Selasa, 30 November 2010

Perlantikan Saidina Hasan Bin Ali Bin Abu Talib Sebagai Khalifah Dan Kisah Pertempuran Tentera al-Hasan Dan Tentera Muawiyah


Penulis (Ibnu Kathir) telah mencatatkan sebelum ini bahawa selepas Ibn Maljam berjaya menikam Ali bin Abu Talib, kaum muslimin berkata kepada Ali, “Wahai Amirul Mukminin, lantiklah pengganti!” Beliau segera menjawab “Tidak, tetapi yang ingin aku lakukan ialah aku akan meninggalkan kamu sebagaimana Rasulullah saw meninggalkan kamu yakni tanpa sebarang perlantikan Khalifah. Sekiranya Allah menghendaki kebaikan pada diri kamu, nescaya Dia akan menghimpunkan dibawah pimpinan orang yang paling baik dikalangan kamu sebagaimana Dia telah menghimpunkan kamu dibawah pimpinan orang yang paling baik dikalangan kamu selepas kewafatan Rasulullah saw”.

Apabila Ali menghembuskan nafasnya yang terakhir, jenazahnya disembahyangkan oleh kaum muslimin dan al-Hasan ibn Ali ra sebagai imamnya kerana beliau anak sulung Ali ra. Jenazah tersebut kemudiannya dikebumikan di Dar al-Imarah (Kufah bukannya Mashhad al-Najf sebagaimana sangkaan puak Syiah Rafidah – Abu Najmi) seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Ini adalah pendapat yang tepat berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Selepas segala urusan berkenaan Ali diselesaikan, orang yang mula-mula menemui al-Hasan ialah Qays ibn Sa’d ibn Ubadah. Beliau berkata “Hulurkanlah tanganmu. Aku ingin berbai’ah kepadamu berdasarkan kitab Allah dan sunnah nabiNya!. Al-Hasan terdiam. Selepas Qays, berduyun-duyunlah kaum muslimin melakukan bai’ah kepada al-Hasan. Bai’ah tersebut berlaku pada hari kematian Ali, iaitu hari beliau diserang pada hari Jumaat, tanggal 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ada pula yang berpendapat, beliau (Ali) hanya meninggal dunia selepas dua hari ditikam dan ada sesetengahnya pula berpendapat bahawa beliau meninggal dunia pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Semenjak hari itu, al-Hasan telah diangkat menjadi khalifah yang baru manakala Qays ibn Sa’id mentadbir negeri Azarbaijan yang mempunyai 40,000 tentera bersenjata yang telah berikrar untuk sehidup semati dengan Ali kwh. Apabila Ali meninggal dunia, Qays mencadangkan kepada al-Hasan untuk menghantar bala tentera bagi memerangi penduduk Sham. Namun al-Hasan telah melucutkan jawatan Qays sebagai Gabenor Azarbaijan dan menggantikannya dengan Ubaidillah ibn Abbas. Tidak pernah terlintas difikiran al-Hasan untuk memerangi sesiapa tetapi pengikut-pengikutnya telah meracuni pemikirannya. Tidak lama selepas itu, terhimpunlah sebuah ketumbukan tentera yang besar yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Al-Hasan mengarahkan Qays agar mengetuai barisan hadapan tentera yang mengandungi 12,000 anggota.

Tanpa berlengah-lengah lagi beliau terus mara ke Sham untuk memerangi Muawiyah dan penyokong-penyokongnya. Apabila mereka melewati al-Madain, mereka terus berkubu disana. Disebelah pihak yang lain pula, Muawiyah telah bersiap sedia ditengah-tengah al-Madain. Tiba-tiba satu suara yang kuat kedengaran diseluruh kawasan tersebut. “Ingatlah Qays ibn Sa’d ibn Ubadah telah dibunuh!” Tentera-tentera pimpinan Qays menjadi kelam kabut. Pada kesempatan inilah, tentera Muawiyah dating menyerang lalu merampas segala kelengkapan dan alat-alat peperangan mereka. Akhirnya tentera Muawiyah Berjaya menghalau keluar tentera al-Hasan sehingga khemah al-Hasan pun turut dirampas. Tempat hamparan yang digunakan al-Hasan duduk juga ditelangkupkan. Sewaktu al-Hasan hendak menunggang kudanya, beliau telah cuba ditahan. Akan tetapi al-Hasan dapat menentangnya dan melepaskan diri daripadanya. Beliau dapat menunggang kudanya lalu memasuki istana putih di al-Madain dan kemudian duduk berehat dalam keadaan terluka. Wakilnya yang mentadbir al-Madain ialah Sa’d ibn Mas’ud al-Thaqafiy saudara Abu Ubaydah yang terkenal pada hari al-Jasr (Peperangan Jambatan). Apabila tentera Muawiyah telah memasuki istana tersebut, al-Mukhtar ibn Abu Ubayd bertanya kepada bapa saudaranya Sa’d ibn Mas’ud “Adakah engkau inginkan kemuliaan dan kekayaan?” Sa’d menjawab “Apakah yang kamu maksudkan?” Al-Mukhtar berkata “Tangkap al-Hasan bin Ali kemudian ikat dan serahkannya kepada Muawiyah” Sa’d yang juga bapa saudara kepada al-Mukhtar segera menjawab “Semoga Allah mencerca dan menghina kamu serta apa-apa yang kamu datangkan itu! Adakah engkau mahu mengkhianati anak lelaki kepada anak perempuan Rasulullah saw?”.

Apabila al-Hasan melihat keadaan tenteranya yang berpecah belah lahirlah kebenciannya terhadap mereka, lalu beliau menulis sepucuk surat kepada Muawiyah yang telah pulang ke Sham untuk memujuknya agar mengadakan perdamaian dengan mereka. Muawiyah menerima cadangan tersebut lalu menghantar Abdullah ibn Amir dan Abd. Rahman ibn Samurrah kepada al-Hasan yang telah berada di Kufah.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 20 – 21 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan