Rabu, 1 Disember 2010

Hadis Berkenaan 12 Khalifah Yang Berasal Dari Kaum Quraish


Menurut sebuah hadis yang dicatat dalam kitab Sahih Muslim melalui hadis ibn Abu Dhi’b daripada Muhajir ibn Mismar daripada Amir ibn Sa’d daripada Jabir ibn Samurrah yang berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah saw bersabda “Sentiasalah agama (Islam) ini tegak (kuat) dibawah pemerintahan 12 khalifah yang berasal dari kalangan kaum Quraish. Sewaktu al-Sa’ah hampir tiba, muncullah orang yang bergelar pendusta. Segolongan dari kaum muslimin akan berjaya membuka (menguasai) perbendaharaan al-Qasru al-Abyad (istana putih iaitu kerajaan Rom) dan istana Kisra (Parsi). Aku akan mendahului kamu semua ketika memasuki al-Hawd (Syurga)!”

Imam al-Baihaqi menyebut bahawa Abu al-Husein ibn Bashran telah mengkhabarkan kepada kami Ali ibn Muhammad al-Misriy telah mengkhabarkan kepada kami Muhammad ibn Ismail al-Salma telah menceritakan kepada kami Abdullah ibn Salih telah menceritakan kepada kami al-Laith telah menceritakan kepadanya Khalid ibn Yazid telah menceritakan kepada kami daripada Sa’id ibn Abu Hilal daripada Rabiah ibn Sayf bahawa beliau pernah duduk bersama-sama dengan Shafa al-Asbaha yang berkata beliau mendengar Abdullah ibn Umar berkata “Beliau mendengar Rasulullah saw bersabda “Akan berlaku pada kamu 12 orang khalifah yang dimulakan oleh Abu Bakr al-Siddiq. Beliau akan menggantikanku. Tidak lama selepas itu, beliau digantikan oleh orang lain. Orang tersebut merupakan tuan seluruh tanah Arab yang akan hidup dalam kemuliaan dan mati dalam keadaan syahid.” Seorang lelaki bangun lalu bertanya “Siapakah yang tuan maksudkan itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab “Omar ibn al-Khattab” Setelah berkata demikian, baginda berpaling ke arah Uthman dan bersabda “Dan kamu pula akan terpaksa berhadapan dengan manusia yang akan menanggalkan “pakaian”(kekuasaan) yang telah dipakaikan oleh Allah swt kepada kamu. Demi Tuhan yang telah mengutuskan diriku ini dalam kebenaran, sekiranya kamu menanggalkannya sendiri, pasti kamu tidak akan memasuki syurga Allah sehinggalah unta yang kuat itu mati akibat terkena jarum-jarum yang beracun!”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 371 dan 397 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

1 ulasan:

  1. salamun alaikum
    maaf ingin tahu,
    mengapa sayidina abu bakr mencadangkan sayidina umar dan sahabat nabi abu ubaidullah menjadi khalifah? Hadis diatas jelas menunjukkan siapa yang dilantik dahulu.

    BalasPadam