Jumaat, 31 Disember 2010

Perbezaan Ahli Sunnah Dengan Golongan Lain - Bahagian 1


Ahli Sunnah adalah orang yang mencintai hadis nabi dan patuh melaksanakan kandungannya.

Ahli Sunnah dan Ahli Hadis bukanlah mereka yang sekadar sibuk dalam urusan ilmu hadis, mereka juga yang mencintai dan mencurahkan perhatian kepadanya, beriltizam dengannya serta menyeru orang lain agar beriltizam kepadanya baik dia sebagai ahli hadis, feqah, sufi, pemimpin ataupun orang awam.

Yang dimaksudkan dengan Ahli Hadis bukannya hanya setakat mendengar sahaja, menuliskan atau meriwayatkannya tetapi ia adalah mereka yang paling benar hafalannya, pengetahuannya dan pemahamannya, kemudian mengikutinya secara lahir dan batin.

Demikian pula halnya dengan Ahli Quran, sekurang-kurangnya mereka mencintai al-Quran dan Hadis dengan penuh perhatian serta beramal dengan ilmunya sebagai bukti penghormatan terhadap kedua-dua sumber itu.

Oleh kerana itu, fuqaha hadis lebih memahami perihal Rasul jika dibandingkan dengan fuqaha lainnya, sufi mereka lebih murni mengikut jejak Rasul daripada sufi golongan lainnya, pemimpin mereka lebih teguh mengikuti garisan kebajikan Rasul daripada pemimpin lainnya dan orang awam mereka lebih teguh pegangan mereka kepada Rasulullah dibandingkan dengan orang awam lainnya.

Sumber :Ahli Sunnah Wal Jamaah : Kenapa Perlu Dipertahankan Di Nusantara Karangan Haji Jainal Sakiban al-Jauhari Terbitan Majlis Agama Islam Negeri Johor m/s 28

Isnin, 27 Disember 2010

Kisah Malik Ibn Nuwairah Al-Yarbuiy Al-Tamimi (Yang Telah Bersekongkol Dengan Sajah al-Kahin Iaitu Isteri Kepada Musailamah al-Kazzab)


Sewaktu Sajah al-Kahin (Nabi palsu perempuan) cuba berkompromi dengan Musailamah al-Kazzab (Nabi palsu lelaki), dia telah ditipu oleh Musailamah sebaik sahaja tiba dari al-Jazirah. Setelah itu dia kembali ke negerinya. Pada masa yang sama, Malik ibn Nuwairah menyesali terhadap segala tindak tanduknya kepada Islam, lalu berhasrat untuk kembali kepada Islam. Dia mengutuk dirinya tanpa henti-henti.

Ketika dia berada di al-Battah, Khalid dan tenteranya telah mara terlebih dahulu ke sana sedangkan tentera Ansar bertolak kemudian. Tentera Ansar berkata “Sesungguhnya kami terpaksa menunaikan segala yang diarahkan oleh al-Siddiq terlebih dahulu. Oleh sebab itulah kami terlambat sampai!” Khalid pun menjawab “Sesungguhnya urusan ini (urusan murtad) mesti diuruskan terlebih dahulu. Kita tiada masa lagi untuk menyelesaikannya pada masa yang lain. Tambahan pula, Khalifah al-Siddiq tidak memberi sebarang surat kepadaku. Aku adalah pemimpin dan ketua-ketua kamu. Hanya kepadakulah segala berita patut sampai kepadaku. Bukanlah aku pula yang memaksa kamu untuk melakukan perjalanan ini. Aku sekarang benar-benar mahu bertolak ke al-Battah!”
Apabila ketetapan telah dibuat, Khalid dan tentera-tenteranya pun bertolak ke tempat tersebut. Setelah dua hari, barulah utusan Ansar menemui Khalid lalu meminta beliau menunggu kedatangan mereka (Ansar). Tidak lama kemudian, tentera Ansar datang menyusul. Ketika Khalid dan tenteranya sampai di al-Battah yang ditempati oleh Malik ibn Nuwairah dan pengikut-pengikutnya, beliau (Khalid) terus memecahkan tenteranya kepada beberapa platun kecil yang ditugaskan untuk menyeru manusia ditempat tersebut kepada Islam.

Pemimpin-pemimpin Bani Tamim melahirkan ketaatan dan kepatuhan kepada beliau sambil berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan zakat kecuali daripada Malik ibn Nuwairah dan pengikut-pengikutnya. Keadaan Malik pada ketika itu masih berbelah bagi sama ada mahu kembali kepada Islam atau tidak. Tiba-tiba platun Khalid datang lalu menawannya dan pengikut-pengikutnya.

Tentera-tentera Islam yang menawan Malik berasa serba salah sewaktu menangkap mereka. Abu Qatadah al-Harith ibn Rib’iy al-Ansari menegaskan bahkan menyaksikan mereka telah mendirikan solat. Sahabatnya yang lain pula berkata bahawa mereka (Malik dan pengikut-pengikutnya) tidak melaungkan azan dan tidak mengerjakan solat. Menurut satu pendapat, para tawanan telah dibelenggu (diikat) dan dibiarkan sahaja menghadapi malam yang sejuk tanpa sebarang selimut.

Tiba-tiba seorang wakil Khalid berseru, “Hendaklah kamu panaskan para tawanan kamu itu!” Pada sangkaan tentera Muslimin yang sedang berkawal ialah Khalid mahu supaya para tawanan itu dibunuh (sebenarnya dia mahu supaya dia diberi selimut). Tanpa membuang masa, tentera yang berkawal it u terus membunuh tawanan mereka. Malik ibn Nuwairah mati dibunuh oleh Dirar ibn al-Azwar. Apabila Khalid mendengar orang memanggil-manggil namanya, beliaupun keluar lalu mendapati segala-galanya telah selesai. Beliau pun berkata “Apabila Allah swt menghendaki sesuatu urusan. Dia segera melaksanakannya!”

Khalid pun mengahwini isteru Malik yang bernama Ummu Tamim, anak perempuan al-Minhal yang rupawan lagi jelita. Selepas berkahwin, Khalid pun tinggal disana. Menurut satu pendapat, pernah pada suatu hari Khalid telah meminta Malik ibn Nuwairah mengaku terhadap kesalahannya, lalu Malik mendedahkan bahawa dia merupakan antara penyokong kuat Sajah al-Kahin (Isteri Musailamah al-Kazzab) bahkan enggan mengeluarkan zakat. Khalid bertanya kepadanya “Tidakkah engkau tahu bahawa zakat itu mempunyai hubungan yang rapat dengan solat?” Malik menjawab dengan sombong “Itu hanyalah dakwaan kamu sahaja!” Khalid naik geram. Beliau bertanya lagi “Adakah dia (Muhammad) sahabat kami sahaja bukan sahabat kamu? Wahai Dirar pancung kepalanya!” Dirar terus mematuhi arahan beliau.

Khalid pun mengarahkan agar kepala Malik dibahagi tiga dan dimasak dalam tiga periuk. Pada malam itu juga, Khalid makan salah satu daripada isi periuk tersebut untuk menggerunkan orang Arab dan orang murtad lain yang cuba mengingkari kerajaan Islam apatah lagi menyeleweng daripada nama Allah.

Menurut satu cerita lagi bahawa rambut Malik telah dijadikan bahan api untuk memasak bahan-bahan kepalanya sendiri oleh sebab rambut tersebut terlalu banyak, sekalipun daging kepala itu telah masak, ia tidak habis terbakar. Abu Qatadah pernah sekali membicarakan kelakuan Khalid secara bersemuka dengannya. Kedua-duanya hampir bertengkar sehinggakan Qatadah mengadukan hal tersebut kepada Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Pengaduan tersebut dibincangkan oleh Omar dan Abu Qatadh. Omar pun menyuarakan pendapatnya “Lucutkan sahaja jawatan Khalid kerana pada pedangnya terdapat penganiayaan!” Abu Bakr terus menempelak kata-kata Omar dengan menjawab “Aku tidak mampu berbuat sesuatu terhadap pedang yang telah dihunuskan oleh Allah untuk memerangi orang kafir!”

Tidak lama kemudian,, Mutmin ibn Nuwairah dating mengadu perihal Khalid kepada Khalifah. Pengaduannya disokong oleh Omar lalu menyebutkan sajak Mutmin tentang orang mati kepada Khalifah Abu Bakr. Khalifah pun memujuknya dengan penuh belas kasihan.

Daripada keterangan diatas, nyatalah Omar sentiasa berusaha dan menggesa Khalifah Abu Bakr al-Siddiq supaya melucutkan jawatan yang disandang oleh Khalid ibn al-Walid iaitu ketua turus angkatan tentera. Beliau berkata “Sesungguhnya pada pedangnya (Khalid) terdapat penganiayaan!” Sudah tentu Khalifah tidak dapat bertahan lama dengan desakan dan gesaan daripada sahabatnya yang dihormatinya itu. Akhirnya beliau memanggil Khalid ibn al-Walid. Sewaktu pualng ke Madinah, Khalid masih memakai baju besinya yang masih berlumuran dengan darah. Serban yang dipakainya juga berwarna merah lantaran percikan darah yang melekat padanya. Sewaktu beliau memasuki masjid, Omar terus berdiri lalu menarik sebahagian daripada serban Khalid lalu memijak-mijaknya. Kemudian Omar berteriak, “Adakah kerana riya’ yang menyebabkan engkau membunuh seorang muslim lalu kemudian engkau rampas isterinya. Demi Allah, aku akan merejam kamu dengan al-Janadil (kuat dan keras)”. Khalid masih diam seribu bahasa. Beliau menyangka bahawa pandangan dan pemikiran al-Siddiq sama seperti yang difikirkan oleh Omar.

Beliau terus berjalan sehingga menemui Abu Bakr dan meminta diri untuk masuk. Rupa-rupanya sangkaannya meleset sama sekali. Tidak lama kemudian, beliau keluar dari menemui Abu Bakr sedangkan Omar masih duduk dalam masjid. Sewaktu Khalid keluar, beliau melihat Omar. Beliau pun berkata “Ke marilah wahai Ibn Ummu Shamlah!”. Panggilan Khalid tidak disahut oleh Omar. Tahulah Omar bahawa Khalifah Abu Bakr menerima tindakan yang telah dilakukan oleh Khalid. Jawatan yang disandang oleh Khalid juga tidak dilucutkan sekalipun Khalid berijtihad untuk membunuh Malik ibn Nuwairah dan salah dalam ijtihadnya.

Hal yang berlaku ini sama seperti ketika Rasulullah saw menghantar Khalid kepada Abu Judhaymah. Lalu Kahlid membunuh semua tawanan yang menyebutkan “Kami menyembah bintang”, lainlah jika mereka berkata “Kami telah Islam, kami telah Islam” Rasulullah saw terus membayar diyat (denda)kepada keluarga mereka sehingga kotoran-kotoran anjing turut dikembalikan kepada mereka. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya, Abu Bakr berdoa “Ya Allah, ya Tuhan kami, sesungguhnya aku lepaskan urusan yang dilakukan oleh Khalid kepadaMu!”. Dengan pengisytiharan ini, kekallah jawatan yang disandang oleh Khalid

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 584-587 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Rabu, 22 Disember 2010

Fatwa Syeikhul Islam Khilafah Turki Osmaniyyah Tentang Kekufuran Syiah


Seorang ahli tafsir besar dan faqih pada abad ke 10Hijrah iaitu Allamah Abu As-Saud (w 982 Hijrah) yang merupakan Syeikhul Islam dan Mufti Besar dizaman Khilafah Osmaniyyah di Turki. Beliau pernah menulis satu fatwa berikutan beberapa soalan tentang Syiah yang dikemukakan oleh Khalifah Osmani lantaran kekacauan yang sentiasa dicetuskan oleh Syiah dizamannya. Kita akan menterjemahkan sahaja soalan Khalifah Osmani dan jawapannya oleh Allamah Abu As-Saud kerana agak panjang isi fatwanya itu.

Soalan Khalifah berbunyi :-

Adakah harus berperang dengan orang Syiah dan adakah orang-orang kita yang mati kerana menentang Syiah dianggap syahid sedangkan mereka mendakwa pimpinan mereka adalah dari kalangan Ahlul Bait Nabi saw dan mereka juga mengucap dua kalimah syahadah?

Allamah Abu As-Saud menjawab soalan itu dengan fatwanya seperti dibawah :-

Berperang dengan golongan Syiah adalah satu jihad besar. Orang-orang kita yang mati kerana berperang dengan mereka adalah Syahid. Mereka penderhaka kerana mengangkat senjata menentang Khalifah dan Kafir kerana beberapa sebab. Mereka tidak termasuk didalam 72 golongan Islam kerana telah mencipta kekufuran dan kesesatan yang tersendiri dari sampah sarap aqidah-aqidah rekaan golongan-golongan yang sesat.

Selain dari itu kekufuran mereka tidak berada disuatu tahap yang tertentu malah ia sentiasa meningkat naik. (Kemudian Allamah Abu As-Saud menulis, selepas mengemukakan beberapa sudut kekufuran Syiah begini).

Kerana itulah ulama'-ulama' kita dizaman lampau sepakat mengatakan harus mengangkat senjata menentang mereka dan orang yang ragu tentang kekafiran mereka akan dianggap kafir.

Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, Sufyan at-Thauri dan al-Auza'i, jika golongan Syiah ini bertaubat dari kekufuran mereka dan menerima Islam maka mereka tidak akan dibunuh dan diharap mereka juga akan dimaafkan oleh Allah swt setelah bertaubat seperti orang-orang kafir yang lain.

Tetapi mengikut mazhab Imam Malik, Syafi'e, Ahmad, laith bin Saad dan banyak lagi ulama'-ulama' besar yang lain, bahawa taubat mereka tidak akan diterima dan pengakuan Islam mereka tidak akan dihiraukan malah mereka akan dibunuh sebagai menjalankan had. (Kemudian Allamah Abu As-Saud menulis kepada Khalifah dizamannya untuk memilih yang mana diantara pendapat yang disebut tadi lebih sesuai untuk dipraktikkan, kemudian beliau menulis).

Golongan Syiah yang berada dimerata tempat yang gejala-gejala aqidahnya tidak dapat dipastikan tidaklah akan diganggu. Hukum-hukum seperti diatas tidaklah diperlakukan ke atas mereka. Tetapi golongan pemimpin dan pengikut-pengikutnya yang berperang bagi pihak pemimpin-pemimpin itu tidaklah boleh kerajaan membiarkan dengan begitu sahaja tanpa bertindak sesuatu terhadap mereka kerana golongan ini berdasarkan sebab-sebab yang telah disebutkan, terus menerus mengamalkan kekufuran. Tidak syak lagi memerangi mereka lebih penting lagi dari memerangi orang-orang kafir yang lain.

Saidina Abu Bakar telah mengisytiharkan perang terlebih dahulu terhadap Musailamah dan pengikut-pengikutnya sebelum memerangi kafir yang lain sedangkan disekeliling Madinah penuh dengan musuh-musuh Islam yang terdiri dari bermacam-macam kafir. Semua golongan kafir yang lain itu dapat dikalahkan setelah fitnah Musailamah dibersihkan dari muka bumi. Demikian juga sikap Saidina Ali ketika menghadapi fitnah Khawarij.

Ringkasnya, berjihad menentang mereka tidak syak lagi merupakan kerja terpenting dan orang-orang yang mati didalam memerangi mereka adalah Syahid.

(Sekian fatwa Allamah Abu As-Saud)

Fatwa Allamah Abu As-Saud ini telah dinukilkan oleh Allamah Ibn Abidin Asy-Syami didalam risalahnya yang bernama "Tanbihu al-Wulati wa al-Hukkam ala Ahkami Syatimi Khairi al-Anam au Ahadi Ashabihi al-Kiram".
(Risalah ini diterbitkan bersama risalah-risalahnya yang lain dengan judul "Rasaa'il ibn Abidin" oleh Suhail Academy, Lahore, j.1 hal.369)

Sumber : Syiah Rafidhah, Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah m/s 109-111 Oleh Muhammad Asri Yusoff

Selasa, 21 Disember 2010

Hadis Palsu : Ali Mendapat 9 Bahagian Kebijaksanaan


Ibn Asakir berkata berkata bahawa Abu Yala memberitahu kepada kami, al-Maqriy telah menceritakan kepada kami, Abu Nuaim al-Hafiz telah memberitahu kepada kami, Abu Ahmad al-Ghatarifi telah memberitahu kami, Abu al-Hasan ibn Abu Maqatil telah menceritakan kepada kami, Muhammad ibn Ubaid ibn Utbah telah menceritakan kepada kami, Muhammad ibn Ali al-Wahabi al-Kufi telah menceritakan kepada kami, Ahmad ibn Imran ibn Salmah yang terkenal thiqah, adil lagi disanjungi telah menceritakan kepada kami, Sufyan al-Thauri telah menceritakan kepada kami, daripada Mansur daripada Ibrahim daripada Alqamah daripada Abdullah yang berkata "Aku pernah berada disisi Nabi saw lalu baginda ditanyakan tentang Ali, baginda bersabda "Aku telah membahagikan kebijaksanaan kepada 10 bahagian dan aku telah berikan kepada Ali 9 bahagian manakala manusia yang lain hanya dikumpulkan satu bahagian sahaja!"

Alhafiz Ibnu Asakir terdiam tentang hadis ini dan beliau tidak pula menyimpan untuk menyuruhnya disebarkan kerana ia bersifat munkar bahkan sangat maudu' yg disandarkan kpd Sufyan al-Thauri dengan sanadnya. Semoga Allah menghina orang yang mereka-reka dan menciptanya

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 7 mukasurat 567 & 568 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Isnin, 20 Disember 2010

Fatwa Ulama’ Di Benua Kecil India Tentang Kekufuran Syiah


Oleh kerana golongan Syiah atau Rafidhah itu adalah satu golongan yang mempunyai kepercayaan dan aqidah-aqidah yang bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw dan kemudiannya disebarkan oleh para Sahabatnya ke serata dunia, maka seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini, para ulama’ Islam dizaman dahulu telah mengeluarkan mereka dari Islam. Demikianlah sikap ulama’ Islam sejak dahulu sehingga pada tahun 1928 ketika mana ajaran-ajaran Syiah tidak tersembunyi lagi kepada ulama’-ulama’ Islam dibenua kecil India. Maka mereka mengeluarkan fatwa bahawa Syiah bukan dari golongan Islam.

Disini kita akan menterjemahkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Maulana Mufti Muhammad Abdul Syakur pada tahun 1928 dan disokong oleh berpuluh-puluh tokoh-tokoh ulama’ ulung pada masa itu. Fatwa ini dikeluarkan oleh beliau ketika ditanya oleh seorang hamba Allah.

Pertanyaan itu berbunyi “Apa kata ulama’ dan para mufti berhubung dengan Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah, adakah mereka itu Islam atau terkeluar dari Islam? Adakah harus berkahwin dengan mereka dan memakan sembelihan mereka? Adakah harus menyembahyangkan jenazah mereka atau turut serta didalam meraikan jenazah mereka? Adakah harus menerima derma khairat dari mereka untuk pembinaan Masjid atau tidak?”

Soalan-soalan tersebut dijawab oleh beliau (Maulana Mufti Muhammad Abdul Syakur) begini :-

Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah terkeluar dari Islam. Oleh kerana setengah-setengah ulama’ kita terdahulu tidak mengetahui hakikat ajaran mereka kerana mereka itu (Syiah) menyembunyikannya dan kitab-kitab mereka juga tidak ditemui, maka mereka tidak mengkafirkan golongan Syiah berdasarkan sikap bercermat didalam menghukum.

Tetapi hari ini, kitab-kitab mereka itu boleh didapati dimana-mana dan hakikat ajaran mereka sudah terserlah. Kerana itu semua ulama’-ulama’ muhaqqiqin sepakat mengkafirkan mereka. Mengingkari dharuriati ad-din (perkara-perkara yang diketahui umum sebagai ajaran Islam) tidak syak lagi merupakan kekufuran.

Al-Quran adalah diantara dharuriati ad-din yang paling tinggi dan paling jelas dan Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah, sama ada ulama’ mutaqaddimin atau muta’akhirin mereka, mengatakan Al-Quran yang ada sekarang sudah diselewengkan. Didalam kitab-kitab mereka yang muktabar terdapat lebih 2000 riwayat berhubung dengan penyelewengan yang telah berlaku didalam al-Quran. Didalamnya disebutkan 5 macam tahrif al-Quran (penyelewengan al-Quran) :-

1. Pengurangan
2. Penambahan
3. Penukaran perkataan-perkataan
4. Penukaran huruf
5. Kerosakan susunan-susunannya berlaku pada surah-surah, ayat-ayat dan kalimat-kalimatnya.

Ulama’ mereka terus menerus mengakui riwayat tahrif pada kelima-lima macam yang tersebut diatas dan mereka mengatakan riwayat itu adalah riwayat mutawatir dan jelas menunjukkan telah berlakunya tokok tambah dalam al-Quran dan kepercayaan mereka adalah menurut riwayat tersebut.

Dikalangan ulama’ Syiah terdapat hanya 4 orang yang menafikan tokok tambah atau tahrif didalam al-Quran. Mereka ialah :-
1. Syeikh Saduq Ibn Babwaih al-Qummi
2. As-Syarif Murtadha
3. Abu Ja’far at-Tusi
4. Abu Ali at-Tabarsi (Pengarang Tafsir Majma’ul Bayan)

Pendapat keempat-empat tokoh Syiah ini bertentangan dengan riwayat-riwayat yang mutawatir disisi mereka dan tidak beralasan pula. Kerana itulah ulama’ulama’ Syiah sendiri telah menolak pendapat-pendapat mereka itu. Keterangan yang jelas dapat dilihat dalam kitab saya ‘Tanbihu al-Ha’irin’.

Allamah Bahrul Ulum Firanggi Mahalli diperingkat permulaannya memfatwakan Syiah sebagai golongan Islam tetapi setelah beliau membaca kitab tafsir ‘Majma’ul Bayan’, yakinlah beliau bahawa Syiah beriktikad bahawa al-Quran yang ada sekarang telah ditahrifkan (ditokok tambah). Kerana itu beliau kemudiannya telah memfatwakan kufurnya Syiah didalam kitab beliau ‘Fawatihu ar-Rahamut Syarah Musallamu ath-Thubut’. Didalam buku tersebut beliau menulis “Orang-orang yang beriktikad tentang berlakunya tokok tambah dalam al-Quran tidak boleh disyak lagi tentang kafirnya”.

Ringkasnya, kekufuran Syiah berdasarkan aqidah mereka terhadap tahrif al-Quran adalah satu perkara yang tidak dapat diragui lagi. Selain dari itu terdapat banyak lagi aqidah-aqidah yang lain pada mereka yang menyebabkan kekufuran mereka seperti aqidah bada’, menuduh Ummahatul Mukminin dan lain-lain dalam keadaan tidak ada kemungkinan mereka mentakwil lagi aqidah mereka ini. Kerana itu tidak harus berkahwin dengan golongan Syiah. Haram memakan sembelihan mereka, begitu juga tidak harus menyembahyangkan jenazah mereka dan tidak boleh menyuruh mereka menyembahyangkan jenazah orang-orang Islam.

Mengikut ajaran agama Syiah didalam kitab-kitab agama mereka, orang-orang Syiah diajarkan supaya berdoa kepada jenazah orang-orang Islam begini “Ya Allah! Penuhkanlah kuburnya dengan api dan curahkanlah azabMu keatasnya”

Sekian, Wallahua’lam.

Ditulis oleh : Ahqaru al-Ibad, Muhammad Abdul Syakur, Aafaahu Maulaahu.

Fatwa beliau ini telah disokong oleh ulama’-ulama’ yang lain dengan dengan mengeluarkan fatwa yang tersendiri atau dengan mengatakan jawapan ini benar dan masing-masing ulama’ yang telah menyetujuinya menurunkan tandatangan mereka diatas fatwa tersebut.

Yang mula-mula sekali menurunkan tandatangan untuk membenarkan fatwa ini ialah Mufti Darul Uloom, Deoband, Maulana Mufti Riadhuddin. Beliau juga telah menuliskan tarikh disitu iaitu 19 Safar 1348 Hijrah. Dibawahnya terdapat tandatangan ulama’-ulama’ yang lain dan dibawah ini kita sebutkan nama-nama ulama’ yang telah menurunkan tandatangan diatas fatwa tersebut menurut tertibnya sebagaimana terdapat didalam warqah fatwa yang telah dicetak kemudiannya.

1. Maulana Sayyid Muhammad Murtadha Hasan Chanpuri (Pengetua Bahagian Pelajaran & Pendidikan, Darul Uloom, Deoband)
2. Maulana Muhammad I’zaz Ali (Syeikhul Fiqh wal Adab, Darul Uloom, Deoband)
3. Maulana Mufti Mahdi Hasan Syahjahanpuri
4. Maulana Hamid Hasan Deobandi
5. Maulana Mufti Mas’ud Ahmad
6. Maulana Mufti Muhammad Syafi’ (Kemudiannya telah menjadi Mufti Besar di Pakistan)
7. Maulana Muhammad Rasul Khan
8. Maulana Muhammad Yamin
9. Maulana Abdul as-Sami’
10. Maulana Nabih Hasan
11. Maulana Asghar Ali
12. Maulana Husain Ahmad Madani (Syeikhul Hadis Darul Uloom, Deoband)
13. Maulana Muhammad Ibrahim
14. Maulana Abdul Wahid
15. Maulana Muhammad Anwar
16. Maulana Khalil Ahmad
17. Maulana Sayyid Asghar Husain
18. Maulana Muhammad Tayyib (Pengetua Darul Uloom, Deoband)
19. Maulana Muhammad Chiragh
20. Maulana Muhammad Abdul Aziz
21. Maulana Hafiz Abd. Rahman
22. Maulana Anwarul Haq
23. Maulana Abu at-Tayyib Muhammad Manzur
24. Muhammad Syabbir Ahmad Uthmani (Syeikhul Tafsir Jami’ah Islamiyah, Dabhil)
25. Maulana Mufti Zuhur Ahmad Bihari (Kemudiannya menjadi Mufti di Darul Uloom, Nadwatul Ulama’)
26. Maulana Muhammad Asbath

Fatwa ini bersama nama-nama ulama’ yang menurunkan tandatangannya diambil dari risalah :-

‘Kia Syi’ah Ithna Asyariyyah Hazrat Musalman Hein 1928 Masihi Ka Ulama’ Kiram Ka Muttafiqa Fatwa’ Oleh Maulana Muhammad Manzur Nu’mani dan Maulana Abdul Syakur Lucknowi.

Perlu diketahui bahawa selain dari ulama’-ulama’ yang tersebut itu, ramai lagi yang telah mengeluarkan fatwa yang tersendiri dibenua kecil India. Kita tidak menukilkan semua fatwa-fatwa mereka disini. Akhir-akhir ini nampaknya ulama’-ulama’ Arab juga telah mengeluarkan fatwa yang sama seperti yang pernah dikeluarkan oleh ulama’ dibenua kecil India tentang Syiah. Diantara tokoh ulama’ Arab yang telah memfatwakan kafir Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah termasuk pemimpin mereka yang terkenal, Khomeini, ialah Syeikh Said Hawwa, Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, Syeikh Nasiruddin al-Albani dan lain-lain.

Sumber : Syiah Rafidhah, Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah m/s 76-81 Oleh Muhammad Asri Yusoff

Kenapa Ulama' Benua Kecil India Tidak Menyetujui Usaha-Usaha Pendekatan Sunnah-Syiah Oleh Dar At Taqrib


Ulama' Islam di benua kecil India (India, Pakistan dan Bangladesh sekarang) bukan sahaja tidak menyetujui usaha-usaha yang dilancarkan oleh ulama'-ulama' Al-Azhar melalui Dar at-Taqrib, malah dalam masa yang sama mereka telah mengeluarkan fatwa tentang kekufuran Syiah.

Kenapakah pandangan mereka begitu berbeza dengan pandangan ulama'-ulama' yang merestui usaha-usaha pendekatan tersebut yang kebanyakan mereka terdiri daripada ulama' Arab?

Mengikut Maulana Manzur Nu'mani didalam bukunya 'Irani Inqilab Khomeini Aur Syi'iyyat' ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka berbeza pendapat dalam menentukan perkara ini dan kenapakah ulama' dibenua kecil India lebih peka terhadap isu ini berbanding dengan ulama'-ulama' dinegara Arab, antaranya:-

1. Perhubungan ulama'-ulama' Arab dengan golongan Syiah agak jauh berbanding dengan perhubungan diantara ulama-ulama' benua kecil India dengan mereka. Walaupun negara-negara Arab seperti Mesir pernah dikuasai oleh kerajaan Syiah tetapi pengaruhnya terhadap penduduk-penduduk dinegara-negara itu tidak begitu mendalam seperti pengaruhnya terhadap penduduk di India. Oleh kerana ajaran Syiah masih dihayati dengan sepenuhnya oleh penduduk-penduduk dibenua kecil India maka ulama'-ulama' Ahli Sunnah disana lebih mengetahui tentang Syiah daripada ulama'-ulama' dinegara-negara lain.

2. Banyak karya Syiah terdapat dalam bahasa Parsi dan Urdu selain dari bahasa Arab. Ulama'-ulama' Arab yang umumnya tidak mengerti bahasa Parsi dan Urdu, tidak mengetahui kesesatan-kesesatan yang terselit dicelah kitab-kitab mereka itu. Mereka hanya diperkenalkan dengan kitab-kitab Syiah yang ditulis untuk tujuan propaganda sahaja atas nama usaha-usaha pendekatan antara Ahli Sunnah dengan Syiah.

Maulana Muhammad Manzur Nu'mani mengatakan lagi, "Sebagaimana ulama'ulama' Arab diperingkat permulaannya teragak-agak untuk mengeluarkan fatwa terhadap kekufuran golongan Qadiani kerana pada zahirnya mereka mendakwa Islam dan tulisan-tulisan mereka yang kebanyakannya dalam bahasa Urdu tidak boleh diselami oleh ulama'ulama' dari dunia Arab, justeru itu ketika kami mengusulkan didalam Muktamar Ulama' Islam di Karachi pada tahun 1952 supaya Qadiani diputuskan sebagai terkeluar daripada Islam, pengerusinya Mufti Amin al-Husaini teragak-agak untuk menerima usul itu kerana beliau belum pasti tentang kesesatan golongan Qadiani dan kerana kurangnya maklumat beliau tentang ajaran Qadiani itu. Tetapi hari ini siapakah yang meragui tentang kufurnya Qadiani itu?

Ini semua adalah hasil kegigihan ulama'-ulama' pembela kebenaran yang ada dibenua kecil India pada waktu itu, sehingga Maulana Maududi sendiri dihukum penjara selama beberapa tahun kerana tentangannya secara terbuka terhadap Qadiani pada waktu itu. Secara kebetulan pula dalam kerajaan pada masa itu terdapat pemimpin-pemimpin yang berfahaman Qadiani.

Kita menaruh sangka baik terhadap ulama'-ulama' Al Azhar terutama apabila mengenangkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu ialah pada zaman usaha-usaha pendekatan antara Sunnah dan Syiah dilancarkan.

Sumber : Syiah Rafidhah, Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah m/s 49-51 Oleh Muhammad Asri Yusoff

Ahad, 19 Disember 2010

Kitab al-Jami’ al-Sahih (Sahih Bukhari)


Imam Bukhari (w.256H) telah dilahirkan di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194H. Dipanggil dengan Abu Abdillah. Nama lengkap beliau Muhammmad bin Ismail bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari Al Ju’fi. Beliau digelar dengan al-Imam al- Hafiz atau Amirul Mukminin fi al-Hadis dan lebih dikenal dengan sebutan al-Imam Al Bukhari. Usaha beliau dalam menghimpun hadis-hadis sahih dalam kitabnya, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penelitian secara ilmiah dan sah yang menyebabkan kesahihan hadis-hadisnya dapat dipertanggungjawabkan. Beliau berusaha sungguh-sungguh untuk meneliti dan menyelidiki keadaan para periwayat hadis, serta memperolehi secara pasti kesahihan hadis-hadis yang diriwayatkannya. Beliau senantiasa membanding-bandingkan hadis-hadis yang diriwayatkan, satu dengan yang lain, menyaringnya dan memilih matan mana yang menurutnya paling sahih.

Sehingga kitabnya merupakan merupakan tolok ukur dan penyaring bagi hadis-hadis tersebut. Hal ini tercermin dari perkataannya sendiri: “Aku susun kitab Al-Jami’ ini yang dipilih dari 600.000 hadis selama 16 tahun.” Dan beliau juga sangat berhati-hati dalam setiap pengumpulannya, hal ini dapat dilihat dari pengakuan salah seorang muridnya bernama al-Firabri yang menjelaskan bahawa ia mendengar Muhammad bin Isma’il al-Bukhari berkata: “Aku menyusun kitab Al-Jami’ al-Sahih ini di Masjidil Haram, dan aku tidak memasukkan ke dalamnya sebuah hadis pun, kecuali setelah aku bersembahyang istikharah dua rakaat dan memohon kepada Allah terlebih dahulu dan sesudah itu, barulah aku meyakini bahawa hadis itu sememangnya benar-benar sahih.”

Maksud pernyataan itu ialah bahawa Imam Bukhari mulai menyusun bab-babnya dan dasar-dasarnya di Masjidil Haram secara sistematik, kemudian menulis pendahuluan dan pokok-pokok bahasannya di Raudhah tempat di antara makam Nabi SAW dan mimbar Masjid Nabawi. Setelah itu, ia mengumpulkan hadis-hadis dan menempatkannya pada bab-bab yang sesuai.Pekerjaan ini dilakukan di Mekah dan di Madinah dengan tekun dan cermat, menyusunnya selama 16 tahun.

Usaha sebegitu, menjadikan kitabnya antara yang terlengkap bagi bidang tersebut, dan nilainya pula tidak terdapat pada kitab lain. Oleh itu, tidaklah menghairankan bila kitab itu mempunyai kedudukan tinggi dalam hati para ulama. Maka sungguh tepatlah ia mendapat jolokan sebagai “Kitab hadis Nabi yang paling Sahih selepas al-Quran.”

Diriwayatkan bahawa Imam Bukhari berkata: “Aku tidak memasukkan ke dalam kitab al-Jami’ al-Sahih ini kecuali hadis-hadis yang benar-benar sahih, dan aku tinggalkan banyak hadis sahih kerana khuatir ia membosankan.”

Kesimpulan yang diperolehi oleh para ulama, setelah mengadakan penelitian secara cermat terhadap kitabnya, menyatakan bahawa Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya terlalu berpegang teguh pada taraf nilai kesahihan yang paling tinggi, dan tidak turun dari tingkat tersebut kecuali dalam beberapa hadis yang bukan merupakan asas dari sebuah bab, seperti hadis muttabi’ dan hadis syawahid serta hadis-hadis yang diriwayatkan dari sahabat dan tabiin.

Jumlah Hadis di dalam Kitab al-Jami’ al-Sahih (Sahih Bukhari)

‘Allamah Ibnu al-Solah dalam kitabnya Muqaddimah ada menyebutkan, bahawa jumlah hadis Sahih Bukhari sebanyak 7275 buah hadis, termasuk hadis-hadis yang disebutnya berulang kali atau dihitung sebanyak 4000 buah hadis tanpa pengulangan. Perhitungan ini diikuti oleh Syeikh Muhyiddin al-Nawawi dalam kitabnya, al-Taqrib.

Selain pendapat tersebut di atas, Ibn Hajar di dalam mukadimah kitabnya yang terunggul iaitu kitab Fath al-Bari merupakan kitab syarah Sahih Bukhari, ada menyebutkan bahawa semua hadis sahih yang terkandung di dalam Sahih Bukhari tanpa hadis yang disebut berulang sebanyak 2602 buah hadis.

Sedangkan matan hadis yang mu’allaq namun marfu’, iaitu hadis sahih namun tidak diwasalkan (tidak disebutkan sanadnya secara sambung menyambung) pada tempat yang lain sebanyak 159 hadis. Semua hadis Sahih Bukhari termasuk hadis yang disebutkan berulang-ulang sebanyak 7397 buah. Hadis yang mu’allaq berjumlah 1341 buah, hadis yang muttabi’ sebanyak 344 buah hadis.

Jadi, berdasarkan perhitungan ini dan termasuk yang berulang-ulang, jumlah keseluruhannya sebanyak 9082 buah hadis. Jumlah ini di luar lingkungan hadis mauquf yang terkait dengan sahabat dan (perkataan) yang diriwayatkan dari para tabiin serta ulama sesudah mereka.

Kepintaran Imam Bukhari tiada tolok bandingnya

Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Saya mendengar Ibrahim bin Khalid Al-Marwazi menceritakan, “Saya melihat Abu Ammar al-Husein bin Harits memuji Abu Abdillah al-Bukhari, lalu beliau berkata, “Saya tidak pernah melihat orang seperti dia, dia seolah-olah diciptakan oleh Allah hanya untuk hadis”.

Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah berkata, “Saya tidak pernah melihat di bawah lembayung langit ini seseorang yang lebih mengetahui dan lebih kuat hafalannya tentang hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam daripada Muhammad bin Ismail (al-Bukhari).”

Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Saya mendengar Abu Abdillah (Al Imam Al Bukhari) berkata: “Sahabat ‘Amr bin ‘Ali al-Fallas pernah meminta penjelasan kepadaku tentang status (kedudukan) sebuah hadis. Saya katakan kepada mereka, “Saya tidak mengetahui status (kedudukan) hadis tersebut”. Mereka jadi gembira dengan sebab mendengar ucapanku dan mereka segera bergerak menuju kepada ‘Amr. Lalu mereka menceritakan peristiwa itu kepada ‘Amr. ‘Amr berkata kepada mereka, “Hadis yang status (kedudukannya) tidak diketahui oleh Muhammad bin Ismail bukanlah hadis”.

Satu keistimewaan Bukhari adalah ingatannya yang sangat kuat. Rakan sepengajian, Hasyid ibn Ismail berkata, semasa zaman kanak-kanak mereka, Bukhari pernah menghadiri kelas pengajian hadis di Basrah. Beliau menceritakan: “Kami semua menulis nota kecuali al-Bukhari. Selepas 16 hari masa berlalu, kami berbincang mengenai pelajaran dan mengkritik al-Bukhari kerana dia membuang masa dan tidak menulis sebuah pun hadis yang telah dipelajari. Imam al-Bukhari yang ‘terasa’ dengan hal itu menyuruh kami menyemak nota kami. Kemudian dia membacakan satu persatu sehingga habis hadis tersebut, lebih kurang 15,000 buah hadis semuanya. Seolah-olah al-Bukhari telah mengajar pula kepada kami hadis yang kami tulis.”

Peringkat awal belajar, al-Bukhari menghafal 70,000 hadis, kemudian meningkat kepada 300,000 buah hadis, 100,000 daripadanya adalah hadis sahih dan 200,000 pula adalah hadis hasan. Selain itu, al-Bukhari sememangnya memiliki pemikiran yang tajam. Dia tidak bergantung kepada pen dan kertas kerana dia hanya bergantung kepada akal dan memorinya. Kemampuan memorinya mampu mengatasi beberapa keping CD-rom dalam satu-satu masa jika dihitung dari aspek terkini.

Pada suatu ketika, penduduk Baghdad mendapat berita al-Bukhari akan ke sana. Golongan ahli hadis di sana sepakat untuk mengujinya. Mereka merosakkan rangkaian periwayat hadis (sanad) dengan mencampur adukkan antara satu dengan yang lain. Kedatangan al-Bukhari disambut meriah oleh penduduk di sana.

Maka di dalam majlis yang diadakan, mereka mula menguji kepintarannyanya. Sepuluh orang di ambil dan perlu merosakkan sanad dan matan setiap 10 hadis yang dihafalnya. Orang pertama berdiri dan bertanya mengenai rangkaian sanad 10 buah hadis tersebut. Walau bagaimanapun imam al-Bukhari hanya menjawab, “Aku tidak tahu..” Orang kedua juga berbuat begitu dan menunggu jawapan dari al-Bukhari masih tetap dengan jawapan serupa yang diberikannya.

Selepas setiap kali mereka habis bertanyakan 10 hadis tersebut, ketika suasana telah kembali tenang, maka ulama dan ahli fiqh yang hadir mula berpandangan dan menganggap imam al-Bukhari ini lemah dan tidaklah sehebat gelaran dan kemasyhuran yang mereka dengar selama ini. Akhirnya, setelah orang yang terakhir selesai membacakan hadis-hadisnya, imam al-Bukhari mula berbicara. Dia mengarahkan perhatiannya kepada penyoal yang pertama dengan menyebutkan hadis pertamanya hingga hadis ke-10 dan membetulkan matan hadis dan sanadnya sekaligus.

Demikian pula dengan 9 penyoal yang lain. Akhirnya, kesemua hadis yang telah ditukar matan dan sanadnya dibacakan kembali oleh Imam al-Bukhari sebagaimana hadis yang asal dan menyempurnakan 100 buah hadis tersebut.Semua orang yang hadir berasa kagum dan mengakui kelebihan dan keutamaan Imam al-Bukhari di bidang ini. Apatah lagi ditambah dengan kemampuannya untuk menyampaikan kesalahan hadis yang disampaikan kepadanya secara berturutan dengan hanya sekali mendengarnya sahaja.

Qutaibah bin Sa’ad berkata: “Pada zamannya, Muhammad bin Ismail seperti Umar di zaman para sahabat. Maksudku dari aspek kecerdasan, pengetahuan dan keberaniannya dalam memperlihatkan kebenaran.”Anak murid dan juga pembantunya yang setia iaitu Muhammad ibn Abi Hatim al-Warraq menceritakan, al-Bukhari membuka rumah tumpangan di kota Bukhara dan memasang bata sendiri untuk menyiapkan rumah itu, Warraq yang ingin membantu tetapi tidak diizinkan oleh al-Bukhari denga katanya: “Pada hari akhirat nanti, usaha ini akan menjadi faedah untuk diriku.”

Abdullah bin Muhammad al-Sayarafi menceritakan: “ketika aku berada bersama Muhammad bin Ismail di biliknya, maka masuklah pembantu rumahnya (jariah yang dimilikinya sebagai hamba) ke dalam biliknya dan dia telah terlanggar dakwat yang berada di hadapan Imam al-Bukhari. Dia lantas bertanya kepada jariahnya itu: “Bagaimana kamu berjalan?” Jariahnya menjawab: “Jika tiada jalan bagaimana aku ingin melangkah?” Beliau terus mendepakan tangannya, seraya berkata: “Pergilah, sesungguhnya engkau telah aku bebaskan!” Jariahnya bertanya: “Wahai Abu Abdillah, adakah aku membuatkan engkau marah?” dia menjawab: “Sesungguhnya aku reda di dalam hatiku dengan apa yang engkau telah lakukan.”

Dari Abu Bakar bin Munir dia menceritakan: “Suatu hari ketika Imam al-Bukhari sedang bersembahyang, tebuan menyengatnya di 17 tempat. Sebaik sahaja selesai dia bersembahyang, dia berkata: “Cuba kamu lihat apa yang menyakitiku dalam solat aku tadi?” Mereka mencarinya dan mendapati tebuan telah menyengatnya di 17 tempat pada tubuhnya, dia tidak langsung menghentikan solatnya.”
Muhammad ibn Abi Hatim al-Warraq juga pernah bercerita, jika mereka berpergian, anggota rombongan lain akan tinggal sebilik dan al-Bukhari akan tinggal sendirian di dalam satu tempat. Aku sering melihat al-Bukhari bangun 15 sehingga 20 kali sepanjang malam dengan menyalakan sendiri lampu. Kemudian dia bangun untuk membaca dan membetulkan hadis kemudian tidur semula. Al-Warraq yang melihat keadaan itu menawarkan bantuan tetapi al-Bukhari menjawab: “Kamu masih muda dan aku tidak mahu mengganggu tidurmu.”

Ali bin Muhammad ibn Mansur mendengar bapanya bercerita: “Ketika kami berada di dalam majlis ilmu Imam al-Bukhari di masjid, terdapat seorang lelaki dari kalangan yang hadir telah mencabut janggutnya dan mencampakkan ke tanah. Aku memerhatikan bahawa Imam al-Bukhari memandang kelakuannya semasa melihat ke arah orang ramai. Setelah selesai majlis dan orang ramai sedang sibuk dengan urusan mereka, aku melihat Imam al-Bukhari mengaut semula helaian janggut yang tercabut dan berselerakan di lantai masjid itu dan memasukkan ke dalam lengan jubahnya. Apabila beliau keluar dari masjid, aku melihat beliau mengeluarkan dan mencampakkannya di luar masjid. Hal itu seolah-olah dia memelihara kebersihan masjid sebagaimana dia memelihara kebersihan janggutnya.”

Semoga Allah merahmati beliau, Amin ya Rabb!

Sumber : http://mohdfikri.com/blog/kitab-arab/ulum-al-hadis/kitab-al-jami%E2%80%99-al-sahih-sahih-bukhari.html

Kisah Kebetulan Yang Amat Ganjil - Akhir Yang Sama Dengan Awal


Sebuah hadis sahih pernah menyebut bahawa pemerintahan al-Nubuwwah yang bersambung ke zaman Rasulullah saw hanya berlaku dalam masa 30 tahun. Justeru itu, ia hanya melibatkan zaman Abu Bakr, Omar, Osman, Ali dan akhirnya disusuli oleh al-Hasan ibn Ali selama enam bulan sehingga lengkap 30 tahun sebagaimana yang ditetapkan oleh dalil-dalil tersebut. Ini bererti khalifah seterusnya telah bertukar kepada pemerintah.

Oleh itu, pemerintah Islam yang pertama daripada Bani Abu Sufyan ialah Muawiyah ibn Abu Sufyan Sakhr ibn Harb ibn Umayyah, diikuti oleh anaknya Yazid. Kemudian ia beralih kepada cucunya, Muawiyah ibn Yazid ibn Muawiyah. Era keturunan yang bermula daripada Muawiyah akhirnya musnah apabila ia berakhir dengan Muawiyah jua (Muawiyah ibn Yazid ibn Muawiyah ibn Abu Sufyan).

Selepas itu pemerintahan Islam telah dipegang oleh Marwan ibn al-Hakam ibn Abu al-As ibn Umayyah ibn Abd Shams ibn Abd Manaf ibn Qusay. Seterusnya ia beralih kepada anaknya Abd al-Malik, diikuti oleh al-Walid ibn Abd al-Malik sebelum beralih kepada saudaranya Sulaiman. Selepas itu, sepupu beliau pula telah memerintah kerajaan Islam iaitu Omar ibn Abd. Aziz yang disusuli oleh Yazid ibn Abd al-Malik, Hisham ibn Abd al-Malik, al-Walid ibn Yazid, Yazid ibn al-Walid, Ibrahim al-Naqis ibn al-Walid dan akhir sekali Marwan ibn Muhammad ibn Marwan yang bergelar al-Himar. Ini bererti pemerintah Islam yang memerintah selepas Bani Abu Sufyan (era pemerintahan Marwan) telah berakhir pada zaman Marwan juga iaitu nama pemerintah yang sama.
Manakala khalifah Bani Abbas pula telah dimulakan oleh Abdullah al-Saffah dan diakhir oleh Abdullah al-Musta’sim.

Sementara pemerintahan al-Fatimiyyin pula bermula daripada Abdullah al-Adid dan diakhiri oleh Abdullah al-Adid. Sememangnya ini merupakan satu kebetulan yang amat ganjil. Wallahua’lam.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 13 mukasurat 282-283 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Jumaat, 17 Disember 2010

Hadis Berkenaan Mengikut Ali Atau Mengikut Aishah


Imam Ahmad menyatakan pula bahawa Muhammad ibn Jaafar telah menceritakan kepada kami, Syukbah telah menceritakan kepada kami daripada al-Hakam yang mendengar Abu Wa'il berkata "Sewaktu Ali menghantar al-Hasan dan Ammar ke Kufah, beliau meminta mereka supaya bersabar dan bertenang. Ammar pun berucap dengan berkata "Sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Aishah) adalah isteri baginda didunia mahupun di akhirat. Akan tetapi Allah swt mahu menguji kamu supaya mengikut (Ali) atau mengikutnya (Aishah)"

Sumber : al-Bidayah wa an-Hihayah jilid 6 mukasurat 410 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Rabu, 15 Disember 2010

Hadis Berkenaan Abu Hurairah Iaitu Takkan Ada Seorang Yang Beriman Membenciku


Imam Ahmad pula menyatakan daripada Abd. Al-Rahman, Akramah ibn Amir dan Abu Kathir iaitu Yazid ibn Abd. al-Rahman ibn Adhinah al-Suhaymi al-A’ma daripada Abu Hurairah telah berkata “Demi Allah, tidak pernah Allah jadikan seorang yang beriman itu apabila mendengar hadis daripadaku atau pernah melihatku, tidak suka kepadaku” Lalu aku (Abu Kathir) pun bertanya “Macam mana kamu boleh tahu?” Beliau pun bercerita “Sesungguhnya ibuku seorang musyrik, aku telah mengajaknya memeluk Islam tetapi beliau enggan. Suatu hari aku mengajaknya lagi namun beliau masih enggan malah mencerca baginda, aku menangis dan terus pergi menemui baginda dan mengadu “Wahai Rasulullah, aku telah puas mengajak ibuku untuk memeluk Islam tetapi beliau enggan malah mencacimu, doakanlah supaya beliau mendapat hidayah”. Baginda terus berdoa “Ya Allah, berilah petunjuk dan hidayah kepada ibu Abu Hurairah”. Aku segera pulang untuk memberitahu berita gembira itu kepada ibuku. Semasa berada berhampiran dengan pintu rumah, aku terdengar bunyi sesuatu terjatuh lalu segera mengetuk pintu, beliau bertanya “Kamukah Abu Hurairah?”. Kemudian membuka pintu. Ketika itu aku melihatnya sedang memakai tudung, katanya “Sesungguhnya aku telah bersaksi Tiada Tuhan selain Allah dan hanya Muhammad hamba dan pesuruhNya”. Aku pun segera menemui baginda sambil menangis gembira , sama seperti ketika aku menangis kerana sedih dihadapannya. Aku berkata “Wahai Rasulullah, aku terlalu gembira kerana Allah telah memperkenankan doamu, ibuku sudah menganut Islam. Doalah pula supaya aku dan ibuku disayangi oleh semua hambaNya yang beriman”. Lalu baginda bersabda “Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini beserta ibunya sayang dengan hamba-hambaMu yang beriman dan mereka pun menyayangi mereka berdua”. Sebab itulah aku boleh tahu takkan ada seorang yang beriman membenciku”.

Kisah ini turut diriwayatkan oleh Muslim daripada Akramah dan Ammar. Hadis tersebut dipetik daripada Kitab Dalail al-Nubuwwah.

Dengan doa tersebut, jadilah Abu Hurairah insan yang disayangi oleh seluruh manusia setiap waktu dimana sahaja ketika itu. Dimana sahaja beliau berkhutbah semua akan senyap, baik pada hari Jumaat ataupun berucap dihadapan orang ramai pada hari biasa, inilah salah satu kelebihan yang Allah beri kepadanya.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 152-153 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Selasa, 14 Disember 2010

Kisah Pembakaran al-Suhuf (Helaian al-Quran) oleh Saidina Osman ibn Affan ra – Bahagian 1


Antara jasa-jasa beliau (Saidina Osman ibn Affan ra) yang utama ialah menyatukan bacaan al-Quran untuk seluruh umat Islam serta menulis al-Mushaf menurut persembahan yang terakhir sebagaimana yang diajar oleh Jibril as kepada Rasulullah saw iaitu pada kemuncak hidup baginda. Faktor yang menyebabkan Osman mengambil tindakan sedemikian adalah ekoran daripada laporan Huzaifah ibn al-Yaman. Sewaktu menyertai beberapa peperangan, beliau menyedari penduduk negeri Sham membaca al-Quran mengikut bacaan yang berbeza-beza.

Ada yang mengikut bacaan al-Miqdad ibn al-Aswad dan sebahagian lagi membaca al-Quran mengikut bacaan Abu al-Darda’. Hal yang serupa berlaku di Iraq. Ada segolongan penduduk membaca al-Quran mengikut bacaan Abdullah ibn Mas’ud dan segolongan yang lain pula mengikut bacaan Abu Musa. Mereka mengkategorikan bahawa sesiapa yang tidak membaca al-Quran menurut kedua-dua bacaan tersebut sebagai terpesong dan sesat. Masing-masing begitu taksub dengan bacaan yang mereka amalkan sehingga kadang-kadang menyatakan bacaan orang lain salah sama sekali bahkan ada yang mengkafirkannya. Situasi demikian boleh membawa kepada perselisihan pendapat yang amat meruncing dan cela mencela sesama mereka.

Melihatkan situasi sebegini Huzaifah pergi menemui Osman lalu berkata “Wahai Amirul Mukminin, selamatkanlah umat ini sebelum mereka berpecah belah mengenai kitab mereka (al-Quran) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani berselisih mengenai kitab mereka”.

Beliau seterusnya menceritakan kepada Osman tentang perselisihan umat Islam dalam membaca al-Quran yang beliau saksikan. Tanpa berlengah-lengah lagi Osman mengumpulkan beberapa orang sahabat dan berbincang dengan mereka tentang masalah yang baru timbul itu. Beliau berpendapat al-Mashaf perlu ditulis mengikut tulisan (bacaan) yang satu. Dan seluruh umat Islam tidak kira wilayah hendaklah membacanya mengikut bacaan yang satu itu. Bacaan-bacaan yang selain daripada itu, sama sekali tidak dibenarkan.

Beliau melihat cara ini mempunyai kepentingan dan mampu mencegah percakaran sesama umat Islam serta menghindar perselisihan pendapat yang tidak sihat.

Beliau meminta al-Suhuf (helaian-helaian al-Quran) yang telah dihimpunkan oleh Zaid ibn Thabit atas arahan al-Siddiq.

Al-Suhuf tersebut dipelihara oleh al-Siddiq semasa hayat beliau. Kemudian ia disimpan pula oleh Omar dan setelah beliau meninggal dunia, Hafsah, Ummul Mukminin pula mengambil alih tugas memelihara al-Suhuf tersebut. Kini al-Suhuf berkenaan dituntut oleh Osman dan beliau mengarahkan Zaid ibn Thabit al-Ansari menulisnya sambil ayat-ayat suci itu dibacakan oleh Said ibn al-As al-Amawi. Kerja-kerja ini disaksikan oleh Abdullah ibn Az-Zubair al-Asadi dan Abd. Rahman ibn al-Harith ibn Hisham al-Makhzumiy.

Sementara itu, sekiranya terdapat beberapa perkara yang tidak mendapat kata sepakat daripada mereka, Osman telah mengarahkan supaya ia ditulis dengan bahasa Quraish. Apabila kerja-kerja telah siap, Osman menghantar sebuah mashaf ke Sham, sebuah ke Mesir dan sebuah lagi ke Basrah. Setiap sebuah mashaf itu dihantar juga ke Kufah, Makkah dan Yaman. Sebuah mashaf juga dihantar untuk orang-orang di Madinah. Mashaf-mashaf berkenaan diberi nama al-A’immah. Tiada satu pun mashaf tersebut ditulis oleh Osman tetapi sebenarnya ditulis oleh Zaid ibn Thabit. Mashaf ini dinamakan al-Mashaf Uthmaniyyah kerana ia berlaku pada zaman pemerintahan beliau sebagai Khalifah dan daripada cetusan idea serta arahan beliau. Keadaan ini sama seperti dinar Herkules diberi nama. Ia tercipta pada zaman pemerintahan Herkules dan kerajaan dibawah kekuasaannya.

Sumber : al-Bidayah wa an-Nihayah jilid 7 mukasurat 334-335 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail Ibn Kathir

Kisah Perdebatan Ali ibn Abi Talib Dalam Membela Osman ibn Affan Dengan Puak Penentang Dari Mesir


Menurut satu pendapat, Ali ra telah berdebat dengan mereka (puak Khawarij Mesir) tentang diri Osman ra sambil bertanya kepada mereka sebab-sebab mereka berdendam kepada Osman ra. Selepas didesak berulangkali barulah mereka bercerita bahawa antara punca sebenar mereka berdendam kepada Osman ra ialah :-

1. Beliau telah membela kaum kerabat walaupun mereka salah.
2. Membakar masahif (lembaran al-Quran).
3. Menyempurnakan sembahyang.
4. Melantik orang baru dan tidak berpengalaman dan pada masa yang sama melucutkan jawatan para sahabat yang besar.
5. Memberi keistimewaan yang lebih kepada kaum Bani Umayyah berbanding yang lain.

Ali ibn Abi Talib ra menjawab persoalan-persoalan tersebut bagi pihak Osman ra dengan berkata:

"Berkenaan dengan pembelaan tersebut, beliau berbuat demikian untuk ibil al-sadaqah sahaja sedangkan ibil dan ghanam kepunyaannya sendiri tidak dibela dan dipertahankan kerana mengikut tindakan Omar ra.

Berkenaan al-Masahif itu pula, Osman ra hanya membakar bahagian yang mengandungi perselisihan sedangkan bahagian yang disepakati Jumhur Ulama tetap dikekalkan. Hal ini sebagaimana yang berlaku kepada al-urdah al-akhirah.

Tentang beliau menyempurnakan sembahyangnya sewaktu di Makkah, sesungguhnya beliau telah membaca talbiyah disana dan berniat untuk mendirikannya disana. Lalu beliau menyempurnakan sembahyang tersebut.

Berkenaan perlantikan orang-orang baru dan muda, beliau hanya melantik orang-orang yang adil dan saksama. Rasulullah saw telah melantik Itab ibn Usaid sebagai ketua negara sementara Makkah sedangkan usianya baru 20 tahun. Baginda juga melantik Usamah ibn Zaid ibn Harithah lalu kaum muslimin memfitnah dan membantah kepimpinannya. Kesemua keadaan itu merupakan perkara yang lumrah dalam pemerintahan.

Berkenaan sikapnya melebihkan kaumnya daripada Bani Umayyah, sesungguhnya Rasulullah saw sendiri melebihkan kaum Quraish daripada kaum yang lain. Demi Allah, sekiranya anak kunci syurga berada pada tanganku, nescaya aku memasukkan kaum Bani Umayyah kedalamnya".

Sumber : al-Bidayah wa an-Nihayah Jilid 7 mukasurat 254-255 karangan Abu al-Fida' al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Isnin, 13 Disember 2010

Hadis Berkenaan Dengan Keldai


Hadis ini cuba dipaparkan juga oleh penulis (Ibnu Kathir) dalam kitab ini sekalipun kebanyakan para ulama yang hafiz lagi terkenal telah menolak kesahihannya.

Antaranya ialah seperti yang dinyatakan oleh Abu Muhammad ibn Abdullah ibn Hamid bahawa Abu al-Hasan Ahmad ibn Hamdah al-Sahrakiy telah menceritakan kepada kami, Umar ibn Muhammad ibn Bujayr telah menceritakan kepada kami, Abu Jaafar Muhammad ibn Yazid telah menceritakan kepada kami, Abu Abdullah Muhammad ibn Uqbah ibn Abu al-Sahba’ telah menceritakan kepada kami, Abu Huzaifah telah menceritakan kepada kami daripada Abdullah ibn Habib al-Hudhali daripada Abd. Rahman al-Salmiy daripada Abu Manzur yang berkata “Selepas Allah swt memberikan kemenangan kepada tentera Islam di Khaibar, Nabi saw mendapat habuan empat pasang baghal, empat pasang pelana, sepuluh awqiyah emas dan perak, seekor keldai dan bekas yang dibuat daripada daun tamar untuk diisi dengan buah tamar. Abu Manzur (periwayat hadis ini) berkata lagi, antara baginda saw dan keldai tersebut telah berlaku satu dialog, baginda bertanya “Siapakah namamu?” Ia menjawab “(Namaku) ialah Yazid bin Shihab, Allah swt telah mengurniakan daripada keturunan datukku 60 ekor keldai yang hanya ditunggangi oleh para nabi. Sekarang, hanya aku sahaja yang masih hidup sedangkan tiada nabi lagi sesudah tuan. Aku telah menyerahkan diriku untuk ditunggang oleh tuan. Dahulu aku dimiliki oleh seorang lelaki Yahudi. Sudahlah aku jarang diberikan makanan, tubuhku (belakangnya) dipukul pula!” Baginda pun bersabda “Aku namakan engkau dengan panggilan Ya’fur, wahai Ya’fur!” Ia menjawab “Selamat datang kepadamu, wahai Rasulullah” Lantas baginda bertanya kepadanya “Adakah kamu inginkan keldai betina?” Ia menjawab “Tidak” Rasulullah saw sering menunggang keldai tersebut untuk kegunaan baginda. Apabila baginda tiba disesebuah rumah, ia akan mengetuk pintu dengan kepalanya. Apabila tuan rumah keluar, ia pun terus member isyarat supaya tuan rumah itu menyambut kedatangan baginda. Selepas baginda wafat, ia berjalan kearah sebuah perigi kepunyaan Abu al-Haytham ibn al-Nubhan lalu terjun ke dalamnya! Jadilah perigi tersebut tempat persemadiannya yang terakhir. Ia bertindak demikian lantaran terkejut mendengar kewafatan baginda saw”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 281-282 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Selasa, 7 Disember 2010

Ummul Mukminin Aishah Binti Abu Bakr al-Siddiq-Bahagian 2


Sebuah hadis lain yang diriwayatkan dalam himpunan Sahih al-Bukhari daripada Osman al-Nahdiy daripada Amru ibn al-As katanya “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling kau sayangi?” Jawab baginda “Aishah”. Aku bertanya lagi “Dikalangan lelaki, siapa pula?” Jawab baginda “Ayahnya”. Dalam himpunan yang sama juga ada diriwayatkan daripada Abu Musa katanya bahawa Rasulullah saw bersabda “Telah sempurna kewujudan lelaki, tetapi kewujudan wanita tidak pernah sempurna kecuali setelah adanya Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah isteri Firaun, Aishah pula memiliki keistimewaan tersendiri umpama istimewanya al-Tharid (Sejenis makanan yang dianggap paling lazat dikalangan orang Arab) berbanding makanan lain”.

Hadis ini telah dijadikan bukti oleh majoriti ulama tentang kelebihan Aishah berbanding Khadijah. Ada pula yang menganggap dengan hadis ini, tiga wanita yang disebut itu memiliki keistimewaan tersendiri berbanding wanita lain. Hadis lain yang menyokong kenyataan tersebut ialah seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ismail ibn Khalil daripada Ali ibn Mushir daripada Hisham ibn Urwah daripada ayahnya daripada Aishah yang berkata “Aku telah menziarahi Halah binti Khuwailid adik Khadijah dengan izin Rasulullah saw lalu baginda tiba-tiba terkenang pada Khadijah dan berasa rindu terhadapnya, keluhnya, “Ya Allah, Halah!” Aishah berkata, “Aku berasa cemburu lalu berkata padanya, apalah yang nak dikenangkan sangat dengan wanita tua berbangsa Quraish berbibir merah tu. Dia dah lama mati dah! Bukankah Allah sudah menggantikannya dengan yang lebih baik?” Riwayat lain pula mengatakan “Demi Allah, sesungguhnya Dia telah mendatangkan aku sebagai ganti yang lebih baik?” tetapi tidak ada sandaran yang kukuh tentang perawinya. Sebelum ini telah diterangkan secara terperinci dalam bab kewafatan Khadijah. Begitu juga tentang hujah-hujah kelebihan Khadijah berbanding Aishah.

Al-Bukhari pernah meriwayatkan daripada Aishah sendiri bahawa pada suatu hari baginda telah berkata “Wahai Aishah, Jibril ini dating dan berkirim salam padamu” Lantas aku menjawab “Selamat sejahtera juga ke atasnya, kamu dapat lihat pula apa yang tidak dapat ku lihat”. Kisah lain tentang kelebihan Aishah ialah seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari bahawa pada hari ulangtahun kelahiran Aishah, orang ramai datang membawa hadiah. Melihat keadaan itu, para isteri baginda pun berhimpun dan pergi mengadu kepada Ummu Salamah meminta supaya beliau menyampaikan kepada Rasulullah saw agar baginda mengarahkan orang ramai tadi member hadiah kepada mereka juga. Ketika baginda pulang ke rumah Ummu Salamah, aduan itu pun disampaikan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Perkara tersebut berulang dua kali, akhirnya baginda pun bersabda kepada Ummu Salamah “Wahai Ummu Salamah, janganlah menyakiti hatiku dengan mengungkit sesuatu yang berkaitan dengan Aishah. Sesungguhnya hanya ketika bersamanya sahajalah aku pernah menerima wahyu berbanding kamu semua”.

Ada pula riwayat mengatakan mereka meminta Fatimah anak baginda supaya menyampaikan hasrat itu, lalu katanya kepada baginda “Sesungguhnya para isteri ayah meminta keadilan seperti apa yang telah ayah lakukan kepada anak perempuan Abu Bakr ibn Abu Qahafah”. Baginda terus menjawab “Wahai anakku, adakah kamu sayang apa yang aku sayang?” Jawab Fatimah “Ya, sudah tentu”. Baginda menambah “Kalau begitu sayangilah dia (Aishah)”. Kemudian mereka meminta Zainab binti Jahsh pula. Beliau pun segera bertemu Rasulullah dan ketika itu Aishah ada bersama lalu beliau terus mengutarakan hasrat tersebut dengan mengeji Aishah, perbuatannya didengar oleh Aishah. Aishah yang sejak tadi hanya mendengar terus berbincang secara tenang dengan Zainab hinggalah ke malam. Rasulullah saw memandang Aishah lalu berkata “Sememangnya dia anak Abu Bakr”.
Penulis (Ibn kathir) juga pernah menyebut tentang kisah Ammar memarahi seorang lelaki yang telah mencaci Aishah. Kisahnya lebih kurang begini, suatu hari semasa dalam tempoh Perang Jamal, Ammar keluar berkempen dan mengajak orang ramai untuk memerangi Talhah dan al-Zubair. Dia dan al-Hasan ibn Ali telah naik ke atas mimbar di Kufah, ketika itulah beliau telah terdengar seorang lelaki telah mencaci Aishah lalu katanya kepada lelaki tersebut “Diamlah kamu wahai orang yang keji lagi terkutuk!” Sesungguhnya dia adalah isteri Rasulullah saw di dunia dan di akhirat. Allah sengaja mengizinkan peristiwa itu berlaku untuk melihat di kalangan kamu yang beriman dengan Allah dan siapa yang taat kepada Aishah pula”.

Imam Ahmad bercerita daripada Muawiyah ibn Amru daripada Zaidah daripada Abdullah ibn Khuthaym daripada Abdullah ibn Abu Malikah daripada Dhakwan pelindung Aishah bahawa Abdullah ibn Abbas telah meminta izin daripada Aishah untuk dating, lalu beliau pun datang di hadapan Abdullah, anak kepada abangnya Abd. Al-Rahman lalu aku berkata “Ini ibn Abbas, beliau datang untuk berziarah”. Aishah berkata “Jauhkan dia daripadaku” Lalu Abdullah berkata “Wahai Ibu, sesungguhnya Abbas ini adalah sebaik-baik anak lelakimu. Beliau selalu berkirim salam kepadamu dan sentiasa juga mengucapkan selamat tinggal”. Aishah menjawab “Izinkanlah dia masuk jika kamu suka” Ketika sedang duduk, beliau bertanya kepada Aishah “Adakah sebarang berita gembira untukku”. Aishah menjawab “Dengan apa pula”. Lalu beliau menambah “Bukankah tidak ada yang menjadi penghalang antara kamu dengan Rasulullah saw dan para sahabatnya kecuali mati. Kamu pula adalah wanita yang paling disayangi Rasulullah saw dan sememangnya baginda tidak salah menyayangi orang. Kamu jugalah yang telah kehilangan kalung lalu menyebabkan Rasulullah dan kaum muslimin ditimpa kemarau sehingga akhirnya Allah menurunkan ayat berkenaan tayammum sebagai pemudah. Allah juga telah menurunkan ayat daripada tujuh petala langit melalui Jibril yang menceritakan tentang kesucianmu, lalu bergemalah pada setiap masa, siang dan malam disetiap masjid alunan bacaan dan khutbah menyebut tentangnya”. Aishah terus mencelah “Sudahlah wahai Ibn Abbas, demi Allah aku akan menjadi orang lalai dengan pujianmu itu”. Sebenarnya banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kelebihan beliau.

Aishah meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah, riwayat lain mengatakan setahun sebelumnya ada pula setahun selepasnya, tetapi yang mahsyur ialah bulan Ramadhan atau Syawal tahun tersebut (58 Hijrah). Harinya pula jatuh pada malam hari Selasa bersamaan 17 Ramadhan. Beliau sempat berwasiat agar jenazahnya dikebumikan ditanah perkuburan Baqi’ pada waktu malam.

Tokoh yang turut menyembahyangkan jenazah beliau ialah Abu Hurairah iaitu selepas solat witir. Orang yang terkemuka yang turut mengiringi jenazah beliau antaranya ialah Abdullah dan Urwah, anak al-Zubair ibn al-Awwam, adiknya Asma’ binti Abu Bakr, al-Qasim dan Abdullah, anak abangnya Muhammad ibn Abu Bakr dan Abdullah ibn Abd. Rahman ibn Abu Bakr.

Ketika meninggal dunia, usianya 67 tahun kerana semasa baginda saw wafat, beliau baru berusia 18 tahun, umurnya ketika tahun Hijrah pula 18 atau 19 tahun. Wallahua’lam. Semoga Allah swt meredhai mereka sekeluarga.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 137-141 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Ummul Mukminin Aishah Binti Abu Bakr al-Siddiq-Bahagian 1


Beliau merupakan salah seorang daripada isteri kesayangan Rasulullah saw. Beliau adalah wanita paling agung dan mendapat kedudukan tertinggi setaraf tujuh petala langit berbanding wanita lain. Ibunya bernama Ummu Rumman binti Amir ibn Uwaymir al-Kinaniyah. Beliau digelar Ummu Abdullah. Ada riwayat mengatakan, gelaran itu diberi oleh Rasulullah saw sempena nama anak saudaranya, Abdullah ibn al-Zubayr.
Riwayat yang lain pula menceritakan kerana beliau adalah satu-satunya wanita yang dianugerahkan Allah swt kepada baginda, lalu baginda memanggilnya sebagai Ummu Abdullah.

Rasulullah saw tidak pernah berkahwin dengan anak dara sebelum ini kecuali dengan Aishah seorang dan tidak pernah wahyu diturunkan kepada baginda ketika bersama dengan seorang isteri kecuali ketika bersama dengan Aishah. Kerana penghormatan inilah, baginda amat menyayangi beliau. Baginda menikahinya di Makkah selepas Khadijah meninggal dunia.

Peminangan Rasulullah saw bermula selepas baginda bermimpi sebanyak dua atau tiga kali, didatangi seorang raja bersama seorang wanita berpakaian sutera menutupi seluruh tubuhnya. Raja itu berkata “Inilah isterimu, carilah dia kerana sesungguhnya memang dia diciptakan hanya untukmu”. Lalu baginda bersabda “Andai dialah jodoh yang telah ditentukan Allah untukku, aku akan sentiasa mensyukurinya”

Selepas itu baginda segera menemui ayah Aishah yang juga sahabat baik baginda, Abu Bakr al-Siddiq untuk meminang anak beliau. Abu Bakr berkata “Wahai Rasulullah, adakah dia halal untukmu?” Jawab baginda “Ya! Sudah tentu”. Kerana masih sangsi, beliau bertanya lagi “Bukankah aku ini saudaramu?” Jawab baginda dengan tenang “Ya! Memang kita saudara, tetapi saudara dalam Islam dan anakmu adalah halal untukku”. Mendengar penjelasan itu Abu Bakr al-Siddiq sedia menikahkan Aishah dengan Rasulullah saw. Baginda hanya ‘menyentuh’ beliau setelah mencapai umur baligh (selepas haid).

Penulis telah menceritakannya pada permulaan sirah. Kisah ini berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ada riwayat mengatakan setelah tiga tahun daripada peristiwa Hijrah dan ada pula mengatakan setelah setengah tahun berlalu. Aishah ketika itu hanya berusia 6 tahun, baginda hanya ‘bersama’ beliau setelah beliau berusia 9 tahun iaitu selepas Perang Badar dalam bulan Syawwal tahun kedua Hijrah.

Semasa heboh tentang cerita fitnah yang berlaku keatas beliau, Allah swt telah menurunkan lebih kurang 10 ayat al-Quran sebagai bukti kesucian beliau daripada perbuatan yang dibualkan orang itu. Penulis telahpun menjelaskan secara terperinci tentang ayat-ayat dan hadis berkenaan peristiwa tersebut dalam bab yang telah lepas dan secara khusus dalam bab yang menceritakan tentang Perang Muraysi’. Ringkasan kisahnya juga terdapay dalam beberapa kitab tafsir.

Majoriti para ulama telah bersetuju meletakkan hukum kafir ke atas sesiapa sahaja yang masih menuduh beliau sebagai penzina selepas turunnya ayat al-Quran yang berkenaan, tetapi mereka berbeza pendapat tentang Ummul Mukminin yang lain (kerana tidak ada ayat yang menyokong mereka). Perselisihan pendapat ini terbahagi kepada dua, sama ada kafir atau tidak. Pendapat yang paling tepat ialah dihukum kafir kerana yang tertuduh itu adalah isteri Rasulullah saw dan Allah swt pun pasti akan murka dengan perbuatan menghina isteri-isteri baginda. Oleh itu, kedudukan para isteri Rasulullah saw adalah sama dan terpelihara.

Salah satu tanda dari kemuliaan Aishah ialah beliau sanggup membahagikan giliran hari bersama Rasulullah kepada Saudah semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah kepada Allah swt. Tanda lain ialah beliaulah isteri yang sempat bersama-sama baginda ketika baginda sedang nazak dan diatas ribaan beliau jugalah baginda menghembuskan nafas terakhir.

Saat itu, terbukti betapa Allah swt amat memuliakan Aishah kerana telah menghimpunkan air liurnya dan air liur baginda sama ada semasa hidup didunia mahupun diawal permulaan hidup diakhirat. (Aishah telah menyuapkan sedikit buah rutab yang telah dikunyahnya ke dalam mulut baginda ketika sedang nazak). Jenazah baginda telah dikebumikan didalam rumah Aishah sendiri.

Imam Ahmad berkata, Waki’ telah bercerita daripada Ismail daripada Mus’ab ibn Ishaq ibn Talhah daripada Aishah daripada Nabi saw katanya “Sesungguhnya telah dipermudahkan ke atasku kerana sesungguhnya aku melihat cahaya putih (gebu) tapak tangan Aishah didalam syurga”.

Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Ahmad. Ini adalah sebagai tanda agungnya kasih sayang Rasulullah saw terhadap Aishah kerana beliau telah melihat tapak tangan Aishah yang gebu didalam syurga.

Keistimewaan lain yang ada pada Aishah ialah beliau diperakui sebagai wanita paling berilmu berbanding isteri baginda yang lain malah wanita paling berilmu berbanding semua wanita dalam dunia.

Al-Zuhriy berkata “Andainya disbanding ilmu yang dimiliki Aishah dengan apa yang dimiliki oleh para isteri baginda yang lain atau semua wanita didunia ini, nescaya lebih tinggi lagi kepakaran Aishah”

Atta’ ibn Abu Rabah pula pernah berkata “Aishah adalah wanita paling berilmu, paling faqih (memahami selok belok agama) dan memiliki idea yang bernas”

Urwah pula berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang paling faqih, paling baik dan paling indah syairnya selain Aishah. Juga tidak pernah seorang wanita ataupun seorang lelaki pernah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah saw dengan kadar yang sama seperti apa yang diriwayatkan oleh Aishah kecuali Abu Hurairah”

Abu Musa al-Ashariy pula berkata “Kami pernah tidak dapat menyelesaikan satu masalah dan apabila kami ajukan kepada beberapa orang sahabat baginda yang pakar dalam ilmu hadis, tidak ada sesiapapun yang dapat member jawapan kecuali Aishah ra”. Kisah ini ada dalam riwayat al-Tirmizi.

Abu al-Duha daripada Masruq pula pernah berkata “Aku pernah melihat seorang pakar ilmu dikalangan sahabat baginda dating menemui beliau (Aishah) bertanya tentang ilmu faraid”.

Terdapat satu hadis yang pernah diriwayatkan oleh beberapa orang ulama dan fuqaha tidak boleh dijadikan hujah kerana kerana statusnya diragui dan tidak ada bukti dalam mana-mana buku sejarah Islam ia pernah dilafazkan oleh baginda. Hadis tersebut berbunyi begini “Lengkapkanlah sebahagian daripada agama kamu daripada si merah (Aishah) ini”.

Aku (penulis) juga pernah bertanya sendiri kepada guruku, Abu al-Hajjaj al-Maziy lalu katanya memang tidak ada asal-usulnya hadis tersebut.

Berkenaan tentang anak muridnya pula, yang boleh dianggap paling cerdik antara semua wanita ialah Amrah binti Abd. Al-Rahman, Hafsah binti Sirin dan Aishah binti Talhah.
Aishah juga adalah satu-satunya wanita yang pernah diajukan beberapa masalah oleh para sahabat kerana masalah itu hanya Aishah yang dapat menyelesaikannya. Begitu juga tentang tafsiran mimpi dan pilihan jodoh, ramai yang lebih suka merujuk kepada beliau kerana ketepatannya. Perkara ini diperakui oleh ramai tokoh ilmuwan, antaranya al-Sha’biy yang pernah berkata “Masruq kalau bercerita tentang Aishah, selalu beliau mulakan dengan wanita paling benar, anak kepada lelaki paling benar dan wanita paling suci mengalahkan tujuh petala langit juga kekasih Rasulullah saw telah menceritakan kepadaku”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 137-141 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Nasihat-Nasihat Sahabat Rasulullah Kepada Saidina Hussin ibn Ali Yang Mahu Ke Kufah (Iraq)


Kemudian, Ibn Abbas berkata “Inilah Hussin yang akan ke Iraq lalu mengosongkan tempatmu di Hijaz!” Sebahagian riwayat mencatatkan daripada Shababah ibn Sawwar yang berkata bahawa Yahya ibn Ismail ibn Salim al-Asadi telah menceritakan kepada kami dengan berkata bahawa beliau mendengar al-Sha’biy bercerita daripada Ibn Omar yang pada waktu itu berada di Makkah lalau sampai berita kepadanya bahawa Hussin ibn Ali telah bertolak ke Iraq. Selepas berjalan tiga hari, Ibn Omar menemuinya dan bertanya “Kemanakah engkau akan pergi?” Hussin menjawab “Iraq!” Hussin yang turut membawa beberapa gulung kertas dan surat terus berkata “Inilah surat-surat mereka dan bai’ah daripada mereka!” Ibn Omar berkata “Janganlah engkau pergi ke sana!” Tetapi Hussin tidak menghiraukan nasihat tersebut.

Ibn Omar pun berkata “Aku ingin menceritakan kepada kamu sebuah hadis bahawa suatu masa, Jibril telah menemui Rasulullah saw lalu memberikan pilihan antara dunia dan akhirat kepada baginda. Lantas baginda memilih akhirat tetapi tidak pula menolak dunia (dengan sepenuhnya). Sesungguhnya engkau termasuk dikalangan utusan Allah. Demi Allah jawatan ini tidak akan dipegang oleh sesiapa pun dikalangan kamu buat selama-lamanya dan tidak akan diubah oleh Allah swt daripada kamu melainkan kepada orang yang lebih baik(terbaik) dikalangan kamu!” Sekalipun nasihat itu panjang berjela-jela, ia tidak dapat mengubah pendirian Hussin. Kemudian, Ibn Omar memeluk erat-erat Hussin dan menangisinya teresak-esak sambil berdoa “Semoga Allah menyelamatkan kamu daripada menjadi mangsa!”

Yahya ibn Mu’ain pula menyatakan bahawa Abu Ubaidah telah memberitahu kepada kami daripada Said ibn Mina yang bercerita bahawa beliau mendengar Abdullah ibn Amru (ibn al-As) berkata “Hussin telah bertindak diluar kemampuannya. Demi Allah, sekiranya aku menemuinya, aku tidak akan meninggalkannya daripada keluar dari Makkah ini melainkan aku tidak berkuasa untuk menghalangnya. Dalam kelompok Bani Hashim, urusan pemerintahan ini dimulai dan dalam kelompok ini juga ia berakhir. Apabila aku melihat seorang yang berketurunan Hashim telah menjadi raja (seolah-olah) masa telah berlalu (tanpa disedari)!” Penulis (Ibnu Kathir) menyebutkan bahawa hadis ini dan hadis Ibn Omar menunjukkan golongan Fatimiyyin telah membuat pengakuan palsu kerana yang sebenarnya mereka bukan daripada keturunan Fatimah sebagaimana yang dibuktikan oleh kebanyakan ulama dan akan dibentangkan kemudian. Insya-allah.

Ya’kub ibn Suffian menyebutkan pula bahawa Abu Bakr al-Hamidi melalui Abu Suffian melalui Abdullah ibn Sharik daripada Bashar ibn Ghalib yang berkata bahawa Ibn Zubair pernah bertanya kepada Hussin “Ke manakah arah tujuanmu?” Kepada satu kaum yang telah membunuh ayahmu dan menikam saudaramu (mengkhianati Hisham)?” Beliau terus menjawab “Sekiranya aku benar-benar mati ditempat sekian, sekian itu adalah lebih aku sukai daripada aku dikurung disini (Makkah)!”.

Al-Zubair ibn Bakkar pula menyatakan bahawa bapa saudaranya iaitu Mus’ab ibn Abdullah telah menceritakannya daripada orang yang mendengar Hisham ibn Yusuf berkata daripada Ma’mar yang berkata “Aku pernah mendengar seorang lelaki bercerita tentang Hussin yang berkata kepada Abdullah ibn al-Zubair “Aku telah menerima bai’ah daripada 40 ribu orang yang bersumpah dengan al-Talaq dan al-Inaq yang mereka bersedia bersama-sama denganku!” Ibn al-Zubair berkata kepada Hussin “Adakah engkau mahu keluar (dari Makkah) untuk pergi kepada satu kaum yang telah membunuh bapamu dan menghalau saudaramu (Hasan)? Hisham berkata bahawa beliau telah bertanyakan tentang Ma’mar daripada seorang lelaki, lalu lelaki itu berkata bahawa Ma’mar seorang yang thiqah. Al-Zubair pula berkata bahawa bapa saudaranya telah menyebut “Sesetengah periwayat hadis menyangka bahawa Ibn Abbas yang telah ditanya oleh Hisham tentang diri Ma’mar”.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 232-233 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Kisah Muslim Bin Aqil Bin Abu Talib (Utusan Husin Bin Ali Bin Abu Talib) Yang Dikhianati Penduduk Kufah


Terdapat banyak surat yang tiba ditangan Husin dari Iraq yang mengajaknya supaya mengetuai mereka. Perkara ini berlaku setelah penduduk Iraq mendapat tahu tentang kematian Muawiyah dan perlantikan Yazid serta pelarian Husin ke Mekkah. Antara orang pertama yang datang kepadanya ialah Abdullah ibn Suba al-Hamdani dan Abdullah ibn Wal yang member salam dan ucapan tahniah kepadanya diatas kematian Muawiyah. Mereka datang pada hari yang ke 10 daripada Ramadhan tahun 60 Hijrah ini. Selepas utusan yang pertama ini, penduduk Iraq terus menghantar beberapa utusan lagi yang dianggotai oleh Qays ibn Mushir al-Didaiy, Abd. Rahman ibn Abdullah ibn al-Kawa al-Arhabiy dan Ammarah ibn Abdullah al-Saluliy yang membawa sejumlah 150 pucuk surat kepada Husin. Selepas itu mereka menghantar Haniy ibn Hani al-Subaiy dan Said ibn Abdullah al-Hanafi yang membawa surat menggesa Husin supaya cepat-cepat datang kepada mereka.
Dengan demikian, Husin pun menghantar anak bapa saudaranya iaitu Muslim ibn Aqil ibn Abu Talib ke Iraq untuk menyelidik dan mengetahui keadaan yang sebenarnya sambil mendapatkan kata sepakat. Sekiranya maklumat yang didapati nanti sangat baik dan berpotensi besar, beliau (Husin) akan datang ke Iraq dengan kaum keluarga dan tenteranya.

Apabila Muslim Berjaya memasuki Kufah, beliau singgah dirumah seorang lelaki yang bernama Muslim ibn Awsajah al-Asadi. Ada pula yang berkata bahawa beliau singgah dirumah al-Mukhtar ibn Abu Ubaid al-Thaqafi. Wallahua’lam. Penduduk Kufah cepat mengetahui kedatangan Muslim lalu beramai-ramai menemuinya bahkan terus menyatakan bai’ah bagi pihak Husin. Mereka bersumpah untuk menolongnya dengan sepenuh jiwa dan harta mereka. Penduduk Iraq yang berbai’ah mencapai angka 12 ribu orang dan kemudiannya meningkat sehingga mencapai 18 ribu orang. Muslim segera menulis surat yang berisi berita gembira tersebut kepada Husin supaya datang ke Iraq kerana bai’ah dan urusan-urusan yang lain telah sedia menantinya.

Sementara itu, Yazid telah melucutkan jawatan al-Nu’man ibn Bashir sebagai gabenor Kufah lalu menyerahkannya kepada Ubaydillah ibn Ziyad yang turut memerintah Basrah.
Selepas keadaan menjadi tenang beliau (Ubaydillah) telah menghantar mawla Abu Rahm ada pendapat yang mengatakan mawlanya sendiri yang bernama Ma’qal bersama-sama 3 ribu dirham dan berlagak seolah-olah dating dari Himsa. Dia (mawla tersebut) dating seolah-olah untuk menyatakan bai’ah kepada Husin. Mawla tadi berjalan dari rumah ke rumah dengan lagak yang sopan dan dermawan sambil member sedikit wang kepada orang yang dilawatinya sehinggalah memasuki rumah yang dihuni oleh Muslim bin Aqil iaitu yang dipunyai oleh Haniy ibn Urwah. Muslim telah berpindah dari rumah yang pernah didudukinya sebelum ini.

Para ketua kaum pergi ke rumah Haniy dan terus berada disana hinggalah Haniy dibawa menemui Ubaydillah.

Tidak lama kemudian kaum kerabat Haniy yang terdiri daripada Bani Mudhhij pun datang bersama-sama Amru ibn al-Hajjaj lalu berdiri diluar pintu istana. Dalam suasana yang riuh rendah kerana menyangka Haniy telah dibunuh. (Haniy tidak dibunuh, hanya dipenjarakan)

Muslim bin Aqil yang mendengar berita tersebut terus menunggang kudanya sambil melangkah dan berseru “Wahai penolong-penolong ketuamu”. Pada waktu itu juga, 4 ribu orang penduduk Kufah berkumpul dibawah pimpinan al-Mukhtar ibn Abu Ubaid yang turut memegang panji berwarna merah. Mereka terus mengiringinya disebelah kiri dan kanannya (Muslim bin Aqil) menuju ke Ubaydillah. Beliau terus melaungkan beberapa perkara berkenaan Haniy sambil member amaran kepada mereka supaya menjauhkan diri daripada pertelingkahan dan perselisihan faham.

Dipihak Ubaydillah pula, ketua-ketua kaum dan pembesar-pembesar mereka duduk dibawah mimbar. Sewaktu Ubaydillah dalam keadaan demikian, tiba-tiba tentera pemerhati berteriak “Muslim bin Aqil telah datang!” Ubaydillah segera bergerak kearah istana lalu memasukinya dan mengunci pintu istana. Apabila Muslim bin Aqil tiba di muka pintu, beliau dan tenteranya hanya tercegat disana.

Ketua-ketua kaum yang bersama-sama Ubaydillah didalam istana terus meninjau-ninjau kearah kelompok tentera yang bersama-sama Muslim bin Aqil. Mereka mengarahkan anak-anak buah mereka yang menyokong Muslim supaya bertolak pulang sambil memberikan kata-kata ancaman sekiranya mereka tidak mahu berundur. Ubaydillah mengarahkan sesetengah daripada ketua-ketua kaum tadi keluar sambil memerintahkan mereka supaya menunggang kuda menuju ke Kufah untuk menarik balik orang yang telah terpengaruh dengan Muslim bin Aqil.

Penyokong-penyokong Muslim bin Aqil saling bertelagah dan menyatakan rasa tidak puas hati lalu akhirnya kebanyakan daripada mereka meninggalkan Muslim bin Aqil. Hanya sejumlah 500 orang sahaja yang masih setia. Kelompok ini pula kemudiannya berkurangan juga sehingga tinggal 300 orang sahaja. Jumlah 300 orang ini pula terus berkurangan dan akhirnya tinggal 30 orang lelaki. Muslim pun mendirikan solat maghrib berjemaah. Kemudian beliau keluar melalui pintu-pintu Kindah bersama-sama 10 orang lelaki. Kemudian, mereka meninggalkannya seorang diri.

Oleh sebab itu, tiada siapa pun yang akan menunjukkan jalan kepadanya apatah lagi untuk menemaninya dan membawanya pulang ke rumahnya. Beliau terus berjalan meredah kepekatan malam tanpa mengetahui arah mana yang dituju. Tiba-tiba beliau menemui sebuah pintu lalu berhenti disitu dan kemudian mengetuknya.

Taw’ah (anak kepada tuan rumah bernama Ash’ath ibn Qays) bertanya “Wahai hamba Allah, siapakah engkau yang sebenarnya?”

Beliau menjawab “Aku, Muslim bin Aqil! Penduduk Kufah telah menipuku dan mengkhianatiku!”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 219 - 225 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Hadis Tentang Muawiyah Bin Abu Sufian Iaitu Allah Tidak Akan Mengenyangkan Perutnya


Imam Ahmad, Muslim dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya menyebut sebuah hadis melalui periwayatan Abu Awanah al-Waddah ibn Abdullah al-Yashkariy daripada Abu Hamzah Imran ibn Abu Atta daripada Ibn Abbas yang berkata “Aku pernah bermain-main bersama beberapa orang budak dan tiba-tiba Rasulullah saw datang. Aku berkata dalam hatiku “Tidaklah Rasulullah datang melainkan untuk mencariku”. Aku terus bersembunyi dibelakang. Tetapi baginda dapat menemuiku lalu menarik bajuku dengan lembut. Kemudian baginda bersabda “Pergilah dan panggilkan Muawiyah kemari yang telah menjadi jurutulis wahyu!”

Ibn Abbas bercerita lagi “Aku pun segera pergi kepada Muawiyah lalu memanggilnya. Seseorang berkata bahawa Muawiyah sedang makan. Aku datang kepada Rasulullah saw lalu menjelaskan kepada baginda bahawa Muawiyah sedang makan. Baginda bersabda, “Pergi panggil sekali lagi!” Aku segera menemuinya pada kali yang kedua dan menerima jawapan yang sama, iaitu Muawiyah sedang makan. Aku terus menceritakannya kepada Rasulullah saw. Aku disuruh pergi lagi kepada Muawiyah tetapi keadaannya tetap sama. Sewaktu aku kembali kepada Rasulullah saw pada kali yang ketiga, baginda bersabda “Allah swt tidak akan mengenyangkan perutnya!”.

Selepas peristiwa itu, sesungguhnya Muawiyah mendapat manfaat (Sabda Rasulullah saw itu tepat mengenai diri Muawiyah) daripada doa Rasulullah saw sama ada didunia mahupun diakhirat. Sewaktu didunia, beliau telah dilantik menjadi pemerintah di Sham. Pada setiap hari, beliau makan tujuh kali. Hidangan yang dihadapkan kepadanya ialah sepinggan besar daging dan bawang. Makanan inilah yang digemarinya. Setiap hari, beliau akan makan makanan berdaging sebanyak tujuh kali termasuk makanan-makanan manis dan buah-buahan yang banyak. Beliau pernah berkata, “Demi Allah swt aku tidak pernah kenyang sekalipun aku telah letih!” Sesungguhnya hidangan dan nikmat seperti ini merupakan perkara yang paling disukai oleh sekalian raja.

Sewaktu diakhirat pula terdapat sebuah hadis riwayat Muslim serta al-Bukhari dan yang lain-lain daripada sekumpulan sahabat, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda “Ya Allah, sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa. Sesiapa juga daripada hambaMu yang telah aku maki atau sebat atau yang telah aku doakan, maka tiadalah hamba tadi berhak mendapat makian atau sebatan tadi. Jadikanlah kesemua itu sebagai satu bentuk kaffarah dan qurbah yang akan mendekatkannya kesisiMu pada hari kiamat kelak!”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 173-174 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Jumaat, 3 Disember 2010

Hadis Tentang Ali ibn Abi Talib Iaitu Rasulullah saw Menyelubungi Dan Memeluk Ali ibn Abi Talib ra


Ibn Adiy berkata bahawa Abu Ya’la telah menceritakan kepada kami, Kamil ibn Talhah telah menceritakan kepada kami, Ibn Lahi’ah telah menceritakan kepada kami, Yahya ibn Abdullah telah menceritakan kepada kami, daripada Abu Abd Rahman al-Jiliy daripada Abdullah ibn Amru yang bercerita bahawa Rasulullah telah bersabda sewaktu baginda sedang sakit :

“Kamu panggilkan saudaraku!” Lalu para sahabat memanggil Abu Bakr tetapi baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda bersabda lagi “Panggilkan kepadaku saudaraku!” Lalu dipanggil Omar, tetapi baginda berpaling daripadanya kemudian baginda bersabda lagi “Kamu panggilkan saudaraku!” Lalu dipanggil Osman tetapi baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda bersabda lagi “Panggilkan saudaraku!” Lalu dipanggil Ali ibn Abi Talib, lalu baginda menyelubunginya dengan baju baginda dan dipeluknya. Sewaktu Ali keluar dari sisi baginda seseorang bertanya kepadanya “Apakah yang dikatakan oleh baginda?”. Ali menjawab “Baginda telah memberitahuku tentang 1000 pintu ilmu yang setiap pintu akan membuka 1000 pintu yang lain!”

Ibn Adiy berkata bahawa hadis ini adalah hadis mungkar yang ditimbulkan oleh Ibn Lahi’ah, dia adalah penganut Syiah yang keterlaluan yang sering diceritakan oleh para ulamak lalu mereka mengkategorikannya sebagai lemah.
Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 7 mukasurat 567 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Khamis, 2 Disember 2010

Keputusan Abu Bakr al-Siddiq Memerangi Puak Murtad Dan Puak Yang Enggan Membayar Zakat


Dalam pembentangan yang lalu, selepas kewafatan Rasulullah saw ramai umat Arab yang menjadi murtad. Kota Madinah pula diselubungi gejala kemunafikan sedangkan Musailamah al-Kazzab mendapat sokongan padu daripada kaum Bani Hanifah dan beberapa puak di Yamamah. Bani Asad dan Tayy’ pula berpaling kepada Tulaihah al-Asadi yang turut mendakwa sebagai nabi seperti yang dilakukan oleh Musailamah al-Kazzab. Fitnah dan kekacauan berlaku dimana-mana.

Oleh yang demikian, Abu Bakr al-Siddiq terus mengiktirafkan semula tentera Usamah, dan pada masa yang sama beliau membentuk askar-askar yang sentiasa berkawal disekeliling Madinah. Sekalipun jumlah tentera yang tinggal selepas sebahagiannya dipilih untuk meneruskan operasi Usamah adalah kecil, namun Abu Bakr mengarahkan askar-askar mengawal kawasan sekitar Madinah kerana orang Badwi dan puak-puak pedalaman berhasrat malah bersedia untuk memerangi Kota Madinah.
Antara ketua-ketua pengawal yang dibentuk ialah Ali ibn Abu Talib, al-Zubair ibn al-Awwam, Talhah ibn Abdullah, Saad ibn Abu Waqqas, Abd. Rahman ibn Awf, Abdullah ibn Mas’ud dan yang lain-lain.

Puak-puak yang mungkin memerangi Madinah itu tidak mahu sama sekali mendirikan solat dan tidak mahu mengeluarkan zakat. Ada sebahagiannya pula tidak mahu mengeluarkan zakat kepada Abu Bakr kerana berhujah dengan ayat berikut. Allah swt berfirman yang bermaksud “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka” (Surah at-Taubah : 103)

Mereka berkata “Kami tidak akan menyerahkan zakat kami melainkan kepada orang yang mendoakan untuk kami yang dengan doa itu tenteramlah hati kami!” Sebahagiannya pula berkata “Kami hanya mentaati Rasulullah saw apabila baginda bersama-sama kita. Alangkah hairannya keadaan yang berlaku kepada kerajaan Abu Bakr”.

Para sahabat menasihatkan Abu Bakr supaya meninggalkan dan mengabaikan kawan yang melampaui batas serta tidak mahu mengeluarkan zakat itu. Kemudian menurut mereka lagi, mereka akan kembali kepada Islam dan mengeluarkan zakat semula. Nasihat mereka tidak dihiraukan bahkan ditolak mentah-mentah. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh kelompok perawi kecuali Ibn Majah yang dipetik daripada Abu Hurairah bahawa Omar ibn al-Khattab pernah berkata kepada Abu Bakr “Atas dasar apa engkau hendak memerangi mereka (puak-puak yang murtad) sedangkan Rasulullah saw pernah bersabda “Aku perintahkan untuk memerangi manusia (yang kafir) sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Apabila mereka telah berkata demikian, mereka telah mengikat (membuat pemeliharaan) terhadap dakwah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan haknya (dengan sebab-sebab yang tertentu)? Abu Bakr pun menjawab “Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku dengan sungguh-sungguh atau dalam riwayat yang lain iqalan (zakat unta dan kambing) yang pernah mereka beri kepada Rasulullah saw nescaya aku akan perangi mereka disebabkan keengganan mereka! Sesungguhnya zakat merupakan hak harta. Demi Allah, aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat!” Omar berkata lagi “Tidaklah yang berlaku dihadapan mataku ini melainkan Allah swt telah membuka (menerangi) dada Abu Bakr al-Siddiq untuk peperangan. Tahulah aku bahawa beliau berada dipihak yang benar!” Allah swt berfirman “Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan solat serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani (Surah at-Taubah : 5)

Ayat ini diselaraskan dengan sebuah hadis yang terdapat dalam Kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah saw bersabda “Islam dibina diatas lima perkara iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji (kepada yang berkemampuan) dan berpuasa pada bulan Ramadan”

Al-Hasan, Qatadah dan yang lain-lain mentafsirkan ayat Allah swt berfirman “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa diantara kamu yang berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad) maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang akan kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia” (Surah al-Maidah : 54). Mereka telah berkata “Yang dimaksudkan dengan orang yang beriman dalam ayat tersebut ialah Abu Bakr dan para sahabatnya yang memerangi kaum murtad dan kaum yang enggan membayar zakat!”.
Muhammad ibn Ishaq pula berpendapat bahawa sebahagian besar orang Arab telah murtad selepas kewafatan Rasulullah saw melainkan penduduk dua buah masjid iaitu Masjid Makkah dan Masjid Madinah. Puak Asad dan puak Ghatafan juga menjadi murtad lalu menyokong Tulaihah ibn Khuwailid al-Asadi al-Kahin. Puak Kindah juga murtad dan diikuti oleh puak-puak yang lain. Mereka kemudiannya menyokong al-Ash’ath ibn Qays al-Kindi. Puak Madhaj dan konco-konconya turut murtad dan kemudiannya menyokong al-Aswad ibn Kaab al-Ansiy al-Kahin. Rabiah dan al-Ma’rur ibn al-Nu’man ibn al-Mundhir juga murtad. Puak Hanifah pula sememangnya telah bekerjasama dengan Musailamah ibn Habib al-Kazzab. Bani Sulaim pula mengisytiharkan murtad bersama-sama al-Faj’ah yang nama asalnya ialah Anas ibn Abd. Yalil. Bani Tamim pula murtad bersama-sama Sajah al-Kahinah (Sajah Si Tukang Tenung).

Qasim ibn Muhammad pula menceritakan bahawa puak Asad, Ghatafan dan Tayy’ bergabung dengan Tulaihah al-Asadi. Mereka menghantar beberapa rombongan ke Madinah. Rombongan ini terus menonjolkan diri dikhalayak ramai. Masyarakat kota semua keluar ke lapangan untuk melihat kedatangan mereka kecuali al-Abbas. Penduduk Madinah terus membawa rombongan tersebut menemui Abu Bakr supaya mereka mengerjakan solat sekalipun tidak mahu mengeluarkan zakat. Lalu Allah swt melimpahkan keazaman yang tinggi kepada Abu Bakr supaya sentiasa berada dalam kebenaran. Beliau telah berkata “Sekiranya mereka enggan juga untuk membayar iqal (zakat kambing dan unta), nescaya aku akan memerangi mereka!”.

Setelah berkata-kata demikian, beliau menghantar puak-puak yang murtad ke kampong halaman masing-masing. Setibanya mereka dikelompok masing-masing, mereka terus menceritakan perihal (keadaan) Madinah termasuk bilangan penduduknya yang sedikit itu. Dengan berita tersebut, semangat orang yang murtad untuk menyerang Kota Madinah semakin meluap-luap.

Oleh yang demikian, Abu Bakr membentuk unit kawalan yang akan menjaga disekeliling Kota Madinah. Setiap kali penduduk Madinah pergi ke masjid, Abu Bakr akan berkata kepada mereka “Sesungguhnya bumi ini telah gelap. Sesungguhnya sebahagian dari puak yang murtad itu telah melihat jumlah kamu yang sebegini kecil sedangkan kamu tidak tahu entah bila siang atau malam mereka akan menyerang kita. Mereka akan mendekati lantas menyerang kita dengan cepat. Pada waktu yang sama kaum Arab yang lain cenderung untuk mengikat perjanjian supaya kita menerima dan berpakat dengan mereka tetapi kita telah mengabaikan mereka. Bersiap sedialah untuk menghadapi mereka, wahai kaum muslimin!”.

Penduduk Madinah berjaga-jaga selama tiga hari sehinggalah tentera murtad dating menyerang Madinah dengan sekali serbuan. Sebahagian dari mereka (tentera murtad) berkumpul di Dhu Hussa untuk mengawasi rakan-rakan mereka. Penduduk Madinah yang berkawal terus memberitahu Abu Bakr tentang serangan tersebut. Lalu beliau berpesan kepada mereka “Hendaklah kamu tetap di kedudukan kamu masing-masing!” Setelah itu beliau keluar bersama-sama penduduk al-Masjid (Penduduk Makkah) dengan menaiki unta untuk mengejar musuh. Kaum muslimin yang lain juga mengejar musuh-musuh dengan unta mereka sehingga tiba di Dhu Hussa. Tidak lama kemudian, tiba bantuan yang lebih banyak lagi. Akhirnya kemenangan berada ditangan kaum muslimin selepas mengharungi pertempuran yang hebat.

Pada bulan Jamadil Akhir, Abu Bakr keluar bersama-sama penduduk Madinah dan ketua-ketua daerah menuju ke kawasan-kawasan sekitar Madinah yang didiami oleh puak A’rabiy yang sememangnya pemastautin di situ. Apabila Abu Bakr dan musuh-musuhnya bertempur sesame sendiri, iaitu yang terdiri daripada Bani Abbas, Bani Murrah, Bani Dhibyan dan Bani Kinanah serta dibantu oleh Tulaihah dan anaknya Hubal, rupa-rupanya musuh telah memasang perangkap. Sebaik sahaja Abu Bakr dan tentera muslimin tiba dikawasan lereng bukit, puak-puak yang disebutkan tadi meluru dan menyerbu kea rah mereka dari arah puncak gunung dan bukit. Apabila unta para sahabat Abu Bakr melihat kedatangan musuh itu, ia terus berlari bertempiaran ke serata tempat. Jadilah ia seperti unta tanpa tuan sehinggalah ia tiba atau pulang ke Madinah.

Selepas terjadi peristiwa tersebut, kaum muslimin ditimpa rasa lemah dan kurang yakin untuk berperang, mereka memanggil kaum kerabat mereka dari tempat-tempat lain dan berkumpul. Abu Bakr pula sepanjang malam meniup semangat ke dalam diri kaum muslimin. Beliau menyusun semula kedudukan tentera Islam sehingga ke penghujung malam. Sewaktu melaksanakan tugas tersebut, beliau ditemani oleh tiga adik beradik iaitu al-Nu’man ibn Muqrin disebelah kanannya, Abdullah ibn Muqrin disebelah kirinya, manakala Suwayd ibn Muqrin disebelah belakangnya. Belum pun fajar menjengukkan dirinya, tentera Islam telah bertembung ditempat yang sama. Tiada kedengaran lagi dipihak tentera Islam sebarang keluhan atau keresahan, sehinggalah pedang-pedang mereka memancung leher tentera kuffar yang murtad itu. Belum pun matahari terbit, tentera murtad telah bertempiaran lari. Mereka mengalami kekalahan yang besar. Hubal turut terbunuh, Abu Bakr terus mengarahkan tentera Islam mengejar saki baki tentera murtad yang masih hidup hingga tiba di Dhu al-Qissah. Disinilah kemenangan mutlak pertama yang diperolehi oleh tentera Islam.

Hinalah tentera musyrik, sebaliknya mulialah tentera Islam. Walaupun demikian, Bani Dhibyan dan Bani Abbas tidak berputus asa. Tetapi mereka akhirnya tewas ditangan tentera muslimin. Abu Bakr terus mengarahkan setiap kabilah yang murtad itu dihancurkan kerana kematian tentera Islam dan kaum muslimin yang telah dibunuh oleh mereka mesti dibalas.

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 567-572 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir

Rabu, 1 Disember 2010

Hadis Berkenaan 12 Khalifah Yang Berasal Dari Kaum Quraish


Menurut sebuah hadis yang dicatat dalam kitab Sahih Muslim melalui hadis ibn Abu Dhi’b daripada Muhajir ibn Mismar daripada Amir ibn Sa’d daripada Jabir ibn Samurrah yang berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah saw bersabda “Sentiasalah agama (Islam) ini tegak (kuat) dibawah pemerintahan 12 khalifah yang berasal dari kalangan kaum Quraish. Sewaktu al-Sa’ah hampir tiba, muncullah orang yang bergelar pendusta. Segolongan dari kaum muslimin akan berjaya membuka (menguasai) perbendaharaan al-Qasru al-Abyad (istana putih iaitu kerajaan Rom) dan istana Kisra (Parsi). Aku akan mendahului kamu semua ketika memasuki al-Hawd (Syurga)!”

Imam al-Baihaqi menyebut bahawa Abu al-Husein ibn Bashran telah mengkhabarkan kepada kami Ali ibn Muhammad al-Misriy telah mengkhabarkan kepada kami Muhammad ibn Ismail al-Salma telah menceritakan kepada kami Abdullah ibn Salih telah menceritakan kepada kami al-Laith telah menceritakan kepadanya Khalid ibn Yazid telah menceritakan kepada kami daripada Sa’id ibn Abu Hilal daripada Rabiah ibn Sayf bahawa beliau pernah duduk bersama-sama dengan Shafa al-Asbaha yang berkata beliau mendengar Abdullah ibn Umar berkata “Beliau mendengar Rasulullah saw bersabda “Akan berlaku pada kamu 12 orang khalifah yang dimulakan oleh Abu Bakr al-Siddiq. Beliau akan menggantikanku. Tidak lama selepas itu, beliau digantikan oleh orang lain. Orang tersebut merupakan tuan seluruh tanah Arab yang akan hidup dalam kemuliaan dan mati dalam keadaan syahid.” Seorang lelaki bangun lalu bertanya “Siapakah yang tuan maksudkan itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab “Omar ibn al-Khattab” Setelah berkata demikian, baginda berpaling ke arah Uthman dan bersabda “Dan kamu pula akan terpaksa berhadapan dengan manusia yang akan menanggalkan “pakaian”(kekuasaan) yang telah dipakaikan oleh Allah swt kepada kamu. Demi Tuhan yang telah mengutuskan diriku ini dalam kebenaran, sekiranya kamu menanggalkannya sendiri, pasti kamu tidak akan memasuki syurga Allah sehinggalah unta yang kuat itu mati akibat terkena jarum-jarum yang beracun!”

Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 6 mukasurat 371 dan 397 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir