Hadis ini cuba dipaparkan juga oleh penulis (Ibnu Kathir) dalam kitab ini sekalipun kebanyakan para ulama yang hafiz lagi terkenal telah menolak kesahihannya.

Antaranya ialah seperti yang dinyatakan oleh Abu Muhammad ibn Abdullah ibn Hamid bahawa Abu al-Hasan Ahmad ibn Hamdah al-Sahrakiy telah menceritakan kepada kami, Umar ibn Muhammad ibn Bujayr telah menceritakan kepada kami, Abu Jaafar Muhammad ibn Yazid telah menceritakan kepada kami, Abu Abdullah Muhammad ibn Uqbah ibn Abu al-Sahba’ telah menceritakan kepada kami, Abu Huzaifah telah menceritakan kepada kami daripada Abdullah ibn Habib al-Hudhali daripada Abd. Rahman al-Salmiy daripada Abu Manzur yang berkata “Selepas Allah swt memberikan kemenangan kepada tentera Islam di Khaibar, Nabi saw mendapat habuan empat pasang baghal, empat pasang pelana, sepuluh awqiyah emas dan perak, seekor keldai dan bekas yang dibuat daripada daun tamar untuk diisi dengan buah tamar. Abu Manzur (periwayat hadis ini) berkata lagi, antara baginda saw dan keldai tersebut telah berlaku satu dialog, baginda bertanya “Siapakah namamu?” Ia menjawab “(Namaku) ialah Yazid bin Shihab, Allah swt telah mengurniakan daripada keturunan datukku 60 ekor keldai yang hanya ditunggangi oleh para nabi. Sekarang, hanya aku sahaja yang masih hidup sedangkan tiada nabi lagi sesudah tuan. Aku telah menyerahkan diriku untuk ditunggang oleh tuan. Dahulu aku dimiliki oleh seorang lelaki Yahudi. Sudahlah aku jarang diberikan makanan, tubuhku (belakangnya) dipukul pula!” Baginda pun bersabda “Aku namakan engkau dengan panggilan Ya’fur, wahai Ya’fur!” Ia menjawab “Selamat datang kepadamu, wahai Rasulullah” Lantas baginda bertanya kepadanya “Adakah kamu inginkan keldai betina?” Ia menjawab “Tidak” Rasulullah saw sering menunggang keldai tersebut untuk kegunaan baginda. Apabila baginda tiba disesebuah rumah, ia akan mengetuk pintu dengan kepalanya. Apabila tuan rumah keluar, ia pun terus member isyarat supaya tuan rumah itu menyambut kedatangan baginda. Selepas baginda wafat, ia berjalan kearah sebuah perigi kepunyaan Abu al-Haytham ibn al-Nubhan lalu terjun ke dalamnya! Jadilah perigi tersebut tempat persemadiannya yang terakhir. Ia bertindak demikian lantaran terkejut mendengar kewafatan baginda saw”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 281-282 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan