Isnin, 29 November 2010

Isteri-Isteri Dan Anak-Anak Saidina Ali ibn Abi Talib ra


Isteri pertama yang dikahwini oleh Ali ra ialah Fatimah binti Rasulullah saw selepas Peperangan Badar. Hasil perkahwinan itu lahirlah Hasan dan Husin. Ada pendapat yang mengatakan bahawa seorang lagi iaitu Muhsin tetapi telah meninggal dunia sewaktu masih kecil. Fatimah turut melahirkan Zainab al-Kubra dan Ummu Kalthum. Ummu Kalthum inilah yang dikahwini oleh Omar ibn al-Khattab ra yang telah dijelaskan sebelum ini. Ali tidak berkahwin lain selepas Fatimah sehinggalah Fatimah meninggal dunia iaitu setelah enam bulan kewafatan Rasulullah saw. Selepas kewafatan Fatimah, beliau banyak berkahwin. Antaranya ada yang meninggal dunia sewaktu hidup dengan beliau dan ada juga yang diceraikannya. Empat orang daripadanya meninggal dunia. Ini akan dijelaskan kelak.

Antara isteri-isteri beliau ialah Ummu al-Banin binti Haram. Haram ialah al-Mahl ibn Khalid ibn Rabiah ibn Ka'b ibn Amir ibn Kilab. Hasil perkahwinannya dengan Ali, beliau melahirkan al-Abbas, Jaafar, Abdullah dan Osman. Mereka semua terbunuh bersama saudara-saudara mereka iaitu al-Husin di Karbala. Mereka tidak dapat menandingi al-Husin dari segi ketokohan selain al-Abbas.

Isteri beliau yang lain pula ialah Layla binti Mas'ud ibn Khalid ibn Malik daripada Bani Tamim. Hasil perkahwinan ini lahirlah Ubaidillah dan Abu Bakr. Menurut Hisham ibn Kalbiy, Ubaidillah dan Abu Bakr turut terbunuh di Karbala. al-Waqidi pula menyangka bahawa Ubaidillah telah dibunuh oleh al-Mokhtar ibn Abu Ubaid pada Peperangan al-Dar.

Isteri beliau yang seterusnya ialah Asma' binti Umays al-Khatha'miyah. Hasil perkahwinan ini lahirlah Yahya dan Muhammad al-Asghar. Ini menurut pendapat al-Kalabiy, tetapi al-Waqidi pula berpendapat bahawa beliau telah melahirkan Yahya dan Awn. al-Waqidi menjelaskan lagi bahawa Muhammad al-Asghar adalah daripada anak salah seorang hambanya

Isteri beliau yang lain pula ialah Ummu Habibah binti Zam'ah ibn Bahriy ibn Abd ibn Alqamah. Ummu Habibah adalah hamba yang telah ditawan oleh Khalid yang berbangsa Tughlub sewaktu Khalid menguasai Ayn al-Tamr. Dia telah melahirkan Omar dan Ruqayyah.

Isteri beliau yang lain ialah Ummu Sa'id binti Urwah ibn Mas'ud ibn Mughith ibn Malik al-Thaqafiy. Beliau melahirkan Ummu al-Hasan dan Ramlah al-Kubra.

Isteri beliau yang lain pula ialah anak perempuan Amru al-Qays ibn Adiy ibn Jabir ibn Ka'b ibn Alim ibn Kalb al-Kalbiyah. Beliau melahirkan anak yang bernama Jariyah yang turut bersama-sama Ali ke masjid. Pada ketika itu dia masih kecil. Ada orang bertanyakan kepadanya, "Siapakah saudara-saudaramu?" Dia menjawab "Wak! wak!" iaitu Bani Kalb.

Isteri beliau seterusnya ialah Amamah binti Abu al-As ibn al-Rabi' ibn Abd Shams ibn Abd Manaf ibn Qusay dan ibunya Zainab binti Rasulullah saw. Dialah yang didukung oleh Rasulullah saw ketika baginda sedang bersembahyang. Apabila baginda berdiri, dia didokongnya dan apabila baginda sujud, diletakkannya. Amamah telah melahirkan Muhammad al-Awsat. Isteri Muhammad al-Awsat ialah Khawlah binti Ja'far ibn Qays ibn Musalmah ibn Ubaid ibn Tha'labah ibn Yarbu' ibn Thalabah ibn al-Du'alli ibn Hanifah ibn Lajim ibn Sa'b ibn Ali ibn Bakr ibn Wail yang pernah ditawan oleh Khalid pada zaman al-Siddiq dalam Peperangan al-Riddah. Khawlah berasal dari Bani Hanifah. Selepas ditawan dia diberikan kepada Ali ibn Abi Talib ra. Dia melahirkan Muhammad al-Akbar. Selepas Khawlah dimerdekakan, dia berkahwin dengan Muhammad al-Awsat.
Puak Syiah telah mendakwa bahawa Muhammad al-Akbar memiliki sifat-sifat imam dan maksum. Walaubagaimanapun sebenarnya beliau adalah sebahagian daripada pemimpin kaum muslimin sahaja. Tetapi beliau tidak maksum dan begitu juga bapanya. Malah orang yang lebih baik daripada bapanya dari kalangan Khulafa' al-Rasyidin juga tidak bersifat maksum. Begitulah sepertimana yang ditetapkan. Wallahua'lam.

Ali mempunyai ramai anak daripada 4 orang isterinya dan 19 orang gundik. Oleh sebab itu, kebanyakan anak itu tidak dapat dipastikan nama ibu-ibu mereka. Antara anak ibu-ibu yang dikenali ialah Ummu Hani, Maimunah, Zainab al-Sughra, Ramlah al-Kubra, Ummu Kalthum al-Sughra, Fatimah, Amamah, Khadijah, Ummu al-Kiram, Ummu Ja'far, Ummu Salmah dan Jamanah.

Menurut ibn Jarir, semua anak Ali berjumlah 14 orang lelaki dan 17 orang perempuan. al-Waqidi berkata bahawa keturunan Ali dikira daripada lima orang iaitu al-Hasan, al-Husin, Muhammad (ibn al-Hanafiyah dan al-Abbas ibn) al-Kalabiyah dan Omar ibn al-Tughlubiyyah rah.

Sumber : al-Bidayah wa an-Nihayah jilid 7 mukasurat 518-520 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail ibn Kathir

1 ulasan:

  1. kenapa puak syiah sgt benci kpada Ahlul Sunnah bernama Abu Bakar, Omar dan Usman sedangkan anak2 Saidina Ali RA mempunyai nama2 tersebut? betapa dusta puak2 syiah laknatullah ni...

    BalasPadam