Rabu, 15 Disember 2010

Hadis Berkenaan Abu Hurairah Iaitu Takkan Ada Seorang Yang Beriman Membenciku


Imam Ahmad pula menyatakan daripada Abd. Al-Rahman, Akramah ibn Amir dan Abu Kathir iaitu Yazid ibn Abd. al-Rahman ibn Adhinah al-Suhaymi al-A’ma daripada Abu Hurairah telah berkata “Demi Allah, tidak pernah Allah jadikan seorang yang beriman itu apabila mendengar hadis daripadaku atau pernah melihatku, tidak suka kepadaku” Lalu aku (Abu Kathir) pun bertanya “Macam mana kamu boleh tahu?” Beliau pun bercerita “Sesungguhnya ibuku seorang musyrik, aku telah mengajaknya memeluk Islam tetapi beliau enggan. Suatu hari aku mengajaknya lagi namun beliau masih enggan malah mencerca baginda, aku menangis dan terus pergi menemui baginda dan mengadu “Wahai Rasulullah, aku telah puas mengajak ibuku untuk memeluk Islam tetapi beliau enggan malah mencacimu, doakanlah supaya beliau mendapat hidayah”. Baginda terus berdoa “Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepada ibu Abu Hurairah”. Aku segera pulang untuk memberitahu berita gembira itu kepada ibuku. Semasa berada berhampiran dengan pintu rumah, aku terdengar bunyi sesuatu terjatuh lalu segera mengetuk pintu, beliau bertanya “Kamukah Abu Hurairah?”. Kemudian membuka pintu. Ketika itu aku melihatnya sedang memakai tudung, katanya “Sesungguhnya aku telah bersaksi Tiada Tuhan selain Allah dan hanya Muhammad hamba dan pesuruhNya”. Aku pun segera menemui baginda sambil menangis gembira , sama seperti ketika aku menangis kerana sedih dihadapannya. Aku berkata “Wahai Rasulullah, aku terlalu gembira kerana Allah telah memperkenankan doamu, ibuku sudah menganut Islam. Doalah pula supaya aku dan ibuku disayangi oleh semua hambaNya yang beriman”. Lalu baginda bersabda “Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini beserta ibunya sayang dengan hamba-hambaMu yang beriman dan mereka pun menyayangi mereka berdua”. Sebab itulah aku boleh tahu takkan ada seorang yang beriman membenciku”.

Kisah ini turut diriwayatkan oleh Muslim daripada Akramah dan Ammar. Hadis tersebut dipetik daripada Kitab Dalail al-Nubuwwah.

Dengan doa tersebut, jadilah Abu Hurairah insan yang disayangi oleh seluruh manusia setiap waktu dimana sahaja ketika itu. Dimana sahaja beliau berkhutbah semua akan senyap, baik pada hari Jumaat ataupun berucap dihadapan orang ramai pada hari biasa, inilah salah satu kelebihan yang Allah beri kepadanya.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 152-153 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan